Penyanyi dan pelakon, Usop, 24, selamat melangsungkan majlis pertunangan dengan pilihan hatinya, Nur Fatihah Md Hashim, 25, sekitar jam 2 petang tadi di Pulau Pinang.
Majlis tertutup mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang diadakan di sebuah dewan komuniti itu menyaksikan Usop menyerahkan lima dulang berbalas tujuh.
Turut dilakukan upacara menyarung cincin sebagai simbolik disaksikan keluarga terdekat keluarga masing masing.
Menurut Usop atau nama penuhnya, Muhamad Saiful Naim Mohd Noor, dia mahu menyunting Fatihah yang dikenalinya sejak tiga tahun lalu secepat mungkin.
“Benda baik, saya kalau boleh nak mempercepatkannya. Insya-Allah majlis nikah rancangnya awal Februari tahun depan juga akan dibuat di Pulau Pinang.
“Majlis untuk KL, belum putuskan lagi. Tapi kalau ada penaja sudi, boleh pertimbangkan.
“Dugaan bertunang, orang selalu kata kuat cabarannya. Jadi saya dan tunang kenalah kuat,” katanya menerusi sidang media virtual diadakan petang tadi.
Mengimbas kembali detik perkenalan, Naib Juara Mentor Milenia 2017 itu mula terserempak dengan tunangnya di sebuah rumah terbuka anjuran kawan.
“Masa itu, saya terkesima melihat kecantikan dan pesonanya. Anak mamilah pula. Masa itu saya fikir, jodoh tak salah alamat.
“Saya terus pasang strategi untuk berkenalan dengannya di Instagram. Tapi pada mulanya, dia tak layan. Banyak kali juga di’reject. Dalam hati terdetik berlagak sungguh dia. Rupa rupanya, jual mahal.
“Tapi saya pula pantang mengalah. Saya cuba dapatkan apa yang diidamkan,” katanya.
Tambah penyanyi lagu Selamanya itu, dia sedar dirinya tak ada rupa.
“Namun dia tak pandang rupa. Masa itu pun saya tak ada apa apa,” katanya
Fatihah yang bekerja dalam bahagian pentadbiran dan perniagan di sebuah syarikat pula mengakui nampak kesungguhan Usop dalam menawan hatinya.
“Dia juga ikhlas dan tak mengalah untuk memenangi hati saya.
“Dia juga berani bawa hubungan kami lebih serius sampai ke pengetahuan keluarga,” katanya.