Bersih daripada berita kontroversi juga skandal yang mengaitkan mana-mana anggotanya (dalam masa dua minggu ini), membolehkan BIGBANG meneruskan siri jelajah Asia 2012 mereka ke Malaysia. Lantas menoktahkan impian VIPs (gelaran untuk peminat setia) tanah air yang mahu menyaksikan kumpulan idola sensasi dari Korea Selatan ni di depan mata apabila T.O.P, G-Dragon, Taeyang, Daesung dan Seungri selamat menjejakkan kaki di sini, Khamis lalu.
Sebelum itu, kira-kira tiga minggu lalu ahli paling muda, Seungri, dikaitkan dengan isu panas, kononnya ada skandal dengan model terkenal Jepun selepas tersebarnya di internet, gambar mereka keluar dari sebuah kelab malam.
Sekitar Februari 2011, ketua mereka, G-Dragon disyaki positif dadah jenis marijuana. Empat bulan selepas itu, penyumbang vokal utama dalam kumpulan, Daesung terlibat dengan insiden kemalangan yang menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal. Pun begitu, kedua-duanya terlepas dari dakwaan. Namun BIGBANG perlu akur dengan keputusan label mereka iaitu YG Entertainment) apabila aktiviti persembahan pentas di luar negara mereka ‘dibekukan’ seketika.
Sehinggalah malam tadi BIGBANG membuktikan yang mereka masih terus ‘hidup’. Yes, its still alive. Mengambil tempat stadium Merdeka, ibukota Kuala Lumpur menjadi persinggahan kesembilan (destinasi terakhir) bagi melaksanakan BigBang Alive Galaxy Tour 2012.
Lebih bermakna, bersaksikan 15,000 penonton (yang sudah pun menunggu depan pintu stadium sejak awal pagi. Malah ada peminat dari Sabah yang dah terpacak sejak hari Jumaat seawal jam 10 malam), BIGBANG menamatkan penantian selama enam tahun para peminatnya dengan satu nota sejarah – ini juga adalah konsert mega ‘outdoor’ pertama mereka (di luar Korea).
Hujan lebat turun sekitar jam 1 petang, (ketika BIGBANG sedang menjalani reheasal) dan reda sekitar jam 3 petang. Sejam sebelum konsert, sekali lagi hujan turun dengan lebatnya. Bagaimanapun keadaan mula reda setengah jam kemudian.
Bermula stadium digelapkan tepat jam 8.30 malam, lima penghibur yang pernah dinobat sebagai Best Worldwide Act Anugerah Muzik Eropah MTV’11 ni membuka tirai persembahan dengan Still Alive dan membuat kemunculan di pentas dengan kapsul khas. Sejurus itu bergema arena apabila VIPs Malaysia serta sebilangan peminat luar negara berpadu suara ‘bersorak semangat’ menjerit nama kelima-lima ahli anggota kegemaran mereka itu.
Suasana semakin membara dengan lautan cahaya kuning (warna rasmi BIGBANG menerusi nyalaan lightstick berbentuk mahkota) meliputi segenap stadium tatkala menyusul lagu hits Tonight, Hands Up, Fantastic Baby (stadium tambah gamat dengan percikan bunga api), How Gee (Taeyang mencuri perhatian apabila muncul dipentas dengan berbasikal) dan Stupid Liar.
Mengambil peluang berinteraksi dengan VIPs, Seungri mendahului rakan lain dengan berkata “Walaupun hujan lebat, kami tetap bersemangat untuk buat persembahan. Tidak ada apa yang boleh menghalang kami. Kami sangat suka Malaysia, negara ini sangat hebat!”.
Sementara Daesung, sempat lagi amik masa mengajar peminat rutin tarian Fantastic Baby, sementara Taeyang berbahasa Melayu dengan berkata “Aku cinta padamu!”.
Persembahan diteruskan, giliran G-Dragon dan Top tampil sebagai duo mendendangkan Double Trouble dan High High. Diikuti Seungri dengan Strong Baby dan What Can I Do.
Kembali berlima, BIGBANG semakin menyuntik adrenalin keterujaan penonton dengan lagu antaranya, Number 1, Cafe, Love Song, Cafe, Monster, Feeling dan Lie.
Kemudian Daesung mengambil alih pentas dengan Wings. Disusuli Taeyang menerusi dua lagi hitsnya, Only Look At Me dan Wedding Dress. Hampir-hampir tergelincir akibat pentas licin, bagaimanapun mujur anggota yang mempunyai kelebihan pandai menari ni sempat mengimbangi badannya, dia masih boleh tersenyum dan meneruskan nyanyian.
Memperlahankan sikit rentak persembahan, mereka tampil mengenakan outfit putih dan menyanyanyikan lagu Haru Haru.
Selain sperkara lagi yang patut dikongsi, menjadi fenomena lazim di konsert KPop, para peminat akan bersatu dan memberikan kejutan atau projek sokongan kepada artis pujaan mereka. BIGBANG tidak terlepas untuk merasainya. Bermula dengan bas, kain rentang sepanjang 50 meter (yang menelan kos lebih RM10,000) dan sehingga lah malam tadi projek ‘Yellow Sea’ (lightstick), LED biru (sewaktu lagu Blue) dan LED merah (sewaktu lagu Fantastik Baby) dan ucapan awal selamat hari lahir (yang ke-25) kepada TOP. Syabas kepada gabungan kelab peminat BIGBANG iaitu BigBang 1st Malaysia, My-vip, YG-Hype, Myvip atas usaha gigih kalian yang mengagumkan.
Sebelum mengakhiri persembahan, setiap seorang sempat titipkan pesanan beserta puji-pujian kepada peminat bermula dengan Taeyang,
“Terima kasih kerana sentiasa menyokong kami, Malaysia!! Aku cinta padamu!”
“Anda peminat paling terbaikkkk!!” – G-Dragon
“Malaysia menakjubkan! Kami sentiasa akan melakukan yang terbaik untuk anda. Saya akan ingat setiap wajah-wajah anda. Jaga diri, sehingga kita berjumpa lagi”, ucap Top.
Kata Seungri, “VIPs Malaysia paling best! Malaysia macho! Malaysia cantik!”.
“Kami akan sentiasa berikan yang terbaik untuk anda. Kami sayang anda!. Malaysiaaa bagus!”, sambung Daesung pula.
Secara keseluruhan, persembahan selama dua jam dengan kreativiti pentas yang cukup dinamik, pembukaan yang cukup gah, props mengagumkan, penata bunyi yang baik juga pencahayaan (dengan teknik pancaran laser) menakjubkan, vokal mantap, persembahan penuh bertenaga dan penampilan imej setiap daripada mereka yang penuh aura. Tak cukup dengan itu, gelagat ‘giler-giler’ dan ‘nakal’ mereka, BigBang Alive Galaxy Tour Live in Malaysia 2012 telah memberi satu pengalaman luarbiasa sekaligus menyuntik inspirasi kepada penonton. Untuk persembahan segempak ini dan untuk konsert yang menelan kos RM4 juta ni, tak hairanlah peminat sanggup berhabis hampir RM700 untuk sekeping tiket. Dan siapa tahu ada artis tempatan juga boleh melaksanakan konsert sebegini hebat, satu hari nanti.
Meskipun tanpa kontroversi-adegan baling coli daripada mana-mana peminat perempuan (sepertimana yang berlaku kepada TOP ketika konsert di negara sebelum Malaysia), penulis percaya menerusi persembahan malam tadi, konsert BIGBANG di KL tetap akan menjadi topik hangat diperkata ramai sekurang-kurangnya selama seminggu yang akan datang.
Dan… dengan layanan VVIP yang mereka berikan kepada VIPs malam tadi, tak ada apa lagi kata yang boleh menceritakan tentang BIGBANG selain ungkapan, ‘Wow! Fantastic baby!!!”.
Selama 76 jam di Malaysia BIGBANG berangkat pulang hari dan akan memulakan konsert jelajah mereka di Amerika Syarikat. Konsert BigBang Alive Galaxy Tour Live in Malaysia 2012, dibawakan oleh YG Entertainment dan Live Nation dan diuruskan oleh Running Into The Sun. Ulasan dr MD