in ,

Video Iklan Anugerah Syawal Media Prima Berhad

Hari Raya Aidilfitri bakal tiba dan seiring dengan itu, rangkaian televisyen Media Prima Berhad (TV3, ntv7, 8TV dan TV9) telah menyediakan iklan menarik yang dapat mengeratkan ikatan kekeluargaan. Dengan judul menarik iaitu ‘Jangan Tinggal Daku’, iklan yang menampilkan pelakon yang telah memenangi pelbagai anugerah ini iaitu Eja (Siti Shahrizah Saifuddin) dan Rusdi Ramli dilihat berjaya menyentuh hati dan perasaan penonton.

‘Jangan Tinggal Daku’ arahan Nik Amir Mustapha ini merupakan Anugerah Syawal yang membawa seribu makna. Iklan Raya yang disiarkan selama satu minit ini mengisahkan tentang datuk dan nenek yang sedih apabila anak, menantu dan cucu-cucu mereka ingin pulang ke bandar selepas menyambut Aidilfitri di kampung. Pelbagai helah dilakukan oleh datuk dan nenek ini semata-mata tidak mahu mereka pulang seperti menyorokkan kunci kereta anak mereka dan buat-buat sakit untuk mendapat perhatian.

Menurut Encik Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad:

“Iklan raya yang dihasilkan tahun ini menumpukan kepada ikatan kekeluargaan yang tidak dapat dipisahkan. Setiap kali tibanya musim perayaan, pastinya ramai yang pulang ke pangkuan keluarga untuk bersama mereka terutamanya ibu dan bapa. Kasih sayang mereka tiada batasnya dan hargailah mereka selagi masih ada kerana mereka merupakan orang yang paling bermakna di dalam dunia ini. Kepulangan anda di sisi mereka yang tersayang adalah hadiah #Anugerah Syawal paling istimewa buat mereka. Itulah yang inggin disampaikan menerusi iklan Anugerah Syawal kami. Iklan ‘Jangan Tinggal Daku’ ini juga merupakan hadiah paling istimewa kami kepada penonton setia yang sentiasa memberi sokongan kepada kami.”

Iklan yang dilihat dapat mendapat perhatian ramai ini merupakan idea dari pengarah berkarisma yang pernah memenangi pengarah terbaik Anugerah Skrin tahun lalu melalui filem KIL, iaitu Nik Amir Mustapha. Lakonan daripada empat pelakon berpengalaman dan terkenal tanahair seperti Eja, Rushdi Ramli, Hafizudin Fazil dan Kismah Johar turut memantapkan lagi iklan ini.

Sementara itu, menurut Nik Amir Mustapha:

“Sikap profesional para pelakon berpengalaman tiga generasi daripada datuk nenek, ibu bapa hingga ke cucu, memudahkan lagi perjalanan rakaman iklan raya ini. Menerusi iklan ini, kami ingin menyampaikan hasrat datuk dan nenek yang tidak mahu berpisah dengan anak dan cucu mereka kerana kepulangan mereka memberi kegembiraan yang tidak ternilai buat pasangan datuk dan nenek ini. Kesunyian mereka terubat dengan hilai tawa anak cucu tersayang dan inilah masanya mereka lebih mesra dan ikatan mereka semakin erat. Iklan yang mencuit hati ini diselitkan juga dengan sedikit unsur komedi apabila nenek cuba menyembunyikan kunci kereta anaknya dan paling lucu ketika salah seorang cucu tertinggal ketika hendak pulang semula ke bandar. Iklan penuh dengan unsur kasih sayang antara keluarga ini dirakamkan di sebuah kampung yang terletak di Bagan Lalang, Selangor.”

Di samping hadiah istimewa ini, Media Prima Berhad juga tidak lupa menayangkan pelbagai program menarik dan berkualiti menerusi menerusi filem, telefilem, majalah & dokumentari, variasi, muzikal dan program kanak-kanak yang bertemakan ‘Anugerah Syawal’ sepanjang sambutan Hari Raya di TV3, TV9 dan tidak lupa di ntv7 dan 8TV.

Layari laman web www.ramadanraya.com.my untuk mengikuti perkembangan terkini #SeindahRamadan dan #AnugerahSyawal.

Iklan Raya (3)

Iklan Raya (2)

Iklan Raya (1)

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Tonton Trailer Pertama Filem Annabelle The Conjuring

Muzik Video Anugerah Syawal Bunkface & Idola Kecil Ultra