Stadium Malawati Shah Alam sebagai saksi, tanggal 13 Februari menjadi tarikh bersejarah untuk menyempurnakan profile lima penyanyi lelaki bervokal macho apabila disatukan di satu pentas yang cukup gah. Ternyata, ramai hadirin yang terpesona dengan kekuatan vokal mereka ini terutamanya, Judika yang agak jarang ke Malaysia untuk perform.
Budiey perhatikan, ramai juga selebriti ternama yang hadir untuk menyaksikan konsert ini. Antaranya, Datuk Sheila Majid, Erma Fatima, Elfira Loy, Rozita Che Wan, Zain Saidin dan ramai lagi.
Menurut Dafi, seramai lebih kurang 4,000 orang telah hadir di Konsert 5 Divo semalam. Satu jumlah yang dah dikira okay-lah tu, sebab katanya di zaman kemerosotan ekonomi sekarang ini, memang tak ramai yang sanggup datang beli tiket untuk menyaksikan konsert hiburan. Apa-apa pun, Budiey lihat tempat duduk di ruang arena semalam penuh.
Tahniah buat kesemua penyanyi terlibat yang datang dari tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura berjaya membuktikan persembahan bertenaga dengan vokal mantap menyampaikan lebih 19 buah lagu.
Konsert yang bermula tepat pukul 9 malam itu menyaksikan perang vokal antara Hazama, Hafiz Suip, Taufik Batisah, Judika dan Afgan dengan lagu-lagu ‘berhantu’ mereka.
Pada segmen pertama penyanyi Singapura, Taufik Batisah membuka tirai dengan lagu popularnya AWAK KAT MANA dengan diiringi penari latar, diikuti NOKTAH CINTA (Hafiz Suip), KU MOHON (Afgan).
Diikuti persembahan Hazama menerusi lagu PENGLIPUR LARA dan BUKAN RAYUAN GOMBAL daripada penyanyi Indonesia, Judika sebagai sesi pengenalan di hadapan lebih 5,000 penonton.
Konsert berdurasi dua jam itu diiringi oleh orkestra terkenal yang diketuai oleh pengarah muzik, Datuk Ramli MS.
Pada segmen kedua, Hafiz muncul dipentas dengan lagu-lagu balada hitnya berjudul Ku Akui, Bahagiamu Deritaku dan Awan Nano.
Penyanyi yang mempunyai kekuatan vokal tersendiri ini mendapat perhatian penonton apabila lagu-lagu yang didendangkan turut dinyanyikan bersama-sama oleh penonton yang hadir.
Tidak kurang hebatnya persembahan Taufik Batisah berjaya membuai perasaan penonton dengan lagu-lagu sedihnya Usah Lepaskan dan Menakluk Cinta.
“Saya ada masalah kerana suka menulis lagu-lagu sedih, namun saya harap lagu yang saya nyanyikan sampai kepada penonton malam ini.
“Malam ini saya agak seram kerana menyanyi di hadapan penyanyi tersohor Datuk Shiela Majid. Saya harap tidak terkucil malam ini,” ujar Taufik.
Kemunculan Afgan juga antara penyanyi yang dinanti-nantikan pada konsert tersebut.
Penyanyi itu berjaya membuatkan perasaan penonton tersentuh dengan lagu-lagu popularnya berjudul Knock Me Out dan Jodoh Pasti Bertemu.
Pentas bertambah panas apabila Hazama muncul dengan lagu-lagu bernada tinggi berjudul Ku Relakan Jiwa dan lagu popularnya Sampai Mati berduet bersama penyanyi Judika.
Gandingan tersebut mendapat tepukan gemuruh penonton yang terpukau dengan suara kedua-dua penyanyi tersebut.
Judika terus memberi persembahan mantap dengan lagu berjudul Bukan Dia Tapi Aku dan Aku Yang Tersakiti.
Konsert 5 Divo ditutup dengan lagu akhir dinyanyikan secara madley berjudul Dealova dan Lelaki Ini oleh Taufik, Judika, Hazama, Hafiz Suip dan Afgan.
Dalam pada itu, Judika yang ditemui ketika sidang media mengakui lega apabila semua yang dirancang berjalan lancar.
“Saya berasa puas apabila semuanya yang dirancang berjalan lancar biarpun saya mempunyai masalah kesihatan dan sakit tekak.
“Pada awalnya saya agak risau, nasib baik juga saya dapat rehat dan tidur yang cukup semalam,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Laugh Out Loud Entertainment, Dafi berkata, jumlah penonton yang agak kurang adalah disebabkan masalah ekonomi negara yang tidak menggalakkan masyarakat berbelanja.
“Jumlah yang datang hari ini kira-kira 4,000 adalah satu jumlah yang boleh dikatakan agak ramai.
“Saya faham masalah ekonomi sekarang membuatkan orang ramai tidak terlalu berbelanja terutama untuk hiburan, namun saya berpuas hati dengan jumlah penonton hari ini,” ujarnya.