Bila filem tentang dunia Esports mula menghiasi layar perak, mesti ramai yang teruja, kan? Lebih-lebih lagi bila ia diangkat daripada kisah benar seorang gamer legenda, Muhammad Faris Zakaria atau lebih dikenali sebagai Soloz.
Jalan ceritanya tak klise—ia mengisahkan Soloz (lakonan Hun Haqeem), seorang remaja biasa dari kampung yang bercita-cita tinggi untuk menjadi Pro Player Mobile Legends. Tapi, nak capai impian tu bukan mudah. Dia berdepan dengan cabaran keluarga, terutama ibunya, Lailatul (Lisdawati), yang melihat permainan video sebagai satu bentuk pembaziran masa. Mujur ada bapanya, Zakaria (Fauzi Nawawi), yang menjadi sumber kekuatan dan memberikan harapan buat Soloz.
Penyampaian Kisah Yang Menghidupkan Emosi
Menariknya, filem ini dibuka dengan sesi livestream Soloz, yang membawa kita kembali ke zaman persekolahannya, bagaimana dia memulakan perjalanan dalam dunia gaming, dan pelbagai halangan yang dia tempuh. Momentum cerita ini cukup kuat—setiap babak dibina dengan emosi yang mendalam, sama ada babak tegang, lucu, atau menyayat hati.
Biarpun kita bukan pemain Mobile Legends, filem ini masih boleh dihayati kerana nilai-nilai persahabatan, kekeluargaan, dan semangat juang yang diterapkan sangat relatable. Skrip yang kemas dan dinamik menjadikan penonton sentiasa ingin tahu apa yang akan berlaku seterusnya.
Visual, CGI & Pengalaman Gaming Yang Realistik
Dari segi visual, Syafiq Yusof memang bijak! Elemen gameplay Mobile Legends bukan sekadar ditunjukkan dalam bentuk biasa, tetapi diintegrasikan secara kreatif dalam naratif filem ini. Peralihan dari dunia realiti ke dunia permainan dilakukan dengan sangat kemas—seakan-akan kita sendiri masuk ke dalam arena Mobile Legends.
Babak-babak aksi pertarungan dalam game disajikan dengan CGI yang mantap dan sinematografi yang memukau. Keputusan untuk membawa pengalaman gaming ke layar besar ternyata berjaya dan tidak nampak janggal. Walaupun ada beberapa momen CGI yang boleh dipertingkatkan, secara keseluruhannya pengalaman visual filem ini sangat memuaskan.
Watak Antagonis Yang Memacu Konflik
Apa makna sesebuah filem tanpa watak jahat yang menjengkelkan? Di sinilah muncul Mr. X, watak yang dimainkan oleh Ikmal Amry sebagai rival utama Soloz dalam dunia Esports. Watak Team Vengeance ini memang membuatkan penonton rasa menyampah dan geram, yang bermaksud mereka berjaya memainkan peranan dengan baik. Walaupun ada sedikit babak yang over-acted, tapi itu bukan masalah besar kerana ia masih sesuai dengan mood filem ini.
Apa Kata Budiey?
Filem Soloz: Game of Life bukan sekadar filem hiburan biasa. Ia sebenarnya adalah satu cerminan kepada stigma dalam masyarakat kita yang masih menganggap gaming sebagai sesuatu yang sia-sia. Tetapi, filem ini berjaya membuktikan bahawa dunia Esports bukan sekadar hobi, tetapi boleh menjadi kerjaya yang berjaya jika dilakukan dengan betul.
Mesej paling penting dalam filem ini? Jangan lupakan pelajaran, jangan abaikan keluarga, dan yang paling penting, jangan lupa asal usul kita. Impian boleh dikejar, tapi restu ibu bapa lebih utama.
Kalau korang seorang gamer, filem ini memang WAJIB TONTON! Dan kalau korang bukan gamer sekalipun, filem ini tetap layak ditonton sebab ia menyentuh emosi, impian dan nilai kekeluargaan yang universal.