Minggu pertama program ‘All Stars Buka Panggung’ yang penuh dengan gelak ketawa itu menyaksikan kemenangan pelakon hebat kelahiran Singapura, Datuk Aaron Aziz diumumkan sebagai Juara Mingguan, seterusnya melayakkan beliau membawa pulang sebuah trofi kemenangan! Kemenangan ini sekaligus membawa beliau terus ke minggu separuh akhir!
Menggunakan format 100% undian penonton, Datuk Aaron berjaya menewaskan tiga peserta lain dengan undian terkumpul sebanyak 37%.
Tempat kedua pula dimenangi oleh Naim Daniel dengan 29%, tempat ketiga Yusri Abdul Halim dengan 18% dan tempat keempat, Liyana Jasmay dengan undian sebanyak 14%.
Melakonkan watak secara improvisasi, tanpa disediakan sebarang skrip, kecoh dibuatnya panggung Royal Theatre, Shah Alam apabila memperlihatkan gelagat melucukan dari para peserta, sampai terjatuh pasu bunga di set Liyana Jasmay!
Tambahan pula dengan kehadiran mengejut artis jemputan, Datuk Jalaludin Hassan yang membawakan watak sebagai tunang Liyana, ‘Daddy Boo Boo’.
Datuk Jalaluddin turut terlibat di ruangan set Datuk Aaron Aziz, yang mana menyaksikan Datuk Aaron menjadi seorang jurusolek berperwatakan lembut bernama ‘Kak Ziana’.
Dalam pada itu, artis jemputan seterusnya, pelakon, Esma Daniel, pula memainkan watak sebagai seorang polis yang berasal dari Kelantan, datang menyerbu pusat urut milik Naim Daniel, membuatkan beliau cuak dan kalut tidak tentu arah. Kehadiran pelakon / pengacara wanita popular, Raja Azura sebagai seorang lagi artis jemputan di set lakonan Yusry Abdul Halim turut menggamatkan suasana.
Ternyata, minggu pertama ‘All Stars Buka Panggung’ berjaya membuatkan rata-rata yang menonton gelak tidak kering gusi dan cukup terhibur!
Menariknya lagi, sebagai penghargaan kepada para seniman negara, pihak ‘All Stars Buka Panggung’ dengan kerjasama Persatuan Seniman Negara, menyampaikan bantuan sumbangan kebajikan dalam bentuk wang tunai RM4,000 kepada Encik Abu Bakar bin Ahmad, atau lebih dikenali sebagai Haji Tawil.
Beliau baru sahaja menjalani pembedahan mata. Beliau yang terkenal dengan filem ‘Prebet Lapok’ dan pernah digandingkan bersama A. R. Badul, merupakan seorang pelawak pentas dan pelakon drama and filem sejak tahun 1970-an lagi.
Jom sertai hos kami Ajak dan Shahrol Shiro bersama ‘Seri Dewi Panggung’, primadona Erra Fazira, dan peserta minggu kedua – Datuk Rosyam Nor, Datin Diana Danielle, Fizo Omar dan Farahdhiya – dan saksikan persaingan sengit antara mereka untuk merebut gelaran ‘Juara Mingguan’!
Juara Mingguan ini kemudiannya akan kembali di minggu keenam, iaitu minggu separuh akhir di mana mereka diperlukan untuk berentap sekali lagi demi memastikan kedudukan mereka di pentas akhir.
Hanya 4 orang peserta sahaja bakal beraksi di pusingan kemuncak bagi merebut gelaran juara seterusnya membawa pulang wang tunai sebanyak RM 50,000 dan sebuah trofi!
Siaran Langsung program terbaharu Astro Warna, ‘All Stars Buka Panggung’ (Minggu Kedua) akan berlangsung pada 13 September 2019 (Jumaat), jam 9.00 malam di Royal Theatre, Shah Alam.