Selepas seminggu dimuat naik di YouTube, video muzik single terbaru Wany Hasrita berjudul Canggung melepasi rekod sejuta tontonan, ketika rakyat duduk di rumah mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Biarpun gusar single ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong itu dilancar tidak kena masa, Wany sebaliknya lebih suka melihat perkara itu daripada sudut positif.
“Pada mulanya, saya risau jika ada yang menganggap tindakan saya melancarkan Canggung tidak sensitif dengan isu semasa.
Lebih-lebih lagi apabila mengenangkan media sosial akan dipenuhi dengan perkongsian yang ada kaitan dengan promosi lagu ini.
“Bagaimanapun, saya lebih suka melihat perkara ini daripada sudut positif. Lagipun, semua ini sudah diatur lebih awal. Saya mengikut sahaja apa yang sudah dirancang.
“Sekurang-kurangnya, dapat saya menghiburkan peminat ketika menghadapi situasi ini,”
– Wany Hasrita
Single Canggung dilancarkan di pelantar media sosial, baru-baru ini. Namun, tindakan Wany melancarkannya ketika negara berhadapan penularan COVID-19 dilihat tidak kena masa selain mengundang risiko.
Akui Wany atau nama sebenar, Norshazwany Hasrita Abdullah, ramai peminat menyukai lagu bergenre etnik kreatif itu.
Diminta mengulas persamaan Canggung dengan Anta Permana dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Wany berkata, persepsi itu sukar dielak kerana mereka menyanyikan lagu ciptaan komposer sama.
“Tidak dinafikan, Wany banyak terima komen seumpama itu di YouTube.
Bukan sahaja daripada segi melodi, malah tarian dan busana digayakan dalam video muzik berkenaan.
“Wany sudah mempersiapkan diri dengan komen begini. Apabila menyanyikan lagu ciptaan mereka, Wany perlu bersikap terbuka dan peminat perlu tahu Hael dan Ezra ada identiti tersendiri dalam genre muzik yang dihasilkan,”
– Wany Hasrita
Sementara itu, mengenai pelaksanaan PKP, Wany mengaku berhadapan serangan panik ketika perintah mula dikuatkuasakan.
“Masa mula-mula arahan duduk di rumah dikeluarkan, saya kena serangan panik.
Saya jadi sukar bernafas dan tidak boleh tidur malam. Semua ini berlanjutan selama lima hari hingga saya menangis.
“Bagaimanapun, keadaan kembali pulih seperti sedia kala apabila saya berfikiran positif dan sentiasa menenangkan diri bahawa ini semua akan berakhir, tidak lama lagi,”
– Wany Hasrita
Wany memberitahu, insiden serangan panik itu berlaku kerana dia terlalu memikirkan soal kehidupan dirinya dan keluarga jika PKP berlanjutan dalam tempoh lama.
“Sebagai penyanyi yang bergantung kepada ‘show’, sudah tentu situasi ini sangat membimbangkan.
Tahun ini, Wany banyak memerlukan wang kerana baru membeli rumah. Buntu apabila mengenangkan komitmen apatah lagi, Wany menyara ibu.
“Wany percaya, bukan saya sahaja yang berperasaan seperti ini, malah orang lain. Masing-masing berharap keadaan akan pulih dan kita semua menjalani rutin harian seperti biasa,”
– Wany Hasrita