Umno hari ini mengumumkan pendirian mereka berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perkara tersebut diumumkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu sidang akhbar dan menerusi satu kenyataan media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang berlangsung selama maya hari ini.
Sokongan Kepada Yang di-Pertuan Agong
Menurut Zahid, keputusan itu selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan parti itu mengenai sokongan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara.
“Kenyataan terbaru PM hari ini tidak menjernihkan masalah bahkan menyerlah kekhilafan Kerajaan yang jelas telah mempersendakan baginda yang hakikatnya sudah beberapa kali menitahkan untuk semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan sebelum 1 Ogos lagi bukan September 2021.
– Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
Meminta Muhyiddin untuk Meletakkan Jawatan
Zahid dalam masa sama turut meminta Muhyiddin untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat.
“Bagi menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada KDYMM Yang Dipertuan Agong makan, Majlis Kerja Tertinggi sebulat suara bersepakat menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perakatan Nasional dan Tan Sri Dato Haji Mahiaddin Bin Hj Md Yassin selaku Perdana Menteri.
“Tan Sri Dato Haji Mahiaddin Bin Hj Md Yassin mesti mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran Kerajaan kepimpinan beliau yang menyanggah tidah KDYMM Yang Dipertuan Agong dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat”
Jelas Zahid lagi, dia akan mempersembahkan surat akuan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menzahirkan penarikan sokongan kepada Muhyiddin dan Kerajaan PN.
Zahid berkata demikian dalam sidang akhbar yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook UMNO hari ini.Yang turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohammad Hassan, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said dan beberapa Ahli Parlimen UMNO yang lain.
Bagaimanapun, tiada kelibat Ahli Parlimen UMNO yang menganggotai kabinet hadir termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sebelum sidang akhbar oleh Ahmad Zahid, seorang Ahli Parlimen UMNO yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah mengumumkan beliau melepaskan jawatannya dalam Jemaah Menteri hari ini.
UMNO kini mempunyai 35 orang Ahli Parlimen namun dikatakan telah ‘berpecah’ kepada dua kem iaitu satu yang pro PN membabitkan kelompok yang memegang jawatan dalam kabinet manakala satu lagi berhaluan kiri yang sering mengkritik pentadbiran kerajaan.
Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, surat akuan Ahli – ahli Parlimen UMNO yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri telah dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong sekaligus menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti dan keabsahan selaku Ketua Kerajaan.