Setelah sehari pemergian Siti Sarah Raissuddin, Shuib Sepahtu terus mengingati arwah isterinya itu dengan memuat naik pelbagai video ingatan di laman media sosial.
Seperti yang dimaklumkan oleh lelaki itu kelmarin, dia masih belum memberitahu perkara tersebut kepada anak-anaknya selepas arwah isterinya selamat dikebumikan.
Video sayu berdurasi lapan minit 30 saat itu memaparkan Shuib ketika pertama kali bertemu dengan anak-anaknya selepas pulang daripada majlis pengebumian isterinya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak semalam.
Malah lelaki itu turut berkongsi momen dia memberitahu kebenaran mengenai nasib Siti Sarah kepada anak-anaknya menerusi sebuah klip berdurasi 8 minit di laman Instagram milik arwah baru-baru ini.
Klip tersebut bermula dengan anak sulung mereka yang terlihat sebuah video di Youtube yang bertajuk ‘Anak-Anak Belum Tahu Ibu Sudah Tiada’ dan menanyakan kebenaran hal tersebut kepada ayahnya.
Dalam video tersebut, Shuib dilihat cuba menenangkan dan memeluk erat tiga anaknya, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8 serta Ariq Matin, 6, yang menangis teresak-esak selepas diberitahu bahawa ibu kesayangan mereka sudah pergi menghadap Ilahi.
“Betul ke apa yang tulis dalam video tu daddy?†soal Uwais ketika membaca tajuk sebuah video yang tertulis ‘anak-anak belum tahu ibu mereka sudah tiada’ kepada bapanya.
Tidak menunjukkan dirinya terlalu sedih, Shuib menjelaskan tentang situasi sebenar kepada anak-anaknya dengan nada yang cukup tenang.
“Uwais, Talita dan Matin, kita kena sembahyang doakan ibu sebab dia tak akan balik lagi. Kita tak akan jumpa ibu sebab dia dah tiada dalam dunia dan sekarang berada dalam syurga.
“Sebenarnya anak-anak daddy dah buat yang terbaik, doa dan sembahyang hari-hari cuma Allah lagi sayang serta terlalu suka dengan ibu. Ibu bukan daddy punya tapi Allah punya,†katanya memujuk tiga anaknya yang terkejut menerima berita tersebut ketika itu.
Cuba menenangkan hati tiga cahaya matanya, ahli kumpulan Sepahtu itu turut memberitahu bahawa dia akan membawa anak bongsunya, Ayash Affan yang kini dirawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Kita dah minta dengan Allah SWT supaya pulangkan ibu tapi Dia sukakan ibu. Nanti daddy bawak balik Ayash sebab ibu ganti diri dia dengan adik kamu.
“Ibu ada pesan dengan daddy, dia nak awak berempat jadi anak yang soleh, solehah, pandai mengaji dan suka sedekah. Nanti kita jumpa ibu di syurga,†katanya lagi.
Dalam ruangan komen, rata-rata penonton memberitahu tidak dapat menahan air mata mereka sepanjang menonton momen hiba tersebut.
“Ya Allah tak tahan tengok kesedihan anak-anak Shuib. Terus mengalir air mata keluar sebak betul,†komen seorang pengguna YouTube.
Video berkenaan nyata mengundang sebak netizen terutamanya apabila melihat ketabahan Shuib berkongsi berita berkenaan. Bahkan ramai netizen dan juga rakan selebriti lain yang turut mendoakan agar mereka kuat dan menjadi anak yang solehah.
Semoga Shuib dan anak-anak terus tabah menghadapi ujian ini dan semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
Semalam, negara dikejutkan dengan kematian Siti Sarah Raissuddin, 37, yang disahkan meninggal dunia akibat Covid-19 di HCTM UKM pada pukul 5.13 pagi semalam.
Siti Sarah Raissuddin, 37, dikejarkan ke hospital berkenaan sejak Rabu selepas tahap oksigen dalam tubuhnya menurun dan ditidurkan sebelum melahirkan Ayash secara pembedahan pada pukul 4 petang Jumaat lalu. – K! ONLINE
Saya Tumpang Tuah Isteri’
Shuib dalam video secara langsung di Instagram berkongsi bagaimana isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin tidak pernah mengambil tahu mengenai jumlah wang dalam simpanannya.
Dalam video itu, Shuib juga mengimbau nasihat yang dititipkan isterinya supaya jangan berkira dengan duit.
“Saya ada BubbleBee berpuluh-puluh (cawangan), orang cakap saya pandai berniaga. Percayalah, itu semua saya tumpang tuah isteri saya.
“Dia tak pernah ambil tahu berapa banyak duit dalam akaun saya, bahkan dia ajar saya jangan berkira-kira dengan duit.
“Sebab orang yang berkira-kira dengan duit ini akan berkira-kira dengan sedekah. Bila berkira dengan sedekah, Allah akan bantutkan rezeki kita,” katanya.
Shuib juga turut berkongsi mengenai nikmat dan hikmah bersedekah dalam kehidupan dia dan isterinya.
“Banyak benda yang dia buat baik saya tak tahu. Rupanya duit yang saya bagi dia, dihabiskannya untuk sedekah dan kebaikan sedekah itu berbalik semula kepada saya,” katanya.
Dalam video sama, Shuib juga menasihatkan penonton yang menyaksikan siaran langsungnya mengenai kepentingan pengambilan vaksin Covid-19.
Salam takziah diucapkan kepada semua ahli keluarga dan diharapkan agar semuanya tabah menghadapi ujian ini. Al-Fatihah.