in

Vektor 58 Siri TV Terbaru di TV9

Chain-FX Sdn Bhd dengan bangganya mengumumkan pelancaran siri televisyen terbaru; “Vektor 58”, sebuah drama aksi fiksyen sains kanak-kanak yang memaparkan makhluk asing berbentuk robot sebagai watak utama. Siri Drama Aksi Fiksyen Sains “Vektor 58” akan disiarkan di TV9 setiap Sabtu, 5.30 petang Mulai 07 Disember 2013.

vektor 58

“Vektor 58″ mengisahkan tentang Lia, seorang gadis remaja yang bertemu makhluk asing misteri yang telah hilang ingatan akibat kemalangan semasa mendarat di bumi. Lia mengambil keputusan untuk membantu makhluk asing tersebut mendapatkan kembali ingatannya dan memanggilnya sebagai ”Arif”. Namun begitu, pada masa yang sama, mereka terpaksa berhadapan dengan beberapa lagi makhluk asing yang memburu Arif untuk bertarung dengannya. Vektor 58” merupakan siri televisyen pertama yang diterbitkan Chain-FX Sdn. Bhd. Drama bersiri yang sarat dengan penggunaan imej janaan komputer (CGI) ini telah dihasilkan dengan bantuan kewangan daripada Perbadanan Pembangunan Mutimedia (Mdec).

Cerita & Idea asal “Vektor 58” adalah dari penerbitnya, Muhammad Fasya Daud dan ditulis oleh Amir Hafizi (Magika, Hikayat Merong Mahawangsa) & Fairul Nizam Ablah (Bio- Nik).

Pengarah drama ini, Roshfaizal Ariffin berkata:

“Vektor 58 adalah sebuah drama bersiri yang menyediakan hiburan ringan khususnya untuk golongan kanak-kanak dan remaja. Namun, apa yang menarik tentang drama ini ialah watak utamanya, Arif dan beberapa watak makhluk asing seperti robot dijayakan menggunakan kepakaran syarikat kami dalam kesan visual. Kami amat bersyukur kerana usaha kami dalam menghasilkan drama aksi sains fiksyen ini mendapat bantuan kewangan daripada MDeC. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Media Prima dan TV9 khususnya yang memberi kepercayaan kepada produk kami untuk menjadi salah sebuah program televisyen dibawah penyiaran mereka. Kami berharap untuk terus menghasilkan program televisyen yang berkualiti seperti ini dan secara tidak langsung membawa drama kanak-kanak tempatan ke peringkat global. “

Drama Vektor 58 ini menampilkan beberapa muka baru dan lama seperti Ain Satar, Ku Mohd Amirul , Nor Intan Bhaizura , Fazlina Datuk Ahmad Daud, Kamarulzaman Taib (Ce’ Kem), Norman Hakim dan banyak lagi.
Untuk maklumat lanjut, layari https://www.facebook.com/vektor58 .

“Vektor 58” akan disiarkan bermula 7 Disember 2013, setiap hari Sabtu, jam 5.30 petang di TV9, sebuah anak syarikat Media Prima Berhad.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

KanCheong Kitchen 2013 Audition

Muzik Video Rasmi Kalau Aku Kaya Kini Di Youtube