POPULAR@MUZIK AKTIF PROGRAM BARU SERIKAN ASTRO 180
Industri muzik tanah air semakin rancak dengan hadirnya penyanyi-penyanyi pelapis yang membawakan genre lagu dan muzik yang berbeza. Pelbagai pilihan muzik video hasil kerja tangan warga seni tempatan sememangnya fokus utama saluran Muzik Aktif Astro 180. Lantaran itu, rancangan yang berfokuskan muzik video popular diperkenalkan oleh saluran Muzik Aktif.
Radio Televisyen Malaysia melalui saluran Muzik Aktif Astro 180 yang menyokong seratus peratus muzik Malaysia samada lirik, lagu, penyanyi serta muzik video tempatan terbaru menampilkan program Popular@Muzik Aktif yang telah memasuki musim kedua dengan diterajui pasangan pengacaranya iaitu Emilie Hanif dan Sofian Bujang. Rancangan yang bersiaran pada setiap hari Rabu jam 9.00 malam ini bakal mengundang artis-artis dan personaliti hiburan tempatan dalam perkembangan terkini mengenai mereka.
Bagi edisi 1 September, Popular@Muzik Aktif bakal mengundang kumpulan indie popular tanahair 6ixth Sense yang sebelum ini terkenal dengan lagu Tanpa dan kini mereka kembali semula dengan single terbaru bertajuk Yang Sempurnakanku. 6ixth Sense akan bersama pasangan pengacara bagi menyerikan episod minggu awal September ini selain berkongsi perkembangan terbaru mereka
Selaras dengan konsep 1Malaysia, minggu seterusnya edisi 8 September 2010 membawa artis bukan Melayu iaitu Jaclyn Victor. Pemenang siri realiti TV popular itu, bakal berkongsi pengalamannya menceburi bidang lakonan teater yang merupakan cabaran baru baginya.
Diana Danielle, pelakon popular yang kini muncul ke aliran muzik dengan single pertama Hanya di Radio versi bersama Imran Ajmain dan Nabil akan muncul di Popular@Muzik Aktif edisi 15 September. Beliau akan berkongsi perkembangan terkininya sempena sambutan Aidilfitri.
Minggu-minggu seterusnya, program yang turut mengetengahkan muzik video popular artis tempatan ini bakal membawa artis muda seperti Dafi, Vince selain kumpulan One Nation Emcees serta penyanyi berbangsa India iaitu Shruthi dan Ash Nair yang terkenal dikalangan kaum India di Malaysia.
Program yang telah aktif bersiaran dari awal Ogos ini setakat ini telah mengundang pengarah muzik video popular, Ghaz yang telah mengarah muzik video bagi artis popular di Malaysia antaranya Kaer Azami, Stacy dan terbaru Muzik Video Bisu dari penyanyi kian meningkat naik,
Alyah. Seorang lagi personaliti pilihan adalah Nubhan yang turut menyerikan Popular@Muzik Aktif bagi mempromosikan aktiviti Ramadhan dan perkembangan dunia seninya.