Ketibaan dua ahli kumpulan UNIC bersama seorang ahli kumpulan Devotees, Halim Ahmad telah disambut meriah oleh rombongan Jawatankuasa Konsert Malam Amal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah petang 26 Januari 2015 yang lalu.
Kehadiran ahli kumpulan nasyid tersebut adalah untuk menjayakan Konsert Malam Amal PERUBATAN yang bakal berlangsung pada 28 Januari ini di Dewan Konferens Kasr El-Aini Kaherah. Hasil kutipan tabung kemanusiaan yang akan diedarkan pada konsert tersebut akan disalurkan kepada “Syria Winter Mission (SWIM)” di Jordan.
Bertepatan dengan penganjuran Malam Amal ini, satu kutipan Tabung Kemanusian akan diadakan pada malam ini. Pastinya kita sedia maklum keadaan pelarian Syria di Jordan ditambah pula dalam keadaan musim sejuk sekarang ini.
UNIC yang popular dengan lagu Bintang Syurga, bakal mendendangkan lapan buah lagu dalam konsert malam amal nanti. Persembahan UNIC ini bakal memeriahkan dan memberikan kesedaran kepada peserta bukan sahaja kerana populariti mereka, tapi kerana UNIC sebagai duta Muslim Care dan mereka juga turut menjiwai perjuangan umat silam di serata dunia.
Menurut Nurhakim bin Ibrahim, selain daripada memberi kelainan dalam Konsert Malam Amal kali ini, ia turut memberi ruang kepada ahli PERUBATAN untuk berhibur dengan cara islamik. Nurhakim merupakan Ketua Jabatan Kebajikan & Kemanusiaan (JKK) yang turut bersama-sama turun ke padang untuk menyambut artis dari Malaysia tersebut.
Rombongan Jawatankuasa yang menyambut ketibaan tersebut telah diketuai oleh Nurhakim bin Ibrahim berserta Presiden PERUBATAN, Muhammad ‘Arif Rukaini bin Sufian. Sumber: Portal Perubatan