in , ,

Ulasan Daredevil: Born Again – Kembalinya Wira Gelap Hell’s Kitchen!

Matt Murdock Kembali! Membawakan Watak Bersama Kisah Gelap, Aksi Brutal & Dilema Moral

Genre: Aksi-pengembaraan, jenayah dan drama perundangan, adiwira
Pelakon: Charlie Cox, Vincent D’Onofrio, Margarita Levieva, Deborah Ann Woll, Elden Henson, Wilson Bethel, Zabryna Guevara, Nikki M. James, Genneya Walton, Arty Froushan, Clark Johnson, Michael Gandolfini, Ayelet Zurer, dan Jon Bernthal
Pengarah: Aaron Moorhead, Justin Benson, Michael Cuesta, Jeffrey Nachmanoff, dan David Boyd
Episod: 9
Tarikh Tayangan: 4 Mac 2025

Tujuh tahun setelah musim terakhirnya berakhir, wira bertopeng dari Hell’s Kitchen kembali dalam Daredevil: Born Again. Siri ini meneruskan kisah Matt Murdock, seorang peguam yang berjuang untuk keadilan di siang hari dan menjadi Man Without Fear pada waktu malam. Kembalinya Charlie Cox sebagai Daredevil pastinya dinanti-nantikan oleh peminat, dan kali ini, Disney+ Hotstar membawakan sebuah naratif yang lebih matang dan menggigit.

Daredvil

Gelap, Brutal & Sarat Dengan Elemen Thriller Politik

Berbeza dengan kebanyakan produksi Marvel yang cenderung ke arah aksi ringan dan humor, Daredevil sejak awal terkenal sebagai sebuah siri yang gelap dan realistik. Born Again mengekalkan DNA asalnya – penuh aksi brutal, konflik moral, dan persoalan tentang batas antara undang-undang dan keadilan jalanan.

Babak pertarungan dalam siri ini sangat cemerlang dengan koreografi yang unik. Kamera menangkap aksi dari perspektif Daredevil, memberikan pengalaman yang lebih imersif kepada penonton. Ditambah dengan elemen thriller politik yang mencerminkan dunia sebenar, siri ini berjaya membina naratif yang lebih berat dan bermakna.

Ulasan Daredevil: Born Again – Kembalinya Wira Gelap Hell’s Kitchen!

Pertembungan Dua Kuasa Besar: Daredevil vs Kingpin

Spoiler alert! Siri ini membawa kita ke tahun-tahun selepas berakhirnya Daredevil di Netflix. Kali ini, Matt Murdock (Charlie Cox) terpaksa berdepan semula dengan musuh lamanya, Wilson Fisk a.k.a. Kingpin (Vincent D’Onofrio). Namun, pertempuran kali ini bukan sekadar pertarungan fizikal – ia adalah pertempuran ideologi dan kuasa.

Daredevil yang cuba meninggalkan identiti vigilantenya kini menggunakan undang-undang untuk menegakkan keadilan. Sebaliknya, Kingpin yang baru keluar dari penjara, memilih untuk bermain dalam sistem politik dan undang-undang, menjadikan dirinya lebih berbahaya berbanding sebelumnya.

Konflik mereka terasa lebih nyata, kerana ia mencerminkan dunia hari ini di mana kuasa dan wang sering kali menentukan keadilan. Apakah kejahatan boleh ditewaskan dengan undang-undang, atau adakah keadilan perlu ditegakkan dengan cara yang lebih radikal?

Selepas Disney melancarkan perkhidmatan penstriman mereka sendiri, Disney+ atau Disney+ Hotstar di Malaysia, mereka mula membawa siri-siri berdasarkan Marvel kembali ke platform ini. Daredevil yang bermula di Netflix adalah salah satu daripadanya. Pada mulanya, ada laporan yang mengatakan siri ini akan menjadi permulaan baharu, tetapi akhirnya mereka memilih untuk meneruskan kesinambungan daripada versi Netflix.

Ini adalah keputusan yang baik kerana tiada keperluan untuk membazirkan penceritaan yang sudah disukai oleh peminat sebelum ini. Namun, seperti tajuknya Born Again, siri ini bukanlah adaptasi terus daripada komik, tetapi lebih kepada ‘reboot’ yang membawa nafas baru kepada Matt Murdock dan alter egonya sebagai Daredevil.

Ulasan Daredevil: Born Again – Kembalinya Wira Gelap Hell’s Kitchen!

Lebih Banyak Fokus Kepada Matt Murdock Berbanding Daredevil

Setengah daripada siri ini lebih memfokuskan kepada Matt Murdock sebagai peguam berbanding peranannya sebagai Daredevil. Selepas satu kejadian di awal episod, Matt memilih untuk memfokuskan kariernya sebagai peguam dan bukan sebagai vigilante. Mungkin ada peminat yang kecewa dengan kurangnya aksi Daredevil, tetapi penceritaan tentang Matt Murdock tetap menarik.

Namun, apabila Daredevil kembali, siri ini terasa seperti bermula semula. Episod pertengahan menjadi sedikit perlahan, tetapi semakin baik menjelang episod akhir. Perkara yang sama berlaku kepada Wilson Fisk, yang kini cuba menjadi Datuk Bandar New York. Dia menyembunyikan jenayahnya dan berusaha menjadi lebih ‘bersih’, tetapi tetap berbahaya.

Adegan Aksi & Gaya Sinematografi Yang Lebih Keras

Seperti siri Netflix, Born Again juga penuh dengan aksi ganas dan adegan kejam. Siri ini tidak takut untuk memaparkan perlawanan yang brutal dengan patah tulang, darah, dan kematian yang kejam. Jika anda menikmati aspek ini dalam versi asal, anda pasti tidak akan kecewa.

Selain itu, siri ini berjaya menampilkan penduduk New York sebagai elemen penting dalam cerita. Kita melihat bagaimana mereka memberi pendapat tentang peristiwa yang berlaku, menjadikan kisah ini lebih manusiawi dan bukan sekadar kisah adiwira biasa.

Ulasan Daredevil: Born Again – Kembalinya Wira Gelap Hell’s Kitchen!

Kesimpulan – Permulaan Baru Yang Menjanjikan Tetapi Belum Lengkap

Sebelum ini, Disney merancang untuk menghasilkan satu musim Daredevil dengan 18 episod, tetapi akhirnya mereka membahagikannya kepada dua musim dengan 9 episod setiap satu. Oleh kerana itu, musim pertama ini lebih kepada permulaan semula persaingan antara Daredevil dan Wilson Fisk tanpa kesimpulan yang memuaskan.

Siri ini bermula dengan baik, terutama dalam memperkenalkan semula Matt Murdock dan Wilson Fisk. Walaupun kurangnya aksi Daredevil di awal siri, penceritaannya tetap menarik. Namun, rentaknya sedikit terganggu di pertengahan siri sebelum kembali meningkat ke penghujung. Walaupun sedikit mengecewakan kerana berakhir di bahagian klimaks tanpa resolusi jelas, ia tetap menjadi siri yang baik untuk membawa kembali Daredevil ke MCU.

Kini, persoalan utama ialah, apakah yang akan berlaku seterusnya? Dengan musim kedua sudah diumumkan, peminat pasti akan tertunggu-tunggu perkembangan seterusnya!

Daredevil: Born Again kini boleh distrim di Disney+ Hotstar. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan kembalinya wira gelap ini!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ulasan Terperinci Samsung Galaxy S25+ Ciri Premium Yang Anda Mahukan