in , ,

Ulasan Filem Sahak Gangster: Aksi, Komedi & Gelora Kehidupan Samseng ‘Wanna Be’

Budiey berpeluang menghadiri tayangan media filem Sahak Gangster bersama rakan media, dan apa yang boleh Budiey katakan, segalanya sempurna. Dari pengurusan acara yang lancar, susunan tempat duduk yang selesa, hinggalah ke kualiti visual dan bunyi yang menggegarkan, semuanya memberi pengalaman tontonan yang memuaskan. Budiey amat berterima kasih kepada penganjur yang sudi menjemput untuk menikmati karya yang penuh elemen aksi dan komedi ini.

Latar Belakang dan Inspirasi Filem

Sahak Gangster adalah hasil buah tangan produksi Millennium Megamas Sdn. Bhd., di bawah pengarahan Dr. Ahmad Idham, yang kembali mengetengahkan genre aksi komedi setelah sekian lama. Menurut beliau, inspirasi mengarahkan filem ini datang daripada konsep ‘Gangster Wanna Be’, iaitu kisah seorang lelaki yang bercita-cita menjadi samseng namun tidak serasi dengan dunia ganas tersebut.

Ahmad Idham mengakui sudah lama tidak menghasilkan filem bergenre sebegini dan merasakan sudah tiba masanya untuk menyahut cabaran baharu demi menghiburkan penonton dengan konsep yang segar dan unik.

Sahak Gangster: Filem Aksi Komedi Sarat Humor dan Insiden Mengejutkan

Barisan Pelakon Berbakat

Filem ini menampilkan Hariz Hamdan dan Nelissa Nizam sebagai teraju utama. Mungkin dah tiba masa Hariz berlakon dalam filem berbanding sebelum ini kerap dilihat memegang watak anak orang kaya yang mewarisi harta ayahnya. Tapi watak Hariz dalam filem ini cukup membuatkan penonton buka mata untuk mevalidasi bakat yang ada pada Hariz. Bukan sekadar watak kacak semata.

Hariz membawa watak Sahak, seorang lelaki muda yang terjebak dalam dunia samseng selepas insiden tragis yang melibatkan kematian bapa saudaranya, Pak Andak. Nelissa pula memegang watak Suriani, gadis biasa yang secara tidak sengaja terseret ke dalam konflik Sahak.

Ahmad Idham mempertaruhkan bakat Hariz dan Nelissa kerana percaya mereka mampu mencuri perhatian peminat dan menjadi bintang masa hadapan. Namun, bagi mengimbangi risiko mengetengahkan wajah baharu, beliau turut menampilkan pelakon popular seperti Yana Samsudin, Usop Wilcha, Mamak Puteh, Razak Ahmad dan Chiwan Raja Lawak.

Jalan Cerita yang Sarat Elemen Dramatik dan Humor

Kisah bermula dengan latar belakang Sahak yang dibesarkan oleh Pak Andak, seorang ketua geng yang digeruni. Sahak dianggap sebagai pewaris takhta Geng Bunga Merah, namun impian itu musnah apabila Pak Andak ditangkap polis ketika cuba menyelamatkan anak saudaranya, Maya, daripada geng musuh mereka, Geng Pak Man.

Lima tahun kemudian, Pak Andak dibebaskan dari penjara, namun belum sempat menikmati kebebasan, beliau ditembak secara hendap. Dengan nafas terakhir, Pak Andak meninggalkan amanat kepada Sahak untuk mencari dalang di sebalik serangan itu. Amanat itulah yang memacu perjalanan Sahak yang penuh dengan liku-liku.

Sahak Gangster: Filem Aksi Komedi Sarat Humor dan Insiden Mengejutkan

Watak dan Perwatakan Unik

Watak Sahak digambarkan sebagai individu yang sering berada di persimpangan antara keinginan dan tanggungjawab. Humor muncul daripada sifat Sahak yang ‘keras kepala’ tetapi berhati lembut, menjadikannya watak yang relatable. Penonton turut disajikan dengan elemen spoof apabila Ahmad Idham menyelitkan rujukan kepada filem popular seperti Bad Boys, terutamanya melalui gandingan Razak Ahmad dan Chiwan sebagai pasangan anggota polis yang lucu.

Kehadiran Yana Samsudin sebagai Kak Yong pula membawa kelebihan tersendiri. Wataknya mencuri tumpuan dengan dialog spontan yang mengundang ketawa berdekah-dekah.

Gabungan Aksi, Romantik dan Komedi yang Menghiburkan

Sahak Gangster tidak hanya bergantung kepada aksi semata-mata. Filem ini juga mengetengahkan elemen romantik yang manis, terutamanya dalam hubungan Sahak dan Suriani yang terjalin secara tidak sengaja tetapi menguatkan naratif filem ini. Budiey kagum dengan keseimbangan antara babak serius dan komedi yang diolah dengan kemas, menjadikan penonton tidak sempat berasa bosan.

Kesimpulan Budiey: Pembuka Tirai 2025

Secara keseluruhan, Sahak Gangster adalah pembuka tirai untuk tahun ini, merupakan naskhah yang menyuntik elemen dengan emosi, aksi mencemaskan dan humor yang menghiburkan. Ahmad Idham berjaya mengangkat kisah biasa menjadi luar biasa dengan sentuhan kreatifnya. Bagi peminat filem aksi komedi tempatan, filem ini adalah satu ‘hidangan pencuci mulut’ anda, bolehlah tonton di pawagam. Jangan lupa untuk saksikan filem ini mulai 9 Januari 2025!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

ASKA Bakal Gegarkan Kuala Lumpur dengan Konsert Pertama Februari 2025