Mulai semalam, 1 Mei 2014, hari meraikan Hari Pekerja dan pastinya ramai penggemar adiwira berkuasa labah-labah mengambil peluang itu, berpusu-pusu menyerang pawagam berdekatan seluruh Malaysia untuk menonton aksi terbaru Spider-Man. Haa, macamana, apa pendapat anda tentang filem sekuel terbaru ni? Berapa bintang anda nak kasi? Okay, berapa bintang korang nak kasi tak kisah, apa kata baca dulu sedikit ulasan ringkas dari Budiey. Dijamin takde spoiler! Hehe.
Tidak hanya bergayut dari bangunan ke bangunan di bandar raya New York, malah Spider-Man dalam sekuel kedua ini begitu mahir memanipulasikan kuasanya. Jika ditanya pada Budiey, apa yang menarik sangat The Amazing Spider-Man 2, jawab Budiey, soalan yang cukup klise, senang sahaja, anda kena tengoklah sendiri dan anda rasai sendiri apa yang membezakan siri terbaru dengan yang pertama. Banyak beza!
[pullquote]Untuk info pembaca, The Amazing Spider-Man 2 diadaptasi dari komik Marvel ciptaan Stan Lee dan Steve Ditko dan filem ini merungkai kisah dan rahsia yang berlaku di sebalik kejadian kehilangan ibu bapa Peter Parker semasa beliau masih lagi di zaman kanak-kanak.[/pullquote]
Secara ringkasnya, filem ini mengisahkan tentang pertembungan Spider-Man dengan tiga penjahat yang mengancam penduduk kota New York. Penonton dapat saksikan pertempuran yang lebih mencabar kerana kehebatan Electro mempunyai kuasa mutan elektrik yang luar biasa di mana Electro mampu memanipulasi segala tenaga elektrik untuk menghapuskan dunia dalam sekelip mata.
Plot yang lain pula menceritakan Peter Parker dipertemukan semula dengan Harry Osborn yang dipegang oleh Dane DeHaan di mana pertemuan itu memberikan Peter petunjuk dan klu untuk membongkar rahsia kehilangan ibu bapanya.
Jika kita sorot kembali sekuel pertama pada tahun 2012, Peter Parker baru menemui kuasa luar biasa dan jika anda masih ingat, Spider-Man bertarung dengan musuh pertama iaitu Lizard. Nampak lebih komikal sikit masa tu. Namun, kali ini, dengan tenaga elektrik yang ada pada Electro, ia nampak agak cocok di hati penonton.
Sekuel kali ini memang banyak beza. Setakat hari ini, Budiey sudah menonton tiga kali ini filem ini. Ternyata apa yang Budiey boleh ceritakan ialah sekuel terbaru ini banyak menceritakan tentang hubungan Peter Parker dengan kekasihnya, Gwen Stacy. Ternyata fokus utama untuk menjaga keselamatan penghuni New York juga tidak lari dan kali ini Budiey dapat rasakan betapa sukarnya untuk menjadi Spider-Man. Soal cinta dan kisah hidup keluarga Peter Parker sehinggalah perjuangannya yang tak habis-habis. Budiey tak nafikan, pasti ada penonton yang akan mengalirkan air mata semasa menonton filem ini.
Masih mengekalkan Andrew Garfield sebagai watak Spider-Man dan seorang jurugambar sambilan bernama Peter Parker dan berkolaborasi dengan si gadis manis Emma Stone membawa watak Gwen Stacy, filem ini dikatakan bakal membuatkan ramai penggemar seluruh dunia akan menyerang pawagam. Apatah lagi, sekarang ini sudah ada IMAX 3D yang begitu mengkagumkan. Jadi, tak salah jika anda cuba menonton The Amazing Spider-Man 2 dalam bentuk 3D IMAX di TGV Cinemas.
Selain pelakon British Andrew Garfield dan Emma Stone, filem ini juga turut menampilkan lakonan hebat daripada Jamie Foxx, Shailene Woodley, Dane DeHaan, Colm Feore, Paul Giamatti dan Sally Field.
Dari sudut pengarahan pula, pengarah tersohor Marc Webb dilihat begitu lebih teliti dan beliau tidak mahu penonton terlalu bosan dengan aksi pertempuran. Namun, fokus untuk menjadikan Spider-Man sebagai seorang hero dilihat sebagai satu kejayaan baginya.
Dalam The Amazing Spider-Man 2, ada dua musuh ketat yang lebih perkasa dan kuat iaitu Elektro lakonan pemenang Oscar iaitu Jamie Foxx dan pertemuan semula dengan rakan lama Harry Osborn yang dipegang oleh Dane DeHaan. Jadi, pertembungan kali ini antara Spider-Man dengan Electro, The Rhino dan Green Goblin.
Dari sudut skrip, Budiey melihat penulis skrip Alex Kurtzman, Roberto Orci dan Jeff Pinkner mahu penonton merasai betapa peritnya, betapa susahnya untuk menjadi Spider-Man. Dari awal sehingga habis, sebagai penonton, Budiey kira mereka berjaya membawa penonton merasai bukan senang untuk jadi Spider-Man. Dari kehidupan sebagai manusia biasa sehinggalah sebagai seorang adiwira, banyak cabaran dan kesukaran terpaksa dilalui.
Penulis skrip juga nampaknya berjaya menyelongkar kisah silam Peter Parker dan rahsia yang disembunyikan oleh bapanya selama ini. Pendek kata, tema, idea dan mesej yang cuba disampaikan dalam sekuel kali ini tampak ringkas dan boleh difahami oleh semua penonton.
Budiey rasa cukup bertuah kerana semasa kunjungan tiga pelakon utama di Singapura bulan lalu, Budiey sempat menemubual Andrew Garfield, Gwen Stacy dan Jamie Foxx secara eksklusif. Walaupun hanya diberi masa hanya empat minit, namun Budiey kira sudah cukup untuk memberikan sesuatu yang eksklusif untuk pembaca Budiey.com.
Selain mengadakan Meet & Greet bersama pelakon utama filem ini di Singapura, Budiey kira Sony Pictures selaku pengedar filem ini berusaha keras untuk memastikan pengikut setia filem ini menonton di pawagam. Macam-macam promosi telah dibuat. Kalau tak percaya, anda boleh menjengah ke laman Facebook Sony Pictures Malaysia. Ada banyak hadiah yang perlu dimenangi dengan menyertai peraduan kat situ. Apa yang penting, ramai yang teruja untuk menonton filem ini.
Menurut Andrew Garfiel, selepas kali terakhir memperagakan kostum adiwira itu dalam siri pertama pada tahun 2012, beliau begitu yakin dan lebih bersedia untuk memberikan yang terbaik dalam The Amazing Spider-Man 2. Selain seronok dapat berlakon sebagai Spider-Man, dan dalam masa yang sama sebagai Peter Parker. Kali ini, karakter Spider-Man dilihat lebih menonjol kerana ada sense of humor.
Bagi Andrew Garfield, kelebihan yang ada pada Spider-Man ialah pandai memanipulasi kuasa dan menipu dengan menggunakan kelemahan musuh untuk menentang habis-habisan. Kelebihan ini dapat dilihat dalam filem kali ini dan kekuatan ini jugalah memberi kesan kepada perasaan penonton. Berbeza dengan watak Peter Parker, seorang lelaki yang keliru dengan rasa cintanya yang komplikated dengan Gwen Stacy sehinggalah menemu jalan buntu apabila Gwen Stacy mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di University Oxford.
Bagi mendapatkan susuk tubuh yang sesuai dengan kostum Spider-Man, pelakon yang pernah membintangi filem The Social Network itu juga terpaksa menjalani latihan workout dengan dibantu oleh jurulatih kecergasan Armando Alarcon selama tiga bulan sebelum pengambaran. Kali ini, kita dapat melihat watak Peter Parker yang lebih matang dan lebih dewasa. Sementara itu Gwen Stacy dan Peter Parker juga sudah tamat pengajian di kolej.
Bercakap tentang kematangan watak, Budiey melihat Peter lebih mahir menggunakan kuasa berbanding sebelum ini. Segala teknologi juga dipertingkatkan. Selain itu, jika ada penonton yang sedar, watak Peter Parker lebih tenang dan rileks.
Andrew juga tidak ada masalah dengan pengarah Marc Webb kerana beliau memahami apa yang perlu dibuat dan apa yang pengarah itu mahu kerana pernah bekerja bersama sebelum ini. Marc Webb selaku pengarah telah berusaha keras untuk memastikan filem ini menepati selera penonton dari pelbagai peringkat. Dari dewasa sehinggalah kanak-kanak, filem ini dibikin dengan cukup sempurna.
Untuk menjayakan kedua-dua watak ini, sesuatu yang bukan mudah. Andrew Garfield terpaksa menjalani latihan dengan pakar badut Cal McCrystal yang juga seorang pengarah teater untuk memperbaiki kemahiran berjenaka. Tidak dinafikan, beberapa babak lucu adalah idea yang disumbangkan hasil kerjasama Andrew Garfield dan Cal McCrystal. Elemen ini menjadikan filem ini seronok untuk ditonton kerana ia menggelikan hati penonton.
Selain menjadikan filem ini mempunyai banyak elemen rasa, pelakon Andrew Garfield juga menghasilkan kareografi khas untuk menjadikan Spider-Man seorang hero yang lucu dan menyeronokkan.
Kelahiran si penjahat utama dalam The Amazing Spider-Man 2 iaitu Electro juga mengubah sedikit persepsi penonton. Pelakon serba boleh Jamie Foxx dikatakan sesuai membawa watak Electro dan Max Dillon. Dari watak Max Dillon, seorang kakitangan bahagian maintenance, juru elektrik syarikat Oscorp yang terpinggir dari orang sekeliling sehinggalah dimanupulasikan dengan kuasa jahat, maka lahirlah Electro yang dapat berupaya menyerap kuasa elektrik. Ianya kesan daripada satu kemalangan yang berlaku di dalam makmal sains ketika mana Max Dillon cuba membaiki kabel elektrik yang rosak. Sikap Max Dillon berubah selepas terjatuh dalam kolam penuh dengan belut elektrik. Kesan dari situ, badannya berubah menjadi biru dan dia turut berupaya menghasilkan tenaga elektrik.
Semasa Budiey menemubual Jamie Foxx di Singapura, Budiey ada mengorek cerita di sebalik pembikinan. Cerita Jamie Foxx, dia sebenarnya terkejut apabila mendapat tawaran memegang watak penjahat dalam sekuel ini sehingga anaknya sendiri tidak percaya. Namun, setelah mendapat tahu memegang watak penjahat, anaknya pula menjadi lebih teruja. Jamie Foxx menambah, wataknya banyak cabaran kerana terpaksa menggunakan beberapa elemen kesan khas di mana beliau digantung dan juga terpaksa memakai pakaian yang dikhaskan. Bukan mudah untuk berlakon di set pengambaran yang berlatarkan skrin hijau serta bertindak balas terhadap imej. Itu sesuatu yang mencabar.
Itu tak dikira dari segi solekan yang dilalui selama empat jam setengah. Jamie Foxx juga dikatakan terpaksa dicelup dalam lilinm sebelum seluruh badan disaluti silikon. Ini menjadikan seluruh badan saya seperti skrin biru. Namun, dengan pengalaman yang dilaluinya, beliau rasa sangat puas membawa watak Electro. Bak kata Jamie Foxx dalam sesi temubual eksklusif bersama Budiey, beliau mengatakan penonton akan menonton 3D magic! Jadi, anda kenalah tonton dalam bentuk 3D IMAX. Ini hanya saranan sahaja.
Menurut Jamie Foxx, Electro adalah anggota kumpulan penjahat Sinister Six dan berdasarkan Ultimate Series of Spider-Man, penjahat itu selalu dipintas namun dia muncul kembali.
Sebelum menjadi penjahat, Max Dillon sebenarnya menjadi seorang fanatik dan peminat setia Spider-Man. Segala perkara yang berkaitan dengan Spider-Man, Max tahu semuanya. Pendek kata, Max Dillon begitu obses dengan Spider-Man. Apatah lagi, pada satu masa Spider-Man pernah menyelamatkan nyawanya semasa pertempuran dengan pengganas Rusia, Aleksei Sytsevich.
Penonton dapat melihat sendiri kehidupan Max Dillon sebelum dan selepas menjadi Electro yang mempunyai kuasa yang luar biasa.
Dalam The Amazing Spider-Man 2 juga penonton akan dibawa menyorot kembali kisah ibu bapa Peter Parker yang hilang. Selain itu, ada beberapa kejutan yang Budiey kira ada sesetengah penggemar komik sudah sedia maklum akan berlaku dalam sekuel ini. Dari segi jalan cerita pula, tidaklah membosankan sebab ada babak aksi yang cukup mendebarkan.
Budiey memberikan 3.5/5 bintang untuk filem ini.