in

Versatile Sharifah Amani Dalam Rona Roni

Di sebalik elemen humor dan serius dalam lakonan, mereka dikatakan berjaya membawakan watak masing-masing dengan berkesan hingga pengarah Shahrulezad Mohameddin (Ezad) percaya gandingan kedua mereka mampu mengulangi kejayaan. Atas kepercayaan itu, mereka bersetuju untuk berlakon sama menerusi drama terbaru untuk tayangan Astro Ria iaitu Rona Roni Makaroni.

Berbeza dengan lakonan sebelum ini, Nani membawa watak gadis kampung manakala Bront adalah tukang masak restoran makanan Perancis milik sendiri. Menyelami dua jiwa pelakon ini, mereka mengakui keserasian dalam lakonan terdahulu banyak membantu dalam menghayati watak pasangan kekasih dengan jayanya.

Kata Nani, ketika di lokasi penggambaran mereka tidak berhadapan banyak masalah untuk berlakon sama. Malah penghayatan cinta antara mereka mudah diluahkan secara spontan. Sungguhpun bercinta dalam lakonan, realitinya Nani menganggap Bront sebagai abang.

“Hubungan kami boleh dikategorikan ekstrem kerana dalam saya membencinya, saya juga sayang padanya. Kami mempunyai pendirian kuat yang menegakkan kebenaran sendiri dan sering kali kami bercakap macam mahu bergaduh. Saya suka dia menjadi hero kerana saya melihat dia mempunyai kekuatan dalam diri. Mungkin tidak banyak peluang diberikan padanya untuk membuktikan dia mampu menjadi hero. Antara kami mempunyai persamaan kerana sesetengah melihat kami tidak sempurna dari aspek fizikal. Sebelum ini, saya dikatakan pendek dan tidak cantik untuk layak membawa watak heroin. Begitu juga dengan Bront yang disifatkan tidak kacak dan berkulit putih. Namun itu bukan persoalan. Apabila diberi kepercayaan melakonkan watak utama, kami berusaha memberikan lakonan terbaik. Seharusnya bakat dalam lakonan dinilai berbanding paras rupa semata-mata. Sepanjang berlakon sama, ia adalah pengalaman yang menyeronokkan buat kami. Seperti drama ini, kami berbincang sebelum mula berlakon. Berbeza dengan Bront yang serius berlakon mengikut skrip, saya pula lebih senang meletakkan lakonan mengikut cara sendiri. Saya syukur kerana Ezad boleh terima cara lakonan saya dan hasilnya lakonan kami semua seronok ketika bekerja. Sebenarnya kami bermatlamat mahu menjadi hero dan heroin dalam filem pada masa akan datang jika ada tawaran diberikan pada kami. Bergandingan bersama hero yang kita faham membuatkan lakonan menjadi mudah dan tambah seronok. Bagaimanapun saya tidak terganggu dengan pandangan terhadap fizikal saya. Saya tidak kisah dengan pandangan itu kerana apa yang lebih penting, saya dapat memberikan lakonan terbaik. Sepanjang berlakon, saya rasa seronok dan bertuah apabila dibayar untuk melakonkan watak orang lain,” katanya.

Selepas memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-19 dua tahun lalu menerusi filem Gubra dan Anugerah Pelakon Harapan Wanita pada majlis anugerah yang sama setahun sebelum itu, Nani menyatakan dia bukan pelakon yang bersifat demand terhadap lakonan mahupun bayaran.

Katanya, dia bersetuju untuk berlakon jika mempunyai skrip yang bagus, watak yang menarik dan pengarah yang ingin bekerjasama. Malah jika tiga permintaan itu dipenuhi, Nani juga sanggup berlakon secara percuma.

“Lakonan terbaik tidak ternilai harga dan bayarannya. Cukup pada saya penonton menghargai lakonan saya. Buat masa ini, saya bersyukur kerana mempunyai pendapatan dan keluarga yang stabil. Dalam lakonan, bayaran bukan segalanya tetapi pengalaman lakon lebih berharga untuk ditimba,” katanya.

Bagi Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, 30, tidak menyangka lakonan bersama Nani mewujudkan keserasian hingga meninggalkan impak mendalam pada penonton. Katanya, keserasian hanya wujud ketika mula berlakon sama dan menganggap Nani adalah pasangan heroin terbaik.

“Berlakon bersama Nani umpama satu keseronokan dan penghormatan. Nani mempunyai kelebihan kerana dia banyak menang anugerah. Berbeza dalam Sinderella, kali ini kami berusaha tampilkan kelainan. Pada mulanya saya melihat emosi antara kami masih sama seperti drama lalu. Nasib baik Nani melakonkan watak gadis kampung dan saya pula melakonkan karakter yang suka marah. Selalunya setiap kali kami berjumpa, saya suka mengusiknya dan hubungan kami umpama adik-beradik.

“Dari aspek lakonan, selepas membintangi drama ini perasaan saya mempunyai kecenderungan untuk bersikap marah. Sebenarnya susah untuk melakonkan karakter yang nampak kelakar dan saya akui rakan pelakon lain banyak membantu saya. Beza hero dan heroin tempatan adalah pelakon itu tidak kelakar berbanding watak yang sama di peringkat antarabangsa berdiri atas karakter sendiri. Secara peribadi saya berpendapat kerjaya pelakon masih tidak dipandang masyarakat dan dianggap main-main. Saya melihat pelakon masih kurang dihormati. Pada saya, pelakon juga menjalankan tanggungjawab pada masyarakat dan negara,” katanya.

Mula merasai impak populariti dan mempunyai peminat, Bront meluahkan dia susah hati memikirkan kehidupan artis tiada nilai peribadi. Katanya, dia bukan menyesal kerana memilih jalan hidup sebagai pelakon tetapi mengharapkan kehidupan artis perlu diberi masa untuk hidup seperti manusia normal lain.

Mengenai drama Rona Roni Makaroni, ia turut menampilkan pelakon yang pernah bekerjasama dalam Sinderella seperti Isma Yusoof dan Wan Sharmila. Lakonan mereka juga dibantu Dira Abu Zahar. Drama ini mengisahkan percintaan tiga segi antara Roni (Bront), Rona (Nani) dan Gia (Dira).

Rona yang berasal dari kampung berkenalan dengan Roni secara tidak sengaja dan diambil bekerja bersama Roni iaitu di restoran makanan Perancis. Namun dalam usaha Rona mencari ibu bapa kandung, dalam diam dia mula jatuh cinta pada Roni. Bagaimanapun, kemunculan semula Gia yang pernah menjadi kekasih Roni ketika sama belajar di Perancis mula mewujudkan situasi berbeza.

Nantikan tayangan drama bergenre komedi romantik ini yang akan mula ditayangkan pada 27 November ini, setiap Khamis jam 9 malam.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Selamat Pengantin Baru Zaff Suria FM & Opie Harris

50 Tiket Percuma Untuk Peminat Syada Idola Kecil