in , ,

Ulasan ‘Kemah Terlarang Kesurupan Massal’: Apabila Misteri & Mistik Bersatu

Budiey berpeluang menonton filem Kemah Terlarang Kesurupan Massal dalam satu acara tayangan perdana yang cukup private.

Plot Yang Sarat Misteri Dan Ketegangan Mistik

Filem ini diarahkan oleh Ginanti Rona dan diadaptasi daripada kisah benar yang pernah tular di Twitter pada tahun 2016. Kisah ini bermula dengan sebuah perkemahan pelajar Pramuka yang bertempat di Hutan Wana Alus, diketuai oleh pembina kem, Heru (lakonan Derby Romero). Namun, sejak awal lagi, Mbah Sonto (lakonan mantap Landung Simatupang), seorang penjaga hutan, memberi amaran agar berhati-hati dan menghormati batas-batas ghaib di kawasan tersebut.

Rasa seram mula menjelma apabila Rini (dilakonkan oleh Callista Arum), seorang pelajar yang memegang watak Roro Putri dalam pementasan legenda di kem tersebut, secara tidak sengaja terlibat dalam kejadian kesurupan yang penuh misteri. Lebih membingungkan, satu demi satu pelajar turut mengalami kejadian di luar nalar.

Penggunaan Bahasa Jawa Dan Unsur Budaya Yang Menghidupkan Cerita

Salah satu kekuatan filem ini ialah penggunaan bahasa Jawa krama inggil dan krama alus yang jarang didengar dalam filem-filem kontemporari. Dialog-dialog berbahasa Jawa ini tidak hanya memperkaya latar cerita tetapi juga menambah elemen keaslian kepada suasana Yogyakarta. Pelakon seperti Derby Romero, Callista Arum, Nayla Purnama, dan Fatih Unru cukup cemerlang menyampaikan dialog dengan loghat yang terasa autentik.

Filem ini turut menyentuh kepercayaan tradisional masyarakat Jawa seperti weton, ajaran Wahyu Makutharama, serta ritual-ritual klenik yang diiringi oleh sajian simbolisme budaya Jawa yang mendalam. Nuansa ini mengangkat filem menjadi lebih daripada sekadar hiburan seram—ia juga menjadi peringatan agar menghormati adat dan budaya setempat.

Sinematografi Dan Visual Yang Mencengkam

Visual filem ini memang memanjakan mata tetapi pada masa yang sama menghantar rasa cemas menusuk jiwa. Transisi adegan yang halus serta penggunaan color grading yang suram menciptakan suasana hutan yang misteri dan penuh teka-teki. Penonton seperti dibawa terus ke tengah kem tersebut, menyaksikan sendiri setiap babak menyeramkan.

Babak ritual oleh Mbah Sonto benar-benar memberi kesan mendalam. Landung Simatupang, seorang aktor teater senior, berjaya membawa wataknya dengan penuh jiwa. Adegan tersebut disempurnakan lagi dengan alunan muzik gamelan dan suara tembang Jawa yang menambah aura mistik. Rasanya seperti menonton sebuah teater tradisional yang penuh simbolisme dan makna spiritual.

Kemah Terlarang Kesurupan Massal

Jalan Cerita Yang Menggoda Namun Sedikit Stagnan

Walaupun elemen seram dan kesurupan dipersembahkan dengan kreatif, Budiey merasakan bahawa beberapa bahagian plot filem ini sedikit perlahan dan kurang intensiti. Satu adegan menarik ialah ketika pelajar yang kesurupan memaparkan kehebatan dalam semafor (isyarat bendera) yang menakutkan tetapi tetap realistis. Namun, selepas beberapa episod kesurupan, ia terasa berulang dan kehilangan daya tarik.

Skrip yang ditulis oleh Lele Laila dan Ginanti Rona tetap patut dipuji kerana berjaya memberikan keunikan kepada elemen mistik filem ini. Namun, akan lebih menarik jika naratif pementasan legenda Roro Putri mendapat eksplorasi yang lebih mendalam, menjadikan filem ini sebagai penelusuran antara seni persembahan dan elemen ghaib yang sangat sinonim dengan Yogyakarta.

Babak Puncak Dan Akhir Yang Membuat Berfikir

Filem ini dibuka dengan adegan wawancara seorang wartawan yang menggali kejadian kesurupan tersebut sebagai latar penceritaan. Namun, elemen itu seakan dilupakan sepanjang naratif dan hanya muncul kembali secara ringkas di penghujung cerita. Penonton mungkin merasa ada sedikit kekosongan dari segi struktur investigatif yang tidak dimaksimalkan.

Walaupun begitu, babak puncak yang memaparkan kemunculan penuh makhluk halus penjaga hutan cukup memberi impak besar. Malangnya, beberapa persoalan penting seperti siapa yang membongkar sesajen dan punca sebenar tragedi ini tidak dijelaskan sepenuhnya, menjadikan penamatnya sedikit antiklimaks.

Apa Kata Budiey?

Secara keseluruhan, Kemah Terlarang Kesurupan Massal ialah sebuah karya seram yang penuh unsur budaya dan kearifan tempatan. Filem ini bukan sahaja menghibur tetapi juga mengingatkan penonton tentang pentingnya menghormati tradisi dan memahami bahawa sesuatu tempat mungkin menyimpan rahsia tersendiri.

Bagi peminat filem seram yang menginginkan sesuatu yang lebih daripada sekadar jump scare biasa, filem ini wajib ditonton. Ginanti Rona berjaya menampilkan filem dengan keunikan tersendiri, meskipun ada ruang untuk pengembangan plot yang lebih kuat. Apa pun, pengalaman menonton ini membuatkan Budiey pulang dengan rasa seram yang masih berbekas dan pengajaran untuk sentiasa kulo nuwun apabila bertandang ke tempat baru.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ulasan Filem Reversi: Kisah Masa, Takdir & Hebatnya Lakonan Beto Kusyairi

X Ubah Algoritma Baharu: Kandungan Informasi & Hiburan Lebih Diutamakan