Yelah, setahu Budiey jarang betul nak tengok wanita bersolek dan berdandan dengan persalinan persis mahu berjalan ke red karpet semasa nak membeli belah di pasar. Biasanya ramai perempuan tak peduli nak pakai apa pun, malah ada yang lebih selesa dengan baju kelawar je pergi pasar, betul tak?
Lain pula dengan kisah Bella atau lebih dikenali dengan nama Instagram @izubielazaffmarekan ni yang berkunjung ke Pasar Awam Taman Tun Dr Ismail yang lengkap dengan skirt tutu berwarna merah jambu dengan blaus labuci hitam. Fuh, khabarnya busana tu adalah rekaan pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail? Kemain melaram ek? Aduyai, nak ke pasar je pun.
Persoalan yang bermain dalam fikiran Budiey sekarang ni, apa tujuannya Bella buat semua tu? Adakah ini satu gimik atau sengaja mencuri perhatian masyarakat?
Menerusi video tersebut, rata-rata terkejut dengan kemunculan wanita persis patung Barbie yang putih gebu sehingga ada yang terlanggar rak besi jualan di pasar tersebut akibat terpesona melihatnya wanita berambut perang itu.
Ada peniaga dan pengunjung pasar pelbagai usia yang mengambil gambar bersamanya namun tidak kurang yang menegur pemilihan fesyennya ke pasar.
“Wow! Macam nak pergi pertunjukan fesyen. Kenapa kamu berpakaian seperti ini?,” tegur seorang pelanggan pasar itu.
Tidak hairan apabila ada peniaga pasar turut mengambil peluang bergambar dengan Barbie. Jika sebelum ini ada yang beranggapan foto dimuat naik Bella melalui proses suntingan yang keterlaluan untuk kelihatan seperti patung bernyawa. Namun, sekarang mungkin ada yang percaya Barbie betul betul wujud di Malaysia.
Mana tidaknya, bukan sahaja wajahnya persis patung Barbie, penampilannya yang berbaju labuci rona hitam yang dipadankan dengan skirt tutu merah jambu membuatkan pengunjung menoleh dua kali.
Selepas diteliti didapati, skirt tutu yang digayakannya adalah salah satu koleksi daripada pereka fesyen Ezuwan Ismail yang dipentaskan ketika Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2018 (FWKL2018) sekitar Ogos lalu.
Rata-rata netizen yang melihat aksi wanita itu yang juga usahawan produk kecantikan turut memuji tindakan beraninya, selain tidak menyangka Malaysia juga mempunyai patung Barbie.
Tidak kurang juga menyindir tindakannya itu yang seolah-olah cuba menarik perhatian masyarakat.
Wajah Izubiela dan penampilannya seperti patung Barbie.
“Weh, siapa perempuan ini? Ada Barbie jatuh dari langit ke? Kemain dress up, haha. Part akhir tu, kelakar. Kena tegur dengan makcik,” tulis seorang pengguna Twitter.
Wanita itu, Izubiela Rasi atau Bella, ketika dihubungi oleh Mstar Online berkata, dia tidak menyangka kehadirannya di pasar tersebut akan menjadi perhatian.
Sebelum ini pun setiap kali memuat naik fotonya di Instagram mahupun Facebook, pasti ada di antara pengikutnya menyamakan dirinya seperti doll atau anak patung.
Malah beritahu wanita berusia 29 tahun ini, dia sebenarnya sudah lama tidak menjejakkan kaki ke pasar tersebut walaupun rumahnya berdekatan dengan Taman Tun Dr Ismail.
“Sudah bertahun tak masuk pasar dan tak pernah sekalipun berkunjung ke Pasar Besar Awam TTDI, walhal rumah saya tidaklah begitu jauh dari tempat ini.
“Jadi kebetulan hari itu saya teringin hendak singgah kerana selalunya saya beli barang runcit di pasar raya… Tak sangka pula jadi perhatian,”
Jelas Bella lagi, dia berpakaian sedemikian kerana mempunyai urusan lain selepas itu selain ingin melihat reaksi masyarakat terhadapnya yang berpakaian glamor ke pasar.
“Ternyata ramai yang seakan pelik dan tak kurang juga minta untuk bergambar,†katanya.
Sementara itu, Bella berkata, dia memang seorang penggemar fesyen dan tidak pernah keluar rumah tanpa mengenakan sebarang solekan atau berpakaian cantik.
“Dari dulu lagi saya cukup obses dengan Barbie. Tetapi tidaklah sampai buat pembedahan plastik atau kosmetik. Malah, tidak menggayakan fesyen seperti Barbie sebaliknya suka mengenakan gaun yang glamor.
“Saya jaga makan untuk mengekalkan saiz tubuh sedia ada, mengambil makanan tambahan pencerahan kulit, selalu ke salon untuk mendandan rambut, melakukan senaman, urutan wajah, memakai korset setiap hari dan menjalani pelbagai rawatan kulit, salah satunya mengambil suntikan vitamin C.
“Saya juga suka membeli barangan mekap dan akan menghabiskan masa dua hingga ke tiga jam untuk bersolek bagi mendapat doll look yang sempurna.
“Terus-terang demi nak cantik, saya tak kisah berhabis wang,â€
Menurut Bella lagi, sejak remaja lagi dia sangat menjaga bentuk tubuh dan suka pada kecantikan termasuk melihat benda-benda yang cantik.
Obsesi pada kecantikan juga mendorong wanita berasal dari Pulau Pinang ini, mengeluarkan produk kecantikannya sendiri.
Baginya, patung Barbie gambaran wanita yang sempurna.Semetri wajah menawan, berambut lebat dan bertubuh langsing, membuatkan wanita obses untuk menjadi seperti boneka yang dimiliki hampir semua kanak-kanak perempuan seluruh dunia itu.