Berjudul ISTIMEWA, lagu hasil tulisan dan ciptaan Salammusik ini ternyata menerima sambutan baik ketika pelancarannya pada Jumaat lalu, apatah lagi pabila ia dinyanyikan pula oleh pemenang Anugerah Juara Lagu 2018 dan 2019, Dayang Nurfaizah.
Sejajar dengan objektif Blu Inc Celebrating Women, syarikat penerbitan terkenal di Malaysia ini tampil dengan karya terbaharu ini yang mana turut hadir dengan sebuah video muzik yang mempunyai mesej bahawa setiap wanita itu adalah istimewa.
Tonton video muzik ISTIMEWA nyanyian Dayang Nurfaizah ini:
Memperkasakan Wanita Yang Tahan Lasak
Video muzik yang dihasilkan oleh Blu Inc Production itu memaparkan penyanyi untuk lagu tersebut iaitu Dayang di samping mempersembahkan barisan pengarang-pengarang majalah di bawah satu bumbung Blu Inc termasuklah EH!, GLAM, GLAM Lelaki, GLAM Deko, Jelita, Cosmopolitan, Female, CLEO, Harper’s Bazaar, Her Inspirasi, Her World, Home & Decor, Icon, Malaysian Women’s Weekly, Marie Claire, Nuyou, Shape dan The Peak.
Ia juga memaparkan wajah-wajah pembaca yang turut serta di dalam kempen #BluIncIWD2019. Bertempat di Crystal Fountain, Pavilion Kuala Lumpur, upacara pelancaran lagu serta video muzik Istimewa itu nyata menerima sambutan baik pabila empunya suara lagu tersebut turut mendendangkan lagu itu secara langsung di depan khalayak ramai.
Turut hadir di majlis pelancaran lagu tersebut adalah Thanuja dan Anuja Ananthan, Yana Samsudin, Sean Lee, Cik Manggis (DeFam), Ramona Zamzam, Wan Sharmila dan ramai lagi. Acara tersebut dihoskan tidak lain tidak bukan, Daphne Iking. Selain dari rakan artis, rakan bisnes juga turut hadir memeriahkan acara itu termasuklah Pengurus Datuk Ibrahim Mohd Nor dan Datin Nina Juren.
Sejurus selepas pelancaran lagu tersebut, tetamu dibawa ke Acme Bar Pavilion KL untuk sesi koktel sebelum ke Golden Screen Cinemas untuk tayangan perdana filem box office, Captain Marvel.
Upacara malam tersebut turut dijayakan oleh L’Oréal Paris yang menyediakan stesen solekan untuk semua wanita mencuba bedak asas L’Oréal Infallible 24H Fresh Wear yang mana kalis air, transfer-proof, breathable dan mampu bertahan sepanjang hari.
Setiap pengunjung ke pusat beli-belah terkemuka ibu kota ini boleh melihat sendiri quote yang ditampal di sekitar aras 3, berhadapan pintu utama Pavilion yang mana bakal berada di sana sehingga 15 Mac 2019. Jangan lupa untuk rakam shoefie anda berserta #bluinciwd2019 #lorealparismy #tahanlasak #pavilionkl .
Selamat Hari Wanita Sedunia buat semua wanita di luar sana.