Intro: Isu Nana Tanjung
Filem Nana tanjung 2, kesinambungan kepada filem Nana Tanjung (2006) merupakan filem arahan terbaru Prof. Madya Abdul Razak Mohaideen yang akan menemui penonton mulai 29 November ini. Dengan Filem Nana Tanjung yang berjaya memecahkan box office dengan kutipan 3.3 juta, Grand Brilliance Sdn Bhd serta Line Clear Production, yakin Nana Tanjung 2 akan berjaya seperti filem yang sebelumnya. Kalau dulu banyak sekali kritikan yang diterima seperti isu menampar kepala anak yang dikatakan kasar oleh sesetengah pihak dan filem ini juga dikatakan terlalu ringan dengan komedi slapstik… kali ini apa pula?
Jika di dalam Nana Tanjung, Nana (lakonan Piee) mempunyai tanggungjawab yang berat dalam menjaga tiga orang anak perempuannya, maka di dalam sekuel filem itu, Nana sekali lagi memperlihatkan ketegasan tapi bertolak ansur dalam menentukan jodoh bagi anak-anaknya itu.
Dakwah VS Komedi
Seperti kata pengarahnya, Prof madya Abdul Razak Mohaideen, Nana Tanjung 2 cuba untuk berdakwah kepada penonton. Terutamanya dengan masalah sosial seperti anak gadis liar dan berpeleseran, bohsia dan minah rempit yang semakin kritikal pada masa ini. Dalam karya pensyarah yang sudah lali diandaikan media sebagai komedi ringan dengan lawak slapstik ini, beliau mahu menyampaikan mesej kepada penonton supaya menjaga hubungan muhram atau ajnabi di antara lelaki dan wanita, walaupun mereka telah mengikat tali pertunangan. Ternyata di awal penceritaan lagi penonton diberikan gambaran betapa takutnya seorang ayah tentang keadaan anak gadisnya sehingga terbawa-bawa ke alam mimpi.
Selain daripada itu, mesej lain yang ingin disampaikan ialah bagaimana mencari calon suami yang berkerjaya dan rajin untuk memastikan hidup anak-anak akan senang pada masa hadapan. Namun, saya keliru dengan cara dakwah ala Prof Madya yang terlupa dalam beberapa aspek. Watak Balqis (lakonan Waheeda) yang kalah dan lentok apabila Izad (lakonan Azad) mengatakan beliau sebenarnya adalah seorang arkitek yang bekerja sebagai penyanyi sambilan di kelab malam. Adegan ini jelas menunjukkan bahawa kebanyakan gadis zaman ini bersifat materialisitk dan hanya memilih lelaki yang kaya raya sahaja untuk dijadikan suami.
Mungkin agak sukar untuk mengajar penonton bagaimana untuk mengambil pengajaran dalam filem sebegini kerana terlalu banyak komedi ringan yang dihidangkan. Dalam anda ketawa, masihkah anda ingat filem yang anda tonton itu sebenarnya ada unsur pendidikan buat anda? Gaya penceritaan yang santai dan ringan digunakan untuk memudahkan penonton memahami mesej dakwah yang ingin disampaikan. Apakah mesej itu sampai seandainya terlalu banyak hidangan komedi yang menjadi santapan penonton. Pada Budiey, ini bergantung kepada pemikiran dan minda penonton itu sendiri. Mungkin ada penonton lupa untuk menggali mesej dan tidak malas untuk berfikir tentang mesej yang ingin diceritakan.
Menurut Prof. Madya Abdul Razak lagi, jika dakwah yang ingin disampaikan secara karya yang serius dan berat, pastinya khalayak tidak akan ke panggung dan tidak menonton karya-karya seperti itu. Sebaliknya, jika mesej yang ingin disampaikan melalui karya komedi slapstik yang ringan tanpa perlu banyak berfikir, mesej dan pengajaran positif lebih mudah diserap oleh penonton. Ini ada kebenarannya.
Penceritaan, Konflik & Klimaks
Dari sudut penceritaan, Nana Tanjung 2 tiada banyak yang berubah dari Nana Tanjung. Begitu juga dari segi kerja-kerja kamera, sudut pengambaraan dan terutamanya jalan cerita. Masih klise dan tipikal walaupun terdapat konflik yang berbeza dalam plot penceritaan.
Bagi watak pula, Piee masih tetap Piee walau dalam filem mana pun. Sememangnya watak Piee memang sesuai untuk watak ayah yang agak tegas dan garang. Begitu juga dengan Apek, Fasha Sandha, Jehan Miskin dan beberapa pelakon yang lain. Hampir dikatakan, ekspresi muka adalah sama yang pernah kita lihat sebelum ini. Begitu juga dengan pembawaan watak yang diberikan. Mungkin watak bagi Saiful Apek dan Jehan Miskin dirasakan begitu mencabar kerana terpaksa berlakon sebagai perempuan dalam cerita kali ini. Sebelum ini, saya pernah lihat gaya Saiful Apek berpakaian dan ditransform dalam bentuk seorang perempuan. Cuma untuk Jehan Miskin, mungkin ini adalah kali pertama dan katanya, Jehan begitu ralat apabila terpaksa memakai koset dan dimake-up kan secantik perempuan. Menurut Jehan, dalam setiap tubuh maskulin lelaki ada sedikit feminisme-nya. Huhu… Bagi penonton yang sememangnya kenal dengan lawak dan gaya pelakon-pelakon ini, sebelum anda melangkah kaki ke panggung, anda pasti dapat membayangkan komedi apa yang akan dihidangkan.
Cuma Budiey memuji lakonan pertama Azad (bintang realiti TV Audition, ingat lagi?) pertama kali di layar perak dan ini boleh dibanggakan. Gerakan badan yang tidak dibuat-buat dan lakonan berkesan yang ditunjukkan boleh membawa nama pelakon dari Utara ini lebih jauh seandainya diberi peluang.
Masalah utama pengeluar filem Melayu adalah kurangnya ketelitian dalam menghasilkan sesebuah karya. Pemilihan watak perlulah bersesuaian dan perlu diberi penekanan terhadap penampilan mereka. Contoh jelas apabila kita lihat wajah Dzulkarnain lakonan Jehan Miskin yang tinggal di tepi pantai tidak digelapkan. Jika seorang yang duduk di tepi pantai, pasti mempunyai kulit yang kusam dan gelap, tetapi dalam Nana Tanjung 2, Fiza Elite yang berkulit cerah memegang watak tersebut tidak dihitamkan sedikit.
Selain ketelitian watak dan prop, ketelitian skrip dan jalan cerita sememangnya penting. Di dalam Nana Tanjung 2, Prof cuba menjadikan suatu konflik, apabila tunang Balkish (Lakonan Waheeda) sebenarnya sudah berumah tangga dan mempunyai anak, namun, Balkish hanya merelakannya dan selepas itu begitu senang melupakannya dan terus mencari cinta baru. Begitu juga dalam beberapa dialog yang jika diteliti agak cuba meringkaskan jalan cerita.
Secara keseluruhan, filem arahan Prof Madya Abdul Razak ini bolehlah dibanggakan. Namun, ruang untuk membaiki hasil karyanya akan datang cukup besar. Mungkin penonton sinema Malaysia dapat menyerap cerita-cerita yang klise, tetapi dengan rasa tanggungjawab, pengeluar-pengeluar filem, mestilah cuba membentuk pemikiran audien yang lebih matang dan cemerlang.
Saya cuma menanti karya yang lebih berat daripada Prof. Madya Abdul Razak Mohaideen. Mungkin selepas ini beliau boleh mencuba filem yang punya seni dan mengambil isu dan tema yang lebih berat untuk disajikan kepada penonton yang sukakan seni dalam filem.
Untuk anda yang sukakan komedi santai yang menghiburkan, bolehlah menyerang pawagam beramai-ramai mulai 29 November ini.
Dari segi keseluruhan, Nana tanjung 2 diberikan 2 1/2 bintang.
– Ulasan dari pembantu penulis Sensasi Selebriti, Rizal dan disunting oleh Budiey.
[tags]nana tanjung, filem Prof. Madya Abdul Razak Mohaideen, kutipan filem tertinggi, boxoffice movie list, peterpan muzikal istana budaya, daphne iking playboy, equus, wo ai hei se hui, cerita kelakar, kelas andaman, kelas hias hantaran kahwin, melayu kahwin, gambar amylia lesbian, nana, siti nurdiana album, ketentuan ramlah ram[/tags]