in , ,

Ada Silap Faham, Untung Konsert Doa Buat Zamani Hanya RM4,635

Penganjur Konsert Doa Buat Zamani, Aalan Ahmad tidak bercadang mengambil tindakan terhadap isteri Zamani iaitu Nur Juliana Abd Rani yang mendakwa suaminya tidak mendapat bayaran ketika menjayakan konsert itu.

Aalan yang mewakili syarikatnya Indera Entertainment berkata, kemungkinan besar Juliana tersalah faham sehingga mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Dia mungkin tidak tahu perkara sebenar berkenaan tiket yang tidak habis dijual, tetapi pada masa sama penonton dilihat memenuhi tempat duduk yang disediakan.

“Saya anggap ini hanyalah salah faham kecil dalam satu keluarga dan tidak menyalahkan dia sepenuhnya atas apa yang berlaku. Masalah ini sepatutnya boleh diselesaikan sesama kami dan bukan membawanya keluar.

“Mungkin dia tertekan memikirkan keadaan suaminya yang bakal menjalani pembedahan serta pelbagai masalah lain sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan sedemikian,”

Aalan turut menunjukkan penyata jualan tiket konsert yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 30 September lalu ialah sebanyak 365 keping.

Pecahan lengkap jualan terbabit menyaksikan tiket untuk kategori tempat duduk Rindiani dijual sebanyak 72 keping, Nur Kasih (214), Maria Mariana (31), Kurnia (48) dengan kutipan keseluruhan berjumlah RM107,120.

“Jumlah itu kemudiannya dicampur dengan tiket pembelian Tuanku Permaisuri Selangor menjadikan jumlah terkumpul sebanyak RM116,120.

“Dari situ saya bayar segala kos berkaitan antaranya sewa pentas, pemuzik, artis undangan dan permit DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) yang jumlahnya mencecah RM111,485.

“Selepas ditolak kos itu, baki yang tinggal di tangan ialah RM4,635. Itulah pendapatan yang kami dapat. Wang itu akan diberikan kepada Zamani mengikut rundingan asal 70/30.

“Jadi tidak benarlah kenyataan yang dia tidak dapat sesen pun dari konsert terbabit. Saya masih ingat kenyataan Zamani tak kisah jika tiada untung besar asalkan kami tidak berhutang,” katanya yang mendoakan pembedahan Zamani minggu depan berjalan lancar.

Mereka juga akan ke pejabat Mytickets Asia dalam minggu ini untuk mendapatkan butiran lanjut.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan perkara itu sudah diselesaikan secara baik di antara Aalan dan Zamani.

Menurut Aalan, dia sudah berjumpa dengan Zamani, Sabtu lalu dan menjelaskan semua tiket memang tidak dijual.

Menurutnya, walaupun tiket tidak laris, pihaknya memenuhkan tempat duduk dengan penonton seperti mengundang ahli kelab peminat menyaksikannya.

“Kita akan penuhkan supaya nampak keadaan cantik. Waktu jumpa Zamani Sabtu lalu, saya buat penjelasan dan keadaannya ketika itu okey. Dia dah jelas semuanya.

“Sebelum berpisah kami bersalaman dan berpelukan. Dia kata tak mengapa dia nak selesaikan pembedahan dan selepas itu kita mula kerja semula macam biasa. Saya tak faham kenapa perkara ini berbangkit,” katanya. – HM Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

KADOS Taruhan Terbaharu ISOBAHTOS, Hadiah Buat Semua Peminat

Huawei MatePad Pro 12.6″ Versi WiFi Ditawarkan Di Malaysia Pada RM4299