in ,

Ulasan Filem Suatu Malam Kubur Berasap

Agaknya sudah menjadi trend bagi syarikat pengeluar filem untuk mengeluarkan filem bercorak komedi seram. Akan datang, banyak lagi filem komedi seram berderet-deret menanti giliran. Mungkin kerana genre hiburan ala seriau ini menjadi daya tarikan utama dan pastinya mengeletek jiwa penonton. Seperti filem genre lain, yang membezakannya ialah formula, idea dan gaya penyampaian yang diserapkan dalam naskah itu. Formula dan gaya pengisian itulah yang membawa impak samada sesebuah filem itu ada jiwa atau tidak, ada kualiti dan mutu atau tidak. Menyentuh pasal formula, pemerhati filem juga akan menilai dari sudut dari mana datangnya formula itu. Samada ia sudah ia formula asli, diguna pakai, atau dikitar semula, atau pun ianya dipercantikkan lagi. Impak pada formula ini menjadi elemen penting untuk melariskan filem.

Walau apa pun formula yang diguna pakai, Budiey rasa penonton zaman sekarang dah pandai menilai sesebuah karya filem itu, samada ia menggunakan formula yang sama, recycle atau dibikin dalam satu naskah yang berlainan.

Poster Suatu Malam Kubur Berasap

Budiey suka untuk bercerita tentang filem yang sedang ditayangkan di pawagam ketika ini, Suatu Malam Kubur Berasap. Mendengar tajuknya sudah boleh membuatkan kita meremang bulu roma. Lantas terbayang di kepala akan suasana seram di kawasan perkuburan dan ia diselimuti asap putih. Bukan dari pembakaran terbuka tapi asap yang keluar dari kubur itu dikatakan adalah satu petanda di mana ruh penghuni kubur itu tidak berada dalam keadaan aman tenteram. Atau mungkin juga ruhnya sedang diseksa oleh malaikat sehinggakan keluar asap dari kubur. Itu hanyalah perkiraan Budiey sahaja. Mungkin Budiey terpengaruh dengan cerita-cerita dari novel seram tulisan dari penulis seram terkenal, Tamar Jalis.Tak tahu samada korang kenal atau masih ingat dengan nama itu.

Filem Suatu Malam Kubur Berasap yang sudah mulai berasap di pawagam mulai 22 Disember mendapat penerimaan yang berbeza dari khalayak. Budiey dapat memantau komen-komen dari pembaca blog dan juga di laman Twitter yang bercakap tentang filem ini. Macam-macam yang diperkatakan tentang filem edaran OutLoud Studios Sdn Bhd ini, ada yang positif dan ada yang negatif. Namun, ramai yang mempercayai filem ini mampu mencuit hati penonton dari lawak komedinya dan jika kita lihat dari aura seram yang diperlihatkan, Budiey kira ia juga mampu menjadikan penonton berdebar-debar sepanjang menonton.

Dari segi jalan cerita, Budiey kira filem ini mengutarakan plot yang agak simple, senang penonton untuk memahaminya. Plot seperti ini semestinya dapat membuatkan penonton terhibur. Cuma pada perkiraan Budiey, beberapa  scene dalam filem ini terlalu santai dan ia tidak terlalu complicated. Dari awal sehingga tamat, jalan cerita Suatu Malam Kubur Berasap seolah-olah tidak mahu menjadikan penonton pening untuk berfikir panjang tentang setiap watak.

Suatu Malam Kubur Berasap

Pemilihan pelakon yang sudah ada latar belakang sebagai pelawak iaitu Angah (Raja Lawak), Along (Raja Lawak), Azrul (Raja Lawak) adalah kombinasi yang tepat. Walaupun mereka tidaklah popular atau setaraf dengan pelakon rebutan penerbit ketika ini seperti Aaron Aziz atau Shaheizy Sam tapi dengan bakat yang ada, mereka berjaya menyampaikan watak masing-masing. Skrip yang ada lawak bersahaja mungkin menjadi modal untuk meraih penonton ke pawagam. Cuma, Budiey rasa dari segi perwatakan yang berlatar-belakangkan watak-watak cacat sudah agak klise untuk dijadikan bahan lawak.

Nasib baik, Angah yang memegang watak Atan, seorang pemuda yang lurus bendul dan Azrul yang memegang watak pemuda sengau ini ada kesungguhan untuk menjadikan watak mereka begitu real. Secara peribadi, Budiey terasa sebagai penonton begitu kesian dengan watak-watak cacat ini. Kadang-kadang, terlintas begitu susahnya bila lihat Angah termengah-mengah dan menghenjut bahu dan ini diakui sendiri oleh Angah, memang watak ini bukan sesuatu yang senang. Mungkin selepas ini, Budiey cadangkan agar penerbit menggunakan watak manusia biasa dan menyuntik lebih banyak komedi jenaka yang genius serta lebih sinis menyindir masyarakat. Skrip yang genius atau bijak boleh membuatkan penonton akan bercakap dan akan menonton filem ini berkali-kali. Itu sekadar cadangan Budiey sahaja.

Idea untuk memuatkan semua jenis hantu dari cerita-cerita hantu ala 1Malaysia memang satu idea yang bagus. Hantu budak comel berbadan biru yang berbogel duduk atas bahu, kemunculan hantu makcik Cina berdiri di tepi jalan berdekatan jirat Cina, hantu yang menjelma sebagai wanita cantik mandi di sungai, hantu pontianak, hantu pocong dan banyak lagi menjadikan filem ini meriah dengan hantu. Selain barisan pelawak, pelakon baru dari UiTM Shah Alam, Ain Nordin juga dikatakan berjaya menjelmakan sisi seram dan misteri dengan gaya tersendiri sebagai roh wanita yang telah meninggal dunia akibat dirogol.

Tidak dilupakan juga, filem ini ada sentimental value atau nostalgik bagi peminat kerana menampilkan pelakon veteren, watak Ruminah Sidek sebagai nenek Atan (Angah Raja Lawak) dan Allahyarham Zami Ismail sebagai pemilik warung yang dikatakan sedikit sebanyak membawa mesej dari lontaran dialog mereka yang memberi kesan kepada penonton dari segi nasihat dan pengajaran yang positif. Pemilihan dua watak nakal lakonan dua lagi alumni Raja Lawak, Wira dan Faiz juga tidak sia-sia. Mereka berdua ni ada bakat untuk diketengahkan di dalam filem seterusnya. Tidak dinafikan, mereka turut menyerlah dengan aksi komedi yang kadangkala menjadi tapi ada kalanya tak berapa nak menjadi.

Dari segi pengisian, filem ini tidak membawa isu yang berat, penuh bersahaja, cuma sekadar mahu menghiburkan penonton dengan gelagat-gelagat watak. Unsur dan elemen yang ringan kadang-kadang membuatkan kita tidak bersusah payah untuk mencari misteri atau rahsia dalam cerita ini kerana sudah pasti akan terjawab di akhir cerita. Namun, sesebuah filem itu akan menjadi cacat jika mengetengahkan isu yang ringan tetapi gaya penceritaannya agak berbelit-belit sehingga menjadikan penonton rasa keliru dan sarat dengan persoalan yang tidak berjawab. Tahap jenaka Suatu Malam Kubur Berasap juga tidaklah keterlaluan Budiey rasa. Sekadar satu hiburan semata-mata. Cuma gaya penyampaiannya agak eksrem dan over-acted. Mungkin itu formula untuk buatkan penonton ketawa.

Contohnya, semasa scene Mat Rempit yang bertembung dengan watak Along yang bertemu hantu sehingga masuk ke dalam rumah usang dan Along pula merempuh bangsal sehingga ranap. Lakonan Along, tidak tahu baca ayat Kursi, dan hanya menyebut huruf “Alif Ba Ta” apabila lari daripada diusik hantu juga mencuit hati penonton dan satu scene yang diingati oleh penonton walaupun sudah keluar dari dewan pawagam. Begitu juga babak Zach Diamond yang tiba-tiba menyanyikan lagu Sepohon Kayu bagi meredakan perasaan takutnya setelah bertembung dengan hantu.

Pendek kata, rata-rata penonton di Malam Tayangan Media mengatakan mereka rasa tidak kering gusi bila menonton adegan yang melucukan.

Dua scene paling menjijikan dalam filem ini iaitu semasa watak Atan mengunyah dan makan cacing. Ya, cacing yang digunakan adalah cacing betul. Tidak disangkal, calang-calang orang je yang boleh melakonkan scene ekstreem macam ni. Namun, Budiey rasa impak pada penonton… ia pasti agak meloyakan dan ada yang tak selera makan lepas tengok scene seperti ini. Agak kotor, ditambah lagi dengan scene seorang pemburu hantu yang terjatuh betul-betul terhumban kepalanya dalam tompokan najis manusia yang masih fresh. Yaarrkhh! Budiey tak boleh ingatla scene tu. Sangat jijik! Satu pujian kepada Angah Raja Lawak kerana berani menyahut cabaran seperti ini.

Angah Suatu Malam Kubur Berasap

Tumpuan Budiey agak sedikit kacau setelah plot penceritaan diselitkan dengan sub-plot dimana munculnya sekumpulan pengkaji paranormal atau pemburu hantu yang ingin mencari hantu di kampung itu. Ini sebagai satu kejutan penonton kerana mungkin ada yang tak sangka munculnya sekumpulan pemburu hantu ini. Pada Budiey, tarikan utama filem ini masih lagi pada watak utama yang dilakonkan Along, Azrul & Along. Ini yang melariskan filem ini kerana ia menjadi elemen komersial. Begitu juga dengan reka bentuk poster filem ini. Walaupun ia dikatakan menyerupai dengan poster sebelum ini, pastinya ia satu strategi pihak pemasaran untuk menarik tumpuan ke pawagam. Menurut apa yang Budiey dengar, sekiranya filem ini berjaya mendapat kutipan yang tinggi, filem Suatu Malam Kubur Berasap 2 akan menyusul. Itu bergantung pada penerimaan penonton.

Dari segi gerakan sudut kamera, sinematografi, skor muzik dan penata-cahayaan filem ini, Budiey kira ia mencapai tahap standard bagi filem seram komedi. Tahniah buat semua krew, penerbit dan pengarah ini kerana mencapat tahap yang setaraf dengan filem yang meraih kutipan tertinggi sebelum ini. Jika ada kelemahan dari segi plot terutamanya atau di mana sudut, saya kira, kita patut memberi peluang untuk pengarah yang baru pertama kali mengarah filem. Sudah pasti, segala kelemahan akan diperbaiki dan segala mutu penghasilan filem dapat dipertingkatkan untuk filem yang akan datang.

 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Chermaine Poo dalam SK-II Miracle Makers

Samsung & Sony Shift to New LCD Panel Business Alliance