Universal Music Malaysia, Def Jam Recordings Malaysia dan Celebrity 360 telah menganjurkan rumah terbuka hari raya bersama pertama mereka di Hotel Sheraton Petaling Jaya dan sekaligus melancarkan Masyhur, sebuah sub-label Islamik di bawah payung Universal Music Malaysia.
Para jemputan khas, teman-teman media serta rakan-rakan jenama turut dihiburkan dengan aneka lagu Raya dendangan para artis di bawah naungan Universal Music Malaysia dan Def Jam Recordings Malaysia seperti DOLLA, Insomniacks, The Gadys, Razzuan Rosli, Yonnyboii, Siqma, ASYRAF NASIR, Kmy Kmo & Luca Sickta berserta artis edaran mereka seperti Wani Kayrie (Rocketfuel Entertainment) dan artis terbaharu RedRecords, Airliftz.
Universal Music Malaysia juga telah mendedahkan inisiatif pencarian bakat terbaharu mereka melalui Masyhur yang dipanggil Masyhur Redefined dengan kerjasama Faithful Music. Siri laman sesawang itu akan menampilkan Faizal Tahir sebagai juri utama di samping juri-juri selebriti sebagai mentor kepada pemuda-pemudi Malaysia yang ingin memulakan langkah dalam industri muzik. Para peserta akan menjalani bengkel serta cabaran mingguan untuk menguji kemahiran kreatif mereka dalam menghasilkan karya asli, menulis serta mencipta lagu dan juga persembahan pentas.
“Diberi peluang menyambut Aidilfitri bersama rakan sekerja, artis-artis naungan serta rakan kongsi selain teman-teman media membuat segala cabaran yang kami tempuhi selama dua tahun lalu kelihatan berbaloi dan tidak sia-sia. Saya sangat terharu dapat meraikan pengembangan Universal Music Malaysia melalui objektif berterusan kami dalam mempelbagaikan keluaran muzik, portfolio perniagaan dan inisiatif pemasaran kreatif. Saya tak sabar melihat apa yang bakal disajikan buat kita untuk tahun-tahun mendatang” kata Kim Lim, Pengarah Urusan, Universal Music Malaysia.
Untuk keluaran 2022, Masyhur memperkenalkan karya-karya baharu oleh Fattah Amin (‘Hamba’ featuring Kmy Kmo, ‘Kiriman Agung’ dan ‘Sinar Selawat’), Mestica & Dato Hattan (‘Istikharah’) serta album kompilasi ‘Zikir Rintihan Hati’ dengan kerjasama Begood Music.
Selain Masyhur Redefined dan keluaran muzik terbaharu sub-label itu untuk tahun 2022, Masyhur juga telah berkongsi inisiatif 2021 mereka iaitu ‘Kongsi Rezeki’, sebuah siri 6 bahagian di laman YouTube bersama Beegood Music yang menampilkan semangat sukarelawan dan kepentingan hubungan pembinaan-komuniti di kalangan rakyat Malaysia. Dengan Kerjasama Malaysian Relief Agency, Hero Exclusive, Syuk Sahar, Ayam Go-lek, siri itu menunjukkan beberapa artis seperti Siqma, Yonnyboii, Shalma Eliana, ASYRAF NASIR, Nuha Bahrin, Isma Sane, Outbreak melakukan kerja sukarela di Al- Fikrah Centre, rumah anak yatim piatu Raudhatul Al-Faaez, Pusat Gelandangan KL serta PPR Laksamana & PPR Sri Johor. Masyhur juga telah menganjurkan Youth Street Music Festival pertama pada tahun 2020 di pelbagai lokasi seperti KPTM Cheras, Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute serta Asia Pacific University yang menampilkan artis termasuk Yonnyboii, Shalma Eliana (kini dikenali sebagai YANA), Dai’ Syed & In-Team, ASYRAF NASIR, Luca Sickta dan Halim Ahmad.
Tentang Masyhur
Diasaskan pada 2020, Masyhur memberikan satu nafas baharu dalam muzik ketuhanan lewat ilham yang diperolehi dari genre-genre berunsur keimanan yang menjadi karya kontemporari untuk menyinari kehidupan. Sebuah label baharu di bawah Universal Music Malaysia, Masyhur berhasrat membina satu komuniti artis dan pengikut yang percaya bahawa cerminan diri yang positif boleh menjadikan karya muzik dan dunia lebih baik. Misi dan visinya adalah mempromosikan kandungan positif, dan penuh semangat selain membangunkan peluang perniagaan dalam sektor Halal.
Tentang Universal Music Malaysia
Universal Music Malaysia adalah salah satu cabang Universal Music Group dan merupakan pangkalan buat artis, label dan jenama paling ikonik dan berpengaruh dalam industri seni. Kami adalah syarikat muzik terulung dunia. Dalam setiap yang kami lakukan, kami komited pada penghasilan seni, inovasi dan keusahawanan. Kami memiliki dan mengurus aneka perniagaan bersangkutan rakaman muzik, penerbitan muzik, barangan dan kandungan audio-visual tempatan, serantau dan antarabangsa.