Anugerah Industri Muzik (AIM) yang mengiktiraf pengkarya muzik tanah air kembali diadakan selepas lima tahun ‘berehat’.
Penganjuran edisi ke-23 yang berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), kelmarin bukti AIM tidak pernah hilang taring, malah AIM23 kekal berprestij.
Dalam pada peminat muzik tanah air meraikan barisan pemenang menerusi lagu dan penyanyi kegemaran mereka yang dinobatkan sebagai terbaik, tidak dilupakan tulang belakang di sebalik kejayaan itu.
Pastinya, apa yang menjadi tumpuan pada AIM23 kali ini apabila syarikat rakaman Universal Music Malaysia dan Def Jam Recordings Malaysia unggul dengan meraih 12 kategori daripada 21 kategori yang tercalon.
Kemenangan itu terdiri daripada Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita): Sinar Mata Hati (Ernie Zakri), Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Berkumpulan): Tunggu (V.E.), Album Terbaik: Yonny (Deluxe Edition) (Yonnyboii), Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan oleh Artist Luar Negara: Tak Ingin Usai (Keisya Levronka), Lagu Inggeris Tempatan Terbaik: Game of Charades (Sophia Zuhri) dan Lagu R&B/Hip Hop Terbaik: CIAO (Joe Flizzow).
Selain itu, Lagu Pop Terbaik: Goodbye Hello (Ernie Zakri & Syamel), Rakaman Album Terbaik: Belagu (Dayang Nurfaizah), Rakaman Lagu Terbaik: Tudung Periuk (Dayang Nurfaizah), Susunan Terbaik Dalam Lagu: Tudung Periuk (Dayang Nurfaizah), Lagu Terbaik: Goodbye Hello (Ernie Zakri & Syamel) dan Lagu Nada Dering Jualan Paling Tinggi: Adakah Ini Mimpi (Reedzwann).
Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, kemenangan yang diraih Universal Music Malaysia dan Def Jam Recordings Malaysia dianggap sesuatu yang luar biasa apatah lagi selepas industri hiburan tanah air ‘lumpuh’ ekoran pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama hampir dua tahun.
“Kita tahu sepanjang pandemik Covid-19 aktiviti seni tidak dapat dilaksanakan seperti sebelumnya. Namun, syarikat rakaman tidak boleh duduk diam saja. Jadi, apa yang dibuat adalah memperkasakan lagi kandungan di platform digital. Justeru, sepanjang tempoh itu, Universal Music Malaysia dan Def Jam Recordings Malaysia tetap rancak menghasil dan menerbitkan lagu khusus buat peminat muzik tanah air.
“Biarpun masih berdepan cabaran, tapi ia bukan halangan untuk syarikat rakaman berhenti daripada terus berkarya dengan menghasilkan lagu dan album berkualiti. Apatah lagi ini adalah asas yang menjadi keutamaan kami. Syarikat rakaman turut memberikan kebebasan kepada penyanyi untuk berkarya dan menunjukkan kreativiti mereka.
“Apa pun, kemenangan pada AIM23 bukti kerja keras semua pihak yang terbabit secara langsung mahupun tidak dalam semua karya yang diangkat. Semoga ini menjadi pendorong dan pembakar semangat untuk Universal Music Malaysia dan Def Jam Recordings Malaysia menghasilkan lebih banyak karya berkualiti dan terbaik,” katanya.
Menurut Kim Lim, tetap berharap aktiviti mempromosikan lagu secara lapangan diteruskan dan ia adalah tradisi yang tidak boleh dilupakan.
“Walaupun sepanjang tempoh pandemik dan PKP itu kebanyakan aktiviti dijalankan secara dalam talian membabitkan semua platform digital, Universal Music Malaysia dan Def Jam Recordings Malaysia masih menjaga kualiti itu. Dalam masa sama, aktiviti ‘on ground’ yang kebiasaan dibuat sebelum ini masih perlu dijalankan. Kita tetap nak ada ‘vibes’ itu,” katanya.
Sementara itu, Pengarah A&R & Pemasaran Universal Music Malaysia yang juga Ketua DefJam Recording Malaysia, Hermond Cheng berkata, dia turut berbangga atas pencapaian diraih Def Jam Recordings Malaysia.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua yang menang pada AIM23 terutama daripada Universal Music Malaysia dan Def Jam Recordings Malaysia. Cukup bangga juga apabila Def Jam Malaysia bawa pulang dua kategori iaitu Album Terbaik: Yonny (Deluxe Edition) (Yonnyboii) dan Lagu R&B/Hip Hop Terbaik: CIAO (Joe Flizzow).
“Walaupun Def Jam Recordings Malaysia ini boleh dianggap pemain baru dalam pasaran muzik tempatan, kemenangan ini adalah bukti yang mana kita sentiasa mahu memberikan hasil kerja dan karya yang berkualiti. Dalam masa sama, saya percaya sokongan daripada semua pihak antara penyumbang kepada kejayaan ini,” katanya.
Selan itu, Universal Music Malaysia dan Def Jam Recordings Malaysia turut merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada beberapa rakan kerjasama mereka antaranya Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd; DN & AD Entertainment Sdn. Bhd; Cloudworks Entertainment; Kasugi Timur Sdn. Bhd. / Wake The Baby dan RUSA Marketing Sdn. Bhd.
Bagi penganjuran AIM ke-23, pihak penganjur menerima 650 pencalonan bagaimanapun hanya 105 disenarai pendek bagi 21 kategori yang dipertandingkan untuk karya yang diterbitkan dalam tempoh satu setengah tahun bermula 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2022.
Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) yang juga Jawatankuasa Penganjur AIM23, Rosmin Hashim Rosmin memaklumkan seramai 113 juri terbabit dalam penilaian calon dengan setiap kategori diadili antara tujuh hingga 10 pakar dalam bidang masing-masing.
Juri terdiri daripada Maestro Muzik, Datuk Mokhzani Ismail merangkap ketua juri, Omar K, DJ Fuzz, Adi Priyo, Shah Slam, Datuk Syafinaz Selamat, Fauzi Marzuki, Datuk Acis, Dato’ Afdlin Shauki, Mas Idayu, Noryn Aziz dan ramai lagi.