Pelakon Uqasha Senrose memberitahu telah mengupah pengawal keselamatan demi memastikan insiden ngeri yang menimpa suaminya, Kamal Adli tidak berulang lagi.
Meskipun Kamal semakin pulih, fobia dan trauma masih menyelubungi dirinya dan suami.
“Kena ada orang yang teman dia di rumah. Memang kami dah upah bodyguard termasuk polis sentiasa buat rondaan di rumah setiap dua hingga tiga jam.
“Untuk saya sendiri, masih rasa takut. Keluar sekarang ini pun berdebar-debar. Benda itu jadi depan mata. Orang lalu sebelah pun sekarang, kita terganggu.
“Kena berteman ke mana-mana sekarang. Tak boleh seorang diri. Macam saya, pergi kerja balik kerja, itu sahaja.
“Raya tahun ini pun saya tak ke mana rasanya. Hanya dengan keluarga dan adik-beradik,” katanya.
Mengulas lanjut tentang keadaan Kamal, dia menjelaskan suaminya masih berkelakuan seperti biasa walaupun insiden tersebut hampir meragut nyawanya.
“Kamal tak tunjuk sebab dia lelaki kan, takkanlah dia jadi lemah. Tapi sebagai isteri, kita tahulah mood dia bila dia moody, bila dia tak gembira, okey dan sebagainya.
“Kamal susah nak dibawa menerima rawatan. Dia sendiri cakap pada saya, pukullah dia dengan cota 50 kali pun, tapi dia tak nak jumpa doktor. Dia takut dengan doktor dan jarum.
“Masa kejadian tempoh hari, dia bermati-matian tak nak dijahit di bahagian luka. Nak guna gam UHU. Dia boleh buat lawak begitu. Saya waktu itu nak menangis bagai nak rak dah,” jelasnya.
Susulan kes penyerang Kamal tersebut, Uqasha tidak dapat berkongsi secara terperinci kerana masih dalam siasatan pihak berkuasa Singapura dan Malaysia.
Pada 13 Mac lalu, Kamal dipukul seorang lelaki tidak dikenali di Singapore Expo Hall, Singapura sehingga perlu menjalani pembedahan kerana mengalami banyak pendarahan.