in ,

Ulasan Filem What’s Your Number

ULASAN FILEM WHAT’S YOUR NUMBER

Pada 29 September 2011 yang lalu, hari Khamis yang indah lagi romantis, Budiey sempat untuk ke Mid Valley bagi menonton filem bergenre romantik komedi (Rom Com) berjudul WHAT’S YOUR NUMBER. Ya, jika dalam bahasa Melayu kita, Apa nombor kamu? Haa, 012 ke 019? Eh, bukan sebenarnya bukan nombor telefon yang dimaksudkan dalam tajuk filem arahan Mark Mylod ni. Tapi apa sebenarnya dimaksudkan ialah berapakah orang yang telah kamu tiduri? Tanya pada anda, berapa ramai dah gadis yang korang tiduri? Satu soalah peribadi yang semua orang akan rahsiakan. Pada sesetengah orang juga, soalan ini memang agak ganas kerana kita sendiri sedia tahu yang orang Malaysia khususnya orang Islam mengharamkan seks bebas. Namun bezanya di negara barat, sudah tentu ianya satu perkara biasa.

Whats Your Number Poster

Mengisahkan tentang seorang wanita yang mencari semula bekas kekasih atau teman tidurnya gara-gara beliau sangat gelisah apabila membaca satu artikel purata teman lelaki ideal bagi wanita Amerika Syarikat adalah 10.5 tetapi dia sudah meniduri 19 lelaki.

Pada Budiey, karya yang diadaptasi daripada novel tulisan Karyn Bosnak berjudul 20 Times A Lady ini sifatnya sangat berterus terang. Jika kita kaji naskahnya, plot penceritaanya juga memang agak unik dan luar biasa di mana ia mengetengahkan isu seksual yang lazimnya agak klise untuk diceritakan. Skop utama atau tema serta konsep filem ini ialah bagaimana seorang wanita itu begitu obses untuk mencari bakal suaminya di kalangan bekas kekasih yang pernah ditidurinya.

Menggandingkan pelakon yang tidaklah popular di mata kita iaitu Anna Faris, Chris Evans, Martin Freeman, Zachary Quinto dan Mike Vogel, filem ini juga dikatakan akan dikritik hebat oleh beberapa kumpulan, khususnya yang tidak gemar bertukar pasangan atau setia pada yang satu.

Budiey percaya, ramai yang bersetuju jika saya katakan filem ini sangat menghiburkan. Jika tidak, masakan ramai yang tertawa berdekah-dekah, sekurang-kurang tersenyum simpul semasa menonton filem ini. Jika anda meminati filem genre romantik komedi, saya percaya anda pasti sukakan filem ini kerana komedi yang disajikan sangat fresh dari ladang. Hahaha. Malah ada yang mengatakan komedi yang berkonsepkan seksual. Alah, sebenarnya orang kita sendiri pun suka bergurau senda dengan subjek lucah, cuma mungkin kita tak sedar sahaja. Itu dah selazimnya berlaku dalam mana-mana masyarakat sekalipun. Tapi saya percaya, dalam masyarakat kita perbincangan tentang seks masih dianggap taboo. Saya rasa anda yang menonton filem ini pasti akan gelak habis. Sekadar ingin menambah, filem ini memang tak sesuai ditonton oleh golongan kanak-kanak ya. Hahaha, faham-faham sendirilah ya.

Ramai pengkritik memberikan rating yang tinggi untuk filem ini kerana ia mempunyai nilai lawak yang sangat santai dan berterus terang.

Budiey suka dengan watak & karakter yang sangat sesuai dan serasi dengan pelakon. Dalam erti kata lain, pemilihan pelakon sangat berjaya untuk filem ini. Ana Faris misalnya mempunyai karakter yang sempoi, liberal, muka tak malu, suka berjenaka dan cakap pakai lepas & mudah percaya pada sesuatu perkara.

Nampak perkembangan watak Anna dikembangkan dengan baik sekali dalam filem ini. Budiey rasa, memang si Ana Faris ni juga ada karakternya tersendiri semacam tak malu untuk membawa watak perempuan yang dikategorikan sebagai slut atau perempuan murahan, kuat seks dan suka bertukar kekasih. Teruji apabila jika kita bandingkan lakonannya dalam The House Bunny, Ana Faris tidaklah menonjol sangat seperti filem ini. Budiey menjangkakan nama Ana Faris akan meningkat dan harum meniti di bibir orang filem di sana selepas filem ini muncul.

Karakter Faris yang mencari lelaki sejati yang mahu dikahwininya di kalangan 20 orang lelaki Sementara watak Chris Evans pula saya rasa sangat kelakar dan mungkin sangat sempurna jika nak dibandingkan dengan beberapa watak lain dalam filem ini.

oh ya, pelakon cameo dalam filem ini sangat ramai ya. Kemunculan ramai pelakon cameo sememangnya dapat dijangkakan kerana watak Ally Darling kan bercinta dengan 19 orang lelaki.

Mudah Sangat Untuk Diramal. Pada saya, filem romantik komedi seperti ini mudah sangat untuk diramal apa yang berlaku seterusnya. Jika anda menonton trailer filem ini pun, kita akan tahu apa yang akan berlaku seterusnya.

Nilai seksual yang sangat biadap dan unsur-unsur romantik yang keterlaluan. Romantik komedi yang moden memang ada unsur dan elemen seksual. Dan dalam filem ini saya rasa beberapa scene dalam filem ini menonjolkan nilai seksual yang sangat ekstrim. Terutama dari segi skrip dan dialog pun, saya rasa memang tak sesuaid dengan budaya timur orang kita.

Memang betul, gaya lawak komedinya sangat fresh dari ladang tapi Budiey masih tercari-cari sudut yang lain yang boleh diketengahkan. Jadi, tiada pembaharuan dari segi suntingan dan penceritaan dalam filem ini.

Tonton filem What’s Your Number mulai 13 Oktober ini di pawagam berdekatan anda.


What's Your Number

Ana Faris membawa watak Ally Darling

What's Your Number

What's Your Number

What's Your Number

What's Your Number

What's Your Number

What's Your Number

What's Your Number

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Pertukaran Waktu Siri Inggeris Popular Hawaii 5 0 & Blue Blood

Dealmates Unveils New Look for its Customers