UMNO mengambil keputusan untuk menarik balik dan menamatkan sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan serta-merta.
Menurut Ahmad Zahid, segala panduan utama yang digariskan oleh UMNO sebagai syarat sokongan terhadap Muhyiddin sebelum telah gagal dipenuhi dan dilaksanakan dengan memuaskan.
Katanya, kerajaan ternyata telah gagal dalam memenuhi segala aspirasi rakyat dalam beberapa perkara utama.
Perkara Yang Disebutkan Oleh Ahmad Zahid Ialah:
* Kegagalan kerajaan menangani pandemik COVID-19 sehingga menyebabkan keresahan rakyat, polisi tidak konsisten dengan pelaksanaan PKP separuh masak selama 6 bulan.
* Kegagalan kerajaan amat nyata, dalam menyalahgunakan Darurat yang dianggap sebagai muslihat politik hingga menyebabkan kemudaratan kepada rakyat, ekonomi negara sekali gus menafikan suara UMNO yang membantah proklamasi Darurat. Ini ternyata banyak membebankan rakyat dengan mengenakan kompaun yang bersifat dwi-standard apatah lagi terbeban dengan kelangsungan hidup.
* Kegagalan kerajaan mengamalkan Demokrasi Berparlimen. Membantutkan check-and-balance dalam aspek memerangi pandemik dan perbelanjaan.
* Kegagalan rakyat memberi bantuan tuntutan kepada rakyat termasuk moratorium terakru, dan tidak dipanjangkan kepada lembaga pembiayaan sektor awam, skim i-Citra tidak mesra rakyat, BPR, BPN yang lambat sehingga ramai rakyat tercicir.
* Kegagalan memberi keyakinan kepada rakyat sehinga peningkatan masalah sosial seperti kes bunuh diri. Daripada Mac 2020 hingga Mei 2021 berjumlah 1099 kes. Manakala kita juga lihat Gerakan Bendera Putih, protes Rakyat untuk menyantuni tekanan rakyat yang terdesak sekarang ini.
* Kegagalan kerajaan meneri kestabilan kerajaan sehingga pelabur asing tiada. Meletakkan negara kita ketiga paling bawah dari 53 negara ekonomi (laporan Bloomberg).
* Kegagalan kerajaan dalam memperkotak-katik Raja sehingga Parlimen, dan pelan pemulihan negara. Selaku parti yang menjadi benteng utama, sesungguhnya UMNO tidak boleh berkompromi dengan sikap kerajaan ini terhadap institusi Raja-Raja.
“Berdasar tujuh perkara di atas, Kerajaan Muhyiddin Yassin adalah gagal. Tujuh perkara ini adalah pra-syarat untuk UMNO meneruskan sokongan.
“Bagi memenuhi mandat Perhimpunan UMNO 2020, maka tempoh memberikan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin ditarik balik dan ditamatkan serta-merta,” tegas beliau pada sidang media secara maya selepas mesyuarat MKT UMNO, pada awal pagi Khamis.
Selain itu, katanya UMNO juga mendesak agar Muhyiddin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad.
“Tempoh Perdana Menteri yang baharu akan hanya memfokuskan usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik, menangani COVID-19 dengan pendekatan inklusif dan memastikan proses vaksinasi dan imunisasi dapat disegerakan.
“Setelah berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, Perdana Menteri baharu mestilah segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15.
Jelasnya, ini penting bagi membolehkan sebuah kerajaan yang benar- benar stabil dan memperoleh mandat majoriti rakyat diwujudkan sebagaimana terhasrat dalam titah Yang di-Pertuan Agong.
Dalam pada itu, Mesyuarat MKT malam ini juga mempertegaskan pendirian sebagaimana yang telah diputuskan di Perhimpunan Agung UMNO 2020, untuk tidak sesekali menyokong sebarang usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ataupun kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-PH.
Sebelum ini Astro AWANI melaporkan, menurut sumber dalaman UMNO, mesyuarat yang diadakan secara maya itu dijangka memberi tumpuan kepada usaha-usaha membawa keluar UMNO daripada kerjasama bersama PN bagi membolehkan sebuah kerajaan baharu dibentuk.
Media turut melaporkan, Ahmad Zahid sebelum ini telah mengadakan pertemuan dengan Ahli MKT UMNO bagi mendapatkan sokongan untuk keluar daripada kerajaan sedia ada.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan pada Rabu, mengumumkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.
Selain itu, Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang memegang portfolio Menteri Luar dilantik sebagai Menteri Kanan dan turut mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini diketuai Ismail Sabri.
UMNO Desak Muhyiddin Berundur, Namun Tidak Sokong Anwar Jadi PM Baharu
UMNO menuntut Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur daripada jawatan Perdana Menteri, namun menegaskan tidak akan menyokong usaha menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri baharu.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata desakan terhadap Muhyiddin dibuat kerana beliau didakwa gagal memenuhi mandat sebulat suara perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) dan tujuh aspirasi rakyat yang digariskan.
Susulan itu, beliau berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat keputusan bahawa tempoh memberikan sokongan kepada Perdana Menteri ditarik balik dan ditamatkan serta-merta.
Beliau berkata, MKT juga kekal dengan pendirian yang diputuskan pada PAU2020 untuk tidak sesekali menyokong usaha mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri ataupun kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-PH (DAP-PH Lead Government).
“Tempoh memberikan sokongan kepada Tan Sri Mahiadin (Muhyiddin) Yassin ditarik balik dan ditamatkan serta-merta. Justeru, UMNO mendesak Tan Sri Mahiadin (Muhyiddin) dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk satu tempoh yang terhad,” katanya dalam satu sidang media secara maya selepas Mesyuarat MKT UMNO pada malam Rabu.
Katanya, setelah diperhalusi, segala panduan utama yang digariskan UMNO sebagai syarat meneruskan sokongan terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin gagal dipenuhi dan dilaksanakan dengan memuaskan.
Ujarnya, tempoh Perdana Menteri yang baharu kelak akan hanya menumpukan kepada usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik.
“Setelah berjaya mencapai imunisasi berkelompok, Perdana Menteri baharu mesti segera menasihati Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk diadakan PRU15.
“Ini penting bagi membolehkan sebuah kerajaan yang benar-benar stabil dan memperoleh mandat majoriti rakyat diwujudkan sebagaimana terhasrat dalam titah Yang di-Pertuan Agong,” tambah beliau lagi.
Demi Kepentingan Rakyat, Ku Li Sedia Jadi PM Interim
Veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah berkata, beliau tidak menolak sekiranya diberi kepercayaan untuk dipilih sebagai Perdana Menteri interim jika negara sekali lagi berdepan krisis politik.
Memetik laporan Sinar Harian, Ahli Parlimen Gua Musang yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu berpendapat, sesiapa sahaja termasuk dirinya akan memikul tanggungjawab tersebut jika ia dibuat demi kepentingan rakyat.
“Kalau dengar kepada banyak laporan takut kita hendak mencuba pun tetapi kalaulah itu menjadi tanggungjawab sesiapa sahaja mesti memikulnya kerana demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dalam sebuah program bual bicara Bersama Ku Li yang disiar di semua platform Sinar Harian pada Rabu.
Pada 24 Februari tahun lalu, Malaysia buat pertama kalinya mempunyai Perdana Menteri Interim apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri ketujuh.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan menerima peletakan jawatan itu, bagaimanapun kemudiannya telah berkenan Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim.
Pelantikan itu adalah sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
*Sumber: Astro Awani