Pada 2 Oktober 2017, hari Isnin, satu tarikh bersejarah yang ditunggu-tunggu oleh peminat kumpulan progresif rock metal terkenal, Dream Theater di mana pada malam itu, kumpulan ini telah mengadakan konsert julung-julung kalinya di Malaysia. Semestinya peminat harus berterima kasih kepada IME Asia yang telah membawa grup ini ke Malaysia. Seramai 2,500 orang peminat membanjiri konsert ini semalam. Memang gempak habis!
Budiey turut berada di sana untuk menemubual peminat Dream Theater. Video boleh ditonton di saluran Youtube Budiey.com: www.youtube.com/budiey27
Liputan & Temubual Eksklusif di Konsert DREAM THEATER di Malaysia:
Dream Theater yang dibarisi James La Brie (penyanyi), John Petrucci (gitar), John Myung (bass), Jordan Rudess (keyboard) dan Mike Mangini (dram) yang cukup terkenal dengan ketelitian mereka dalam penghasilan muzik. Mereka bukan sahaja berbakat malah mempunyai kemahiran yang cukup tinggi dalam bermain muzik rock metal. Malah, setiap anggota Dream Theater sudah diiktiraf sebagai antara pemuzik terbaik dunia. Memang terbaiklah!
Antara lagu yang memecah suasana dewan semalam ialah Dark Eternal Night, The Bigger Picture, Hell’s Kitchen, The Gift of Music, Our New World, As I Am, Breaking All Illusions, Pull Me Under, Another Day, Take The Time, Surrounded, Metropolis, Under A Glass Moon, Wait For Sleep, Learning to Live dan A Change of Seasons.
Mulanya, Budiey mengandaikan konsert ini tidak mendapat sambutan kerana anak-anak muda tidak ramai yang mengenali kumpulan ini. Ternyata, persepsi Budiey sangat meleset kerana Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hampir penuh dengan peminat yang rata-ratanya menggilai muzik rock.
Persembahan bermula pada jam 8.50 malam dengan diiringi oleh sorakan dan tepukan dari penonton. Kumpulan dari Amerika Syarikat (AS) ini begitu dialu-alukan oleh peminat kerana keunikan persembahan mereka. Persembahan ini adalah sebahagian daripada Image, Words & Beyond 25th Anniversary Tour yang bermula di Rom, Itali pada 30 Januari lalu.
Ia juga sempena ulang tahun ke-25 album Images & Words yang diterbitkan pada 1992. Image & Words yang juga album kedua Dream Theater ini adalah album mereka yang paling laris dan mendapat pengiktirafan emas daripada Persatuan Industri Rakaman Amerika (RIAA).
Budiey berada di sana untuk merasai pengalaman menonton persembahan gempak dengan muzik yang cukup legenda. Apa yang harus Budiey katakan di sini, pengalaman ini tidak setanding daripada album Image & Words dengan membawa lagu-lagu hit mereka seperti Pull Me Under, Another Day, Metropolis Part 1 dan Under A Glass.