Tibalah masanya, malam ini, penyanyi Salamiah Hassan akan menghiburkan peminat beliau Konsert Gelombang Salamiah Hassan yang berlangsung di Istana Budaya. Pasti ramai yang dah beli tiket sekarang dah rasa excoted giler nak datang IB malam ni. Berlangsung pada jam 8.30 malam ini selama 3 malam berturut-turut, konsert pertama yang dibawakan oleh Akid Productions ini akan dihidangkan dengan 25 buah lagu-lagu yang mengimbau kenangan.
Budiey berpeluang menonton persembahan penyanyi yang kini sudah berusia 63 tahun itu di Prebiu Media Konsert Gelombang Salamiah Hassan pada 8 Januari lalu. Ternyata, suara lunak dengan persembahan bertenaga penyanyi ini berjaya memukau lebih kurang 1,000 orang penonton yang hadir. Budiey juga turut diberikan 40 tiket menonton konsert ini kepada pembaca Budiey.com. Semua yang datang, sangat teruja dengan persembahan yang begitu bernostalgik ini.
Konsert dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada penerbit Raja Azmi yang mana beliau mengatakan begitu sukar dan banyak sekali cabaran untuk mengadakan kosert ini seumpama menghamikan anak sulung.
Konsert ini menyaksikan Salamiah Hassan telah menukar baju sebanyak 4 kali. Semua busana yang elegan dan menawan ini direka khas dan ditaja oleh Butik Variante.
Apa yang Budiey boleh katakan, persembahan vokal yang masih ‘maintain’ dan mantap di usia beliau itu tidak mengecewakan penonton yang datang. Sekaligus, konsert ini menjadi kemuncak pencapaian karier beliau dan dapat merealisasikan untuk beraksi di pentas berprestij yang sudah tentu menjadi idaman setiap penyanyi.
Menerusi konsert yang berlangsung lebih 2 jam itu, Salamiah Hassan turut berkongsi kisah silamnya ketika di awal pembabitannya dalam bidang nyanyian bermula seawal usia 19 tahun dengan menjuarai program Bakat TV terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1970an.
“Konsert ini cukup bermakna pada saya di mana lagu-lagu yang dipersembahkan mempunyai maksud tersirat selain ia merupakan konsert pertama saya sepanjang 42 tahun melibatkan diri dalam industri muzik tanah air. Kalau nak tahu, ayah saya cukup tidak suka apabila mendapat tahu saya minat di bidang nyanyian. Tetapi saya tetap degil meneruskan keinginan saya. Kemudian, sebelum ayah meninggal, dia mendengar lagu saya, dia cakap ‘sedap juga anak aku nyanyi’. Dari situ saya tahu dia merestui apa yang saya lakukan.â€
Kekuatan persembahan disokong oleh barisan pemuzik hebat yang dipimpin oleh Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik, Pat Ibrahim sebagai pengarah persembahan dan Raja Malek sebagai penata seni konsert.
Budiey tertarik dengan paparan montaj pada semasa pentas dibuka. Ada sedutan dari program Bakat TV terbitan RTM pada 1971 di mana Salamiah Hassan tampil mendendangkan lagu If You Go Away. Budiey rasa sangat nostalgik sangat sebab gambar tu masih lagi dapat ditonton dengan jelas. Tiba pada korus, tirai dibuka dan Salamiah menyanyikan lagu yang pastinya ada nilai sentimental dalam hidupnya.
Menurut Salamiah, selama 40 tahun jadi penyanyi, pengalaman itu sangat istimewa sebab beliau kini menjejakkan kaki di Istana Budaya. Beliau sangat bersyukur dan gembira dengan apa yang dilaluinya.
Segmen pertama, dia menyampaikan lagu Cita-Citaku, Bila Hati Dah Sayang, Kau Dan Alasanmu yang berentak Dangdut dan Surat Terakhir yang biasanya kita dengar di radio. Sebagai penyanyi berpengalaman, Salamiah berkomunikasi dengan penonton. Beliau bercerita beberapa pengalaman dan merungkai rahsia hidupnya terutama cerita di sebalik lagu yang disampaikan.
“Saya bersyukur sangat kerana lagu Surat Terakhir ciptaan Datuk Ahmad Nawab memperkenalkan saya dalam industri muzik tanah air. Dalam pada itu, melihatkan anak saya, Atilia juga minat dalam nyanyian, saya mengajaknya berduet dalam lagu Kadang Kala.â€
[pullquote align=”right”]Salamiah tak lupa untuk berterima kasih kepada Datuk Ahmad Nawab yang memberi peluang untuk merakamkan album. Walaupun pada masa itu mendapat tentangan dari bapanya, Hassan Abdul Hamid yang sangat tegas.[/pullquote]
Salamiah buat EP lagu Surat Terakhir ciptaan Ahmad Nawab. Selepas EP, beliau menyanyi pula di kelab. Beliau juga mengakui walaupun kerja di kelab, beliau tak pernah minum minuman keras dan merokok seperti mana yang ditegah oleh ayah. Ternyata beliau adalah anak yang mendengar nasihat.
Untuk segmen kedua pula, Salamiah menukarkan ambien menjadi sebuah kelab malam dengan lagu-lagu disco yang rancak. Lampu yang berkelipan dengan tata cahaya yang ceria diserikan lagi dengan busana glamor warna merah. Sekaligus melengkapkan persembahan untuk lagu I Feel the Earth Move, Upside Down, Frim Fram Sauce dan Fever. Salamiah mengambil masa untuk tukar baju untuk segmen ketiga.
Untuk segmen ketiga pula, Salamiah menjemput anaknya Atilia berduet lagu Kadang Kala. Sebelum itu, dua anak beranak yang cukup intim ini berbual mesra sambil bergurau dan bercerita pengalaman mereka sama-sama naik bas untuk ke kelab di Gombak. Selepas berduet, Salamiah mengizinkan Atilia mengambil pentas dengan menyampaikan sebuah lagu, Cintaku Mengatasi Segalanya. Bak kata pepatah, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, itulah yang Budiey boleh katakan, bakat yang mengalir dalam diri Atilia memberi gambaran jelas tentang aura Salamiah Hassan yang cukup berbakat.
Salamiah Hassan meneruskan segmen ke-empat dengan lagu Kenang Daku Dalam Doamu, Kini Hatiku Telah Tertawan dan Patah Hati. Semua lagu ini adalah lagu kenangan dan menjadi kegemaran Allahyarham ibunya, Sabariah Aziz.
Salamiah yang mesra dengan gelaran Kak Anya juga tidak lupa menjemput abangnya, Ahmad Sharif yang sekarang ini berusia 82 untuk bermain akordian. Abangnya yang sangat pendiam ini pernah bertugas dengan Orkestra RTM.
Semasa intermision, penonton dihidangkan dengan paparan video temubual eksklusif bersama orang terdekat dengan beliau dan Salamiah juga berkongsi cerita tentang kisah hidupnya. Antara insan yang mengenali dan rapat dengan beliau ialah Datuk Ahmad Nawab, Datuk Freddie Fernandez, Datuk Khatijah Ibrahim, Habsah Hassan, Kassim Masdor dan wartawan veteran Bahyah Mahmood.
Segmen ke-empat, Salamiah memberikan sedikit kelainan dengan menyanyikan lagu-lagu iklan. Budiey rasa ini adalah persembahan pertama di Istana Budaya yang mempersembahkan lagu iklan. Itulah uniknya konsert ini. Apa yang kelakarnya, cara penyampaian pula dibuat secara drama spontan bersama Aubrey Suwito dengan set diubah seolah-olah sebuah studio di mana Salamiah sedang merakamkan lagu iklan.
Bukan senang untuk nyanyi lagu iklan sebab biasanya klien mahu persembahan vokal dan mood yang sempurna. Nampak macam senang dan lagu pun tak sampai seminit. Hanya beberapa saat sahaja tapi itulah, memang mencabar juga. Sepanjang hidupnya, bayangkan, lebih 500 lagu iklan telah dinyanyikan beliau. Banyak tu! Antara lagu yang menjadi siulan, lagu iklan Hazeline Snow, KFC dan Paddle Pop.
Beliau turut mengakui, semasa itu, beliau dah rasa penat untuk bersolek dan nyanyi di kelab. Kerja yang paling mudah ialah nyanyi lagu iklan atau jingles sebab tak perlu susah-susah nak pakai make-up.
Selepas sesi nyanyi lagu iklan, Salamiah Hassan mendendangkan pula lagu Wanita.
Segmen ke-lima menyaksikan Salamiah Hassan mendendangkan lagu paling popular yang sampai sekarang diputarkan di radio iaitu Menghitung Hari. Pastinya disambut dengan tepukan dan sorakan dari peminat. Disusuli pula dengan lagu Semut-Semut Di Titian Usang, Hanya Engkau & Aku dan lagu Aku Curiga. Beliau juga tak lupa untuk turun dipentas dengan bantuan pembantu beliau, Mierul. Glamor betul Mierul ni.
Selepas itu, dia menyanyikan lagu-lagu berentak Jazz iaitu Mahligai Kayangan, Bintang Malam dan Boleh Dilihat Dipegang Jangan. Beliau cuba menari mengikut rentak lagu yang dinyanyikan walaupun beliau mengaku tidak berapa pandai nak menari. Apa-apa pun yang penting, beliau memang santai dan sempoi.
Pada malam prebiu, Salamiah Hassan memperkenalkan sebuah lagu terbaru berjudul AKU hasil ciptaan Aubrey Suwito dan lirik oleh Ad Samad. Lagu ini berkonsepkan Melayu Klasik terbitan Natz Production. Lagu ini termuat dalam album terbaru yang mengandungi lima buah lagu nostalgia iaitu Bintang Malam, Malam Bulan Dipagar Bintang, Nak Dara Rindu, Mahligai Kayangan, Boleh Dilihat Dipegang Jangan dan lagu terbaru AKU.
Lagu AKU disampaikan kepada penonton pada malam itu sebagai penutup tirai. Selepas itu, satu sidang media diadakan dan penyanyi ini tak henti-henti menyeru kepada semua agar datang ke konsert kerana ini sahaja peluang untuk mendengarkan kembali lagu-lagu yang popular seketika dulu secara live di Istana Budaya. Apa-apa pun, beliau nampak sangat cerita dan gembira kerana tak sabar untuk memulakan konsert pada malam ini.
Beliau juga akui, rasa berdebar itu sudah tentu ada. Mana-mana penyanyi, tak kira lama dan baru, pasti akan rasa nervous semasa nak memulakan konsert. Beliau juga merasakan pentas Istana Budaya seperti berada di rumah sendiri dan sampai sekarang, beliau rasa macam tak percaya dapat perform di IB. Itulah kuasa Tuhan.
Budiey dengar, ada diskaun 20% untuk yang nak beli tiket di mana Harga tiket bermula RM350, RM300, RM250, RM200, RM150, RM100 dan RM80.
Bagi yang nak beli dan dapatkan tiket, boleh melayari laman web www.ticket2u.biz
Oh ya, jangan lupa dengan hashtag rasmi #KonsertSalamiahHassan dan tweet juga kepada Twitter @salamiahhassan
Budiey ucapkan semoga persembahan pembukaan pada malam ini akan berjalan lancar dan untuk malam-malam seterusnya, selamat maju jaya buat mama Salamiah Hassan. Do your best ya.