Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, ibadat itu sah jika umrah yang dilakukan itu mencukupi syarat.
“Isu dia (Muhammad Sajad) berpakaian wanita itu adalah kesalahan lain. Jika melihat dari segi ibadat, umrah dia adalah sah selagi dia menutup aurat dan cukup syarat.
“Sebagai contoh lelaki solat dengan memakai pakaian curi, ibadat solatnya masih sah namun tindakannya yang mencuri itu tetap haram. Ianya dua perkara berbeza,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di Kota Bharu, hari ini.
Bagaimanapun beliau berkata, sepanjang ibadat umrah yang dilakukan itu, Muhammad Sajad melanggar tiga perkara iaitu tidak patuh dan taat kepada Allah SWT selain tidak taat kepada peraturan yang ditetapkan.
“Jika kita melanggar tiga perkara itu ketika menunaikan ibadat umrah, Allah tidak akan reda. Sekarang ini ramai yang mengatakan hak asasi manusia dengan mempertahankan tindakan dia (Muhammad Sajad).
“Dalam Islam, hak asasi itu terpakai kepada mereka yang berada dalam fitrah sahaja. Jika seseorang itu hidup diluar fitrah iaitu menjadi wanita sedangkan dilahirkan sebagai lelaki, bermakna dia sudah tidak hidup secara fitrah.
“Jadi apa yang dilakukan Muhammad Sajad itu sudah melanggar ketiga-tiga elemen berkenaan sepanjang di Makkah selain tidak hidup secara fitrah. Maka Allah tidak akan reda,” katanya.
Semalam, agensi yang membawa ahli perniagaan kontroversi, Muhammad Sajad mengerjakan umrah, mengesahkan ahli perniagaan itu sudah dibawa keluar dari Tanah Suci.
Ia susulan kontroversi usahawan kosmetik itu mengenakan pakaian jemaah wanita ketika di Makkah sehingga tular di media sosial.
Jurucakap Albayt Travel (M) Sdn Bhd berkata, pihaknya terpaksa mengambil tindakan terbabit selepas ia menjadi kontroversi dan mendapat perhatian banyak pihak.
Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata, apabila Muhammad Sajad menunaikan umrah, masyarakat mengharapkan dia mendapat keinsafan dan kembali ke pangkal jalan.
Namun katanya, tindakan yang dilakukan itu turut menjejaskan imej negara yang selama ini sentiasa dipuji sebagai jemaah yang berdisiplin.
“Ini kejadian pertama yang memecah disiplin negara. Justeru, kerajaan perlu tangani masalah ini sebagaimana doktor yang merawat pesakit.
“Nasihat saya misi hidup kita adalah merasa perhambaan diri kepada Allah, jadi semua pihak harus menyedari misi hidup. Jangan lari dari misi hidup,” katanya.
Sumber: Harian Metro