Seorang penghibur yang tidak asing lagi dengan kebolehan menginterpretasikan dan memperkenalkan semula lagu-lagu klasik Melayu sekitar 1940an dan 1950an kepada peminat muzik Malaysia dengan gayanya yang elegan, Ushera telah terpanggil untuk menyuarakan rasa hatinya tentang situasi yang sedang dialami seluruh masyarakat dunia, dan Malaysia khasnya yang mungkin sekali lagi tidak dapat pulang menyambut Hari Raya di kampung halaman.
“Kembali adalah percubaan kedua saya menulis dan merakamkan lagu Raya selepas lagu Suka Ria Raya pada tahun 2017. Walaubagaimanapun, ini adalah percubaan pertama saya membawakannya dalam bentuk klasik tradisional Melayu dengan nada mendayu. Proses penulisan lagu ini dimulakan oleh saya sendiri dan kemudiannya ia telah digubah dan diarahkan semula oleh Ganesh Bala dengan menambah unsur-unsur Ghazal di dalam melodi. Liriknya pula ditulis oleh Raihani Mohd Saaid, dan saya sendiri ada membuat beberapa penambahan bagi menyesuaikan lirik lagu ini kepada mesej dan sentimen yang cuba disampaikan. Ianya bukanlah satu proses yang mudah untuk memastikan Kembali dapat dikeluarkan untuk santapan pendengar sebelum Raya menjelma namun saya amat berpuashati dengan hasilnya”, kata Ushera.
Ghazal Melayu adalah salah satu di antara genre Ghazal yang telah berevolusi di dalam dunia muzik Melayu dengan menggabungkan pantun atau sajak bersama muzik, dan berasal dari Timur Tengah dan India pada abad ke-7. Jika dikaji, muzik Ghazal telah sampai ke Asia Tenggara pada abad ke-12 akibat pengaruh mistik ahli-ahli Sufi dan juga Kesultanan Melayu lama.
Menurut Ushera lagi, “Kembali dari segi vokal amat sukar untuk dinyanyikan. Saya perlu belajar menggunakan tingkat suara yang berlainan untuk mencari tahap yang sesuai dengan kemampuan vokal saya. Selain itu, lenggok lagu Melayu juga perlu saya praktikkan untuk mencantikkan lagi lagu ini. Semuanya adalah cabaran baru bagi saya”. Ushera juga adalah seorang guru vokal yang mengoperasikan sekolah muzik bernama Ouch Academy.
Menjelaskan maksud lagu Kembali, Ushera menyatakan bahawa ianya adalah lebih dari hanya sebuah lagu Raya kerana ia sarat dengan maksud lain yang tersirat. Selain daripada menjurus kepada mesej budaya balik kampung, ia juga boleh diinterpretasikan sebagai seseorang yang kembali kepada fitrah diri sendiri dalam destinasi perjalanan kehidupan.
Kembali kini boleh dimuatturun dan dibeli dari kesemua platform strim yang dikenali ramai. Saksikan video lirik Kembali di YouTube.
Ikuti perkembangan Ushera di Instagram dan YouTube dengan menaip nama ‘Ushera’.