TELEFILEM ISTIMEWA RAMADAN DI TV1 : UTUSAN KE JANNAH KONGSI KISAH SI ANAK YANG BERIMAN
Peranan seorang ayah sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab terhadap seluruh keluarganya membimbing ke arah kebaikan sekaligus meninggalkan segala amalan tidak baik. Golongan bapa adalah peneraju kepada buruk baiknya tingkah seorang anak yang dididik sejak kecil dengan penuh kelembutan oleh seorang ibu.
Namun bagaimana pula sekiranya segalanya berlaku sebaliknya? Si anak pula yang memainkan peranan untuk menunjuk jalan kepada si ayah yang kehidupan sehariannya tersasar jauh daripada landasan agama. Bagaimana pula caranya agar niat baik si anak tidak disalahertikan ayah yang menganggap dirinya lebih berpengalaman dalam hidup?
Plot-plot kisah yang berlaku dalam realiti kehidupan seharian masyarakat kita ini diangkat menerusi telefilem khas sempena bulan Ramadan, Utusan ke Jannah yang disiarakan pada 27 Ogos 2010, jam 10.30 pagi di TV1.
Menerusi watak yang dibawakan oleh Dato’ Ahmad Tammi Siregar sebagai si bapa manakala aktor Zul Huzaimy Marzuki pula membawakan watak si anak yang beriman mahu membimbing ayahnya menuju jalan kebenaran, telefilem ini turut dibintangi oleh Rosnah Johari, Vanida Imran dan Fathil Dani yang kisahnya bermula dengan watak Irfan yang hidupnya dari muda sehingga usia menginjak senja masih hidup dalam gelumbang dosa.
Walaupun telah beristeri tetapi wanita di sekeliling pinggangnya, dek kerana sikapnya yang suka berfoya-foya, dalam kehidupannya yang sentiasa mengejar wang, dia tidak sedar bahawa dia mempunyai anak bernama Firdaus.
Dia tidak ingat, bahawa dia sendiri tidak pernah mengakui zuriat halal yang wujud sehingga dia sanggup menyuruh isterinya menggunggurkan kandungan beberapa kali sehinggalah kandungan yang terakhir. Namun isterinya dalam diam sudah tidak sanggup lagi mengikut cakap Irfan lagi.
Dengan alasan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara di samping memberi syarat supaya dia tidak di ziarahi sepanjang tempoh dia belajar, isterinya Zaleha telah melahirkan Firdaus di rumah bapa saudaranya tanpa diketahui oleh Irfan.
Sedari kecil Firdaus telah diajar dengan sempurna oleh datuk saudaranya dan dia telah diberitahu akan kewujudan Irfan dalam hidup Firdaus. Firdaus terus membesar sebagai kanak-kanak dan remaja yang terdidik dengan ilmu dunia dan akhirat.
Hinggalah usianya menginjak dewasa, Firdaus bertekad untuk mengembalikan Irfan ke arah jalan yang benar. Ketika itu dia mula terfikir untuk memberikan kesedaran kepada ayahnya tentang segala dosa yang telah dilakukan.
Namun Firdaus mengambil pendekatan lain apabila secara perlahan dia mula mendekati Irfan melalui hubungan perniagaan. Sepanjang perkenalan, Firdaus cuba memberi kesedaran kepada Irfan dan sejak detik itulah misinya bermula.
Adakah Irfan sedar dan kembali ke jalan Allah? Lalu pada sama adakah Irfan mengaku Firdaus sebagai anaknya? Untuk mengetahui cerita selanjutnya, jangan ketinggalan menonton Utusan Ke Jannah ditayangkan jam 10.30 pagi pada 27 Ogos 2010 di TV1.