Setelah tujuh tahun menanti, akhirnya Malaysia sekali lagi menjadi saksi kepada kegilaan dan keseronokan yang dibawa oleh bintang-bintang Running Man! Konsert Running Man: Run 2 U in Kuala Lumpur yang berlangsung pada 15 Februari lalu di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC) benar-benar menggegarkan jiwa lebih 5,000 peminat yang hadir.
Malam penuh keceriaan ini menampilkan Jee Seok Jin, Yoo Jae Seok, Kim Jong Kook, Ha Dong Hoon (HAHA), Song Ji Hyo, dan Yang Se Chan yang bukan sahaja menghiburkan dengan aksi lucu mereka, malah memberikan persembahan yang tidak akan dilupakan oleh peminat tegar Running Man.
Sorakan Padu Sejak Awal
Sebaik sahaja tirai konsert dibuka dengan lagu ikonik BTS, Spring Day, suasana terus menjadi hangat. Setiap seorang ahli Running Man tampil dengan karisma tersendiri, menjadikan peminat lebih teruja. Dari awal hingga ke penghujung acara, sorakan tidak pernah berhenti!
Peminat turut terhibur dengan permainan interaktif bersama ahli Running Man. Beberapa peminat bertuah berpeluang naik ke pentas untuk bermain permainan dan merakam swafoto bersama idola mereka. Memang rezeki yang tak ternilai!
Debut Yoo Jae Seok dan Yang Se Chan di Malaysia
Kehadiran Yoo Jae Seok dan Yang Se Chan buat pertama kalinya di Malaysia menambahkan lagi keterujaan peminat. Keakraban mereka dengan peminat jelas terasa, seolah-olah mereka sudah lama mengenali satu sama lain! Yoo Jae Seok yang terkenal dengan celotehnya berjaya membuat semua yang hadir ketawa dengan gelagat spontannya.
Manakala Yang Se Chan pula tidak ketinggalan mencuri tumpuan dengan ayat-ayat ‘pancing’ seperti “Saya kacak, kan?”, “Rindu tak saya?” dan “Jom kita kahwin!” yang membuat peminat tergelak besar. Memang pecah perut dibuatnya!
Persembahan Muzik yang Mantap!
Bukan sekadar permainan, Running Man juga memukau dengan persembahan muzik mereka. Dari lagu klasik seperti APT., Bam Yang Gang, hinggalah All Of Me, setiap lagu yang didendangkan mendapat sorakan gemuruh daripada peminat.
Kim Jong Kook dengan suaranya yang lunak menyanyikan One Man sebelum berduet dengan Ji Hyo untuk lagu We Need To Talk – satu momen yang cukup istimewa. Malah, peminat dikejutkan dengan Jong Kook yang tampil dengan kostum ala Rosé BLACKPINK dan Yoo Jae Seok yang meniru gaya Bruno Mars dalam APT.! Kreatif habis!
Haha dan Yang Se Chan pula menghidupkan suasana dengan lagu-lagu hip-hop seperti Whiplash dan Dang Diggi Bang. Memang kecoh dan gempak habis!
Terima Kasih Malaysia!
Konsert selama dua jam ini ditutup dengan lagu ikonik Running Man, I Like It, yang dinyanyikan bersama-sama peminat. Sebelum berpisah, mereka mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dengan penuh semangat, “Terima kasih Malaysia! Sokongan anda sangat menyentuh hati kami!”
Apa Kata Budiey?
Sebagai seorang yang sudah lama mengikuti Running Man, Budiey sangat berpuas hati dengan keseluruhan persembahan malam itu. Dari segi mutu bunyi, ia cukup mengagumkan! Setiap vokal dan muzik begitu jelas dan padu. Penganjuran konsert juga sangat lancar dan teratur, satu penghormatan besar buat peminat setia Running Man di Malaysia.
Budiey juga ingin berterima kasih kepada pihak penganjur kerana menjemput untuk membuat liputan di konsert ini. Pengalaman yang sangat berharga!
Selepas kejayaan malam ini, timbul satu persoalan – adakah mereka akan kembali lagi dalam masa terdekat? Jika ya, Budiey pasti ramai yang akan ‘repeat’ datang! Running Man tetap di hati! Jiayou!