Pada 6 Oktober lalu, Budiey berada di Stadium Malawati Shah Alam untuk menonton persembahan LIVE dari penyanyi popular Indonesia, Afgan yang bergabung kali pertama dengan band yang saya anggap legenda dari Indonesia, Ungu. Rasanya, ini kali pertama mereka bergabung.
Jam 7 malam, Budiey tiba di perkarangan Stadium Malawati dan terpaksa menunggu beberapa orang pemenang tiket konsert yang hadir agak lewat pada malam tu. Apa-apa pun, Budiey nak ucapkan terima kasih banyak kepada penganjur yang sudi memberikan hadiah tiket Rock Zone kepada pembaca Budiey.com. Seramai 20 orang Budieyators berada di area Rock Zone pada malam tu menyanyikan bersama Ungu dan Afgan. Keren banget!
Walaupun ini bukan kali pertama Budiey menyaksikan konsert Afgan, namun Budiey teruja dengan konsert ini kerana bintang AF Megastar, Idayu akan berduet buat pertama kali dengan Ungu untuk menyanyikan lagu TERCIPTA UNTUKKU. Fuh! Sememangnya Budiey tunggu-tunggu. Mungkin sebab kolaborasi Ungu dan Idayu jugalah ramai peminat ‘histeria’ menjerit sebab goosebumps dengan keunikan dan kelunakan suara Idayu melakukan whistling pada malam itu.
Selain Jodoh Pasti Bertemu, Afgan turut menyanyikan lagu popularnya yang lain antaranya Sadis, X, Sabar, Bukan Cinta Biasa dan Terima Kasih Cinta.
Buat Afgan, tahniah Budiey ucapkan kerana katanya, beliau bakal meraikan sambutan sedekad pembabitan dalam dunia seni suara, tahun depan. Sempena dengan itu, Afgan merancang untuk mengadakan konsert di negara ini selain Indonesia. Sememangnya ditunggu-tunggu!
Kehadiran peminat Afgan dan Ungu malam itu bergabung menjadikan Stadium Malawati agak penuh walaupun area Rock Zone masih agak banyak rongga-rongga kosong. Bertanya pada Afgan, beliau katanya tidak gusar untuk terus menjayakan persembahan besar di negara ini kerana yakin dengan sokongan tidak berbelah-bagi peminat setianya. Peminat setia memang akan beli tiket di mana sahaja persembahan Afgan.
“Insya-Allah, jika ada rezeki saya ingin lagi mengadakan konsert tahun depan. Biarpun sering ke Kuala Lumpur, saya tidak ragu-ragu terus membuat konsert di sini sebagai tanda penghargaan kepada peminat.”
Untuk tidak membuat peminatnya jelak, Afgan berusaha memperkenalkan lagu baharu yang menampilkan sisi matang dirinya sebagai penghibur.
Sebagai langkah awal, Afgan terlebih dulu memperkenalkan beberapa lagu terbarunya ketika beraksi dalam Konsert Terunggul Afgan Bersama Ungu di Stadium Malawati, Shah Alam, malam tadi.
Disebabkan terlalu teruja dengan sambutan hebat peminat, Afgan terlupa dirinya masih kepenatan kerana baru pulang dari Korea Selatan, kelmarin.
“Saya tidak berkesempatan mengadakan latihan kerana baru tiba dari Korea Selatan dan hanya tidur sepanjang hari bagi mendapatkan rehat yang mencukupi. Saya berpuas hati dengan persembahan yang diberikan, malah ingin berterima kasih kepada peminat yang menyuntik aura positif membuatkan saya lebih bersemangat untuk beraksi. Kebanyakan lagu yang dinyanyikan dipetik daripada album baharu kerana ingin memberikan pendedahan kepada peminat menjelang konsert saya pada tahun depan.”
Terima kasih kepada penganjur di atas jemputan untuk Budiey hadir di Konsert Terunggul Afgan & Ungu
Afgan Nyanyi Lagu KATAKAN TIDAK di Konsert Terunggul