in , ,

Ulasan Filem Paddington in Peru: Kisah Kembara Jungle Yang Menghiburkan

Pengembaraan Baru yang Berwarna-warni, Tapi Kurang Magis Berbanding Paddington 2

Tayangan filem Paddington in Peru yang Budiey hadiri bersama rakan media dan peminat di KL East Mall baru-baru ini sememangnya satu pengalaman yang menyenangkan. Apa tah lagi sebelum neonton kami bersantapan dulu di sebuah restoran GalahGala Seafood di KL East Mall. Kelancaran acara, mutu bunyi yang jelas dan kualiti tayangan yang mengagumkan membuatkan Budiey rasa sangat dihargai sebagai penonton. Terima kasih kepada pihak penganjur kerana memberikan peluang istimewa ini kepada Budiey!

Filem kali ini membawa Paddington ke tanah kelahirannya, Peru, dalam misi menyentuh hati untuk mencari Aunt Lucy yang hilang. Namun, perjalanan ini bukan sekadar membawa kita ke hutan Amazon yang mempesona, malah memaparkan drama keluarga Brown yang turut diuji oleh pelbagai cabaran.

Plot dan Watak: Perjalanan Baharu yang Sarat dengan Emosi

Paddington (suara Ben Whishaw) menerima sepucuk surat dari Reverend Mother (lakonan Olivia Colman), seorang biarawati yang menjaga Home for Retired Bears. Surat itu menceritakan kerinduan Aunt Lucy terhadapnya. Ini menjadi titik mula pengembaraan Paddington bersama keluarga Brown, dari London ke Peru.

Mrs. Brown (Emily Mortimer) menggantikan peranan Sally Hawkins dengan mempamerkan kasih sayang yang tulus, manakala Mr. Brown (Hugh Bonneville) memberikan elemen komedi yang menghiburkan. Tidak lupa, Antonio Banderas sebagai Hunter Cabot, kapten bot yang menambah warna pada cerita dengan karakternya yang misteri.

Ulasan Filem Paddington in Peru: Kisah Kembara Jungle Yang Menghiburkan

Kisah Penuh Pengajaran, Tapi Kurang “Wow”

Walaupun kisah kali ini penuh aksi – dari adegan air terjun hingga teka-teki Inca – ia kurang membawa sentuhan magis dan keaslian yang dimiliki Paddington 2. Filem ini terlalu fokus kepada aksi sehingga elemen emosi dan tema seperti kepentingan keluarga dan nilai kesopanan tidak sekuat filem sebelumnya.

Adegan lucu ada, tetapi kurang menyengat untuk mengundang ketawa besar. Namun, interaksi Paddington dengan Aunt Lucy tetap menyentuh hati, membawa kita kepada mesej tentang kasih sayang dan pengorbanan keluarga.

Visual dan Gaya Filem: Berwarna-warni Tapi Tidak Cukup Berani

Visual hutan Peru yang cerah dan kaya dengan warna sememangnya memanjakan mata. Dougal Wilson sebagai pengarah baharu berjaya mengekalkan keunikan dunia Paddington. Namun, dibandingkan dengan gaya Paul King dalam filem terdahulu, Wilson kelihatan lebih selamat dan konvensional dalam penyampaian.

Satu perkara yang saya suka tentang “Paddington in Peru” ialah ia sangat mesra kepada penonton baru. Anda tak perlu tahu kesemua latar belakang Paddington untuk menikmati filem ini. Sikap optimis dan penuh kasih sayangnya menjadikannya watak yang mudah disayangi, manakala cerita yang berfokus pada keluarga memikat hati seawal mula. Filem ini sangat berjaya menggambarkan siapa Paddington – seekor beruang yang hanya ingin menyebarkan kebaikan dan jadi sebahagian dari sebuah keluarga – dan anda pasti teruja untuk menyokongnya.

Watak Paddington ditentukan oleh sifatnya yang sopan, baik hati, dan sikapnya yang selalu optimis. Walaupun dia sering mengalami situasi kelam-kabut, dia sentiasa berniat baik dan menghadapi hidup dengan sikap positif. Pengembaraannya yang sering membawa kepada kekacaun yang tidak disengajakan, tetapi niat baik dan ketabahannya membuatkan dia menjadi figura yang disayangi segenap generasi.

Apa Kata Budiey?

Paddington in Peru ialah sebuah filem yang menghiburkan dengan elemen visual yang menarik dan aksi keluarga yang sesuai untuk semua peringkat umur. Walau bagaimanapun, filem ini tidak dapat menandingi keajaiban dan kehebatan Paddington 2. Bagi peminat setia, ia tetap memberi nilai nostalgia dan momen menyentuh hati.

Bagi Budiey, filem ini ibarat sandwic marmalade – manis dan memuaskan, tetapi tidak seistimewa gigitan pertama yang mengasyikkan. Jika anda peminat Paddington, filem ini wajib ditonton, tapi jangan letakkan harapan terlalu tinggi. Kadang-kadang, kita perlu menghargai sesuatu kerana apa yang ia tawarkan, bukan membandingkan dengan apa yang sudah ada.

Selamat menonton, geng!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

CUKTECH Hadir di Malaysia: Kuasa Mudah Alih dan Teknologi Pengecasan

Hani Fadzil Kembali Bersinar di 2025: Kini Jadi Penyampai di Konti MIX!