Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad, Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh dan pengacara Fear Factor Selebriti Malaysia ketika sidang media yang diadakan di Menara KH dekat sini pada Isnin.
KUALA LUMPUR: Sebanyak 30 peserta program terbaru terbitan Astro Ria iaitu Fear Factor Selebriti Malaysia tenang dan berani menghadapi cabaran yang diberikan kepada mereka.
Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, kesemua peserta yang dibahagikan kepada 15 kumpulan itu memperlihatkan kesungguhan dalam menyahut cabaran bagi mengatasi kelemahan diri dalam mengharungi aksi lasak yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.
“Ada di antara mereka dengan mudah mengharungi cabaran yang diberikan dan ia bakal menawan hati penonton apabila ia ditayangkan kelak,” ujarnya.
Khairul ditemui semasa majlis pelancaran program tersebut dekat sini pada Isnin.
Fear Factor Selebriti Malaysia bakal ke udara pada 29 Disember ini, setiap hari Sabtu pada pukul 9 malam di saluran Astro Ria dan Mustika HD.
Kesemua 30 peserta yang bertanding dalam program yang bakal bersiaran pada 29 Disember ini di saluran Astro Ria dan Mustika HD bergambar kenang-kenangan.
Dalam pada itu, Khairul berkata, pihaknya juga telah memastikan format asal yang diadaptasi daripada program popular Fear Factor itu telah diberi nafas baru mengikut kesesuaian budaya dan kehidupan masyarakat Malaysia.
Menurutnya, cabaran seperti memakan makanan pelik, perkara-perkara jijik dan aktiviti-aktiviti yang menyalahi budaya negara ini tidak akan ditonjolkan dalam program Fear Factor Selebriti Malaysia membabitkan selebriti tempatan.
“Perkara ini amat kami titik beratkan kerana ingin menjaga sensitiviti masyarakat di Malaysia dan lebih menumpukan kepada cabaran lasak,” jelasnya.
Tambah Khairul, kekuatan setiap individu akan diuji daripada segi keberanian untuk beraksi lasak selain ketahanan mental dan fizikal peserta untuk mencuba sesuatu yang baru.
Seramai 30 selebriti (dibahagikan kepada 15 kumpulan) menyertai Fear Factor Selebriti Malaysia antaranya Didie Alias, Zoey, Dafi, Jehan Miskin, Kaka, Elfira Loy, Hairul Azreen, Farish Aziz, Azam Pitt, Gambit Saifullah, Ezlynn, Mejar Dr Faiz, Zawen Anwar, Hafizul (On Air), Norisham Ismail dan Johan As’ari.
Sementara itu, Khairul berkata, sebahagian besar progam tersebut telah dijalankan di Afrika Selatan yang dapat membolehkan para peserta keluar daripada ‘comfort zone’ mereka.
Pemenang utama akan menerima wang tunai sebanyak RM200,000 manakala pemenang bagi cabaran mingguan pula bakal membawa RM10,000.