Seorang abang yang setiap hari pergi bekerja bahagian perbandaran pembersihan bandar (menyapu, membersihkan jalan dan sekitaran bandar) akan membawa adiknya seorang gadis yang cacat anggota kaki dan lemah akal di atas kereta usung kecil yang dicat putih, beroda empat ke mana saja dia pergi dan mereka mengenal tentang erti ihsan dan kasih sayang keluarga tidak mungkin diputuskan walau sebesar manapun dugaannya, kerana Tuhan itu ada.
Kisah perjuangan dan pengorbanan seorang abang menjaga adiknya bersendirian yang dibawakan wataknya oleh pelakon Syafie Naswip pastinya bakal meninggalkan kesan di hati penonton telemovie bertajuk “Usung Putih” arahan Albakri Harith disiarkan pada 15 April ini, pukul 9.00 malam mengisi slot Panggung Seri di TV1.
Pengorbanan Syafie Naswip Dalam Telemovie “Usung Putih” Mengisi Slot Panggung Seri di TV1
Episod duka dua beradik ini diterjemahkan dalam telemovie dihasilkan skrip oleh Siti Jasmina Ibrahim yang menyelami di sebalik lara hati watak utama Ayie dan adiknya Aina dalam menempuhi pelbagai cabaran dan dugaan bersama.
Turut dibintangi oleh Qiestina Hazali, Azza Suaymi, Zul Handy Black dan Ramasundran, ia berkongsi kisah berlaku setelah ibunya meninggal dunia, Ayie mengambil tanggungjawab menjaga adiknya Aina. Mereka tinggal di rumah peninggalan ibunya dan Ayie bekerja sebagai tukang sapu untuk menyara mereka berdua. Aina ialah seorang budak yang pandai dan juga rajin membantu menambah pendapatan abangnya dengan menjual nasi lemak.
Mereka berjiran dengan Abang Zul dan Kak Azza yang juga banyak membantu mereka berdua. Mereka sebenarnya masih mempunyai ayah tetapi telah lama menghilang.
Pada suatu hari Aina telah dilanggar lari oleh sebuah kereta dan dia mengalami lumpuh dari paras pinggang ke bawah. Sejak itu emosi Aina menjadi tidak stabil dan dia bertukar dari seorang yang periang kepada pendiam.
Ayie membawa Aina ke tempat kerjanya setiap hari dengan memasukkan Aina ke dalam usung putih dan menariknya. Aina tidak mahu mengikut Ayie lagi setelah mereka berdua hampir dilanggar semasa pulang dari kerja.
Selepas itu Ayie terpaksa meninggalkan Aina sendirian di rumah. Balik dari kerja Ayie mendapati Aina hilang dan kesan rumah dipecah masuk. Ayie membuat laporan polis dan berusaha mencari Aina.
Dia terus berdoa semoga Aina dipertemukan dan dinasihatkan supaya pasrah atas apa yang berlaku. Semasa keluar dari masjid Aina menyapa Ayie dan rupanya Aina telah dibawa oleh ayah mereka sendiri.
Sebenarnya Ayie dan Aina telah lama dicari oleh ayah mereka dan Suhaila atau Su adalah emak tiri mereka yang telah melanggar Aina yang juga mencari mangsa langgarnya.
Namun masihkan ada ruang di hati kedua beradik ini untuk menerima kehadiran ayah dan sekaligus memaafkan kesalahan dilakukan ibu tiri mereka yang menyebabkan Aina lumpuh? Saksikan kesudahan telemovie ini.