Memilih tarikh indah 21.12.21, pasangan itu dilihat cantik dan segak mengenakan busana barwarna putih dalam satu majlis di Colony Star+ Boulevard.
Dalam majlis itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin berupa sebentuk cincin dan gelang tangan emas buat Uyaina.
Tiada pertukaran dulang hantaran antara kedua belah pihak dan jumlah wang hantaran dirahsiakan atas persetujuan kedua belah keluarga.
Meluahkan rasa syukur majlis berjalan dengan lancar, Uyaina berkata dia sudah merancang majlis beberapa bulan lalu.
“Alhamdulillah majlis pernikahan kami berjalan dengan lancar pagi ini. Sebenarnya kami sudah merancang pernikahan ini sejak beberapa bulan lalu namun banyak pertukaran dari segi perancangan majlis.
“Ia berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang cepat berubah dan terkini. Selain itu, kejadian banjir terburuk yang berlaku pada dua hari sebelum nikah turut memberi cabaran kepada kami,” katanya.
Dalam pada itu, Uyaina berkata dia dan suami memilih Eropah sebagai destinasi bulan madu namun terpaksa menangguh hasrat tersebut sementara kerana varian terbaru.
Uyaina dan Raja Syahiran mula berkenalan pada awal 2019 di sebuah program terbitan Astro dan Uyaina menerima rombangan merisik keluarga Syahiran pada Julai 2019.