in

Ulasan Da’i Pendakwah Nusantara Musim Kelima Minggu 7

Malam Ahad lalu telah berlangsungnya episod ketujuh Da’i Pendakwah Nusantara Musim Kelima secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Setelah Da’i Samsudin dan Da’i Ilhami tersingkir minggu lalu, kumpulan persembahan Da’i dirombak semula.

Minggu ini adalah giliran Da’i Hakim, Da’i Afiqah, Da’i Fahmi, dan Da’i Zahirah untuk membuat yang tidak pernah ditampilkan pada musim-musim lalu iaitu “Hikayat 1500 Tahun”. Mereka telah diuji dengan asas seorang pendakwah iaitu ilmu Tajwid dan Tarannum.

Para penonton juga telah menyaksikan tugas pengacara utama program Da’i, Datuk Rosyam Nor telah digalas oleh saudara Ally Iskandar. Hal ini kerana, Datuk Rosyam Nor telah berangkat ke tanah suci Mekah untuk mengerjakan ibadah Haji sehingga 10 September 2017.

Selain itu, malam Ahad lalu merupakan malam tanpa penyingkiran kerana keputusan penyingkiran akan dibawa ke hujung minggu ini. Adakah seorang atau dua orang peserta yang akan meninggalkan pentas Da’i?

Menurut Murabbi Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-5, Ustazah Asni Abu Mansor Al-Hafizah “Alhamdulillah prestasi peserta malam ini amat baik. Mereka mampu mempelajari jenis tarannum dan potongan ayat yang diberikan kepada mereka dalam waktu yang amat singkat. Saya juga berbangga melihat anak muda yang mempunyai kemahiran dalam ilmu Tajwid seperti mereka. Walau bagaimanapun, saya tetap akan mengadakan kelas bersama mereka selama 2 jam untuk mendengar dan memperbetulkan Tajwid mereka. Sebagai inisiatif lain pula, saya juga telah menyediakan rakaman tarannum untuk mereka perdengarkan dan pelajari. In Shaa Allah, inisiatif yang sama juga akan saya lakukan kepada empat peserta yang akan membuat persembahan pada minggu hadapan. Sungguhpun saya mempunyai keyakinan pada mereka bahawa mereka mampu lakukannya, tetapi saya tetap dapat melihat kegentaran mereka untuk mengharungi cabaran ini. Oleh itu, saya doa agar mereka jangan takut, dan jangan putus asa, kerana inilah asas dan tonggak utama seorang pendakwah.”

Para peserta pada malam itu telah mempersembahkan pelbagai jenis tarannum yang telah diberikan oleh penerbit mengikut urutan berikut:

Nama Peserta Jenis Tarannum
Da’i Hakim Tajuk: Ikan Nun

Tarannum : Bayati

Surah : As-Saffat, 139-146

Da’i Afiqah Tajuk: Kejadian Alam

Tarannum : Nahawwand

Surah : Fussilat, 9-11

Da’i Fahmi Tajuk: Qabil & Habil

Tarannum : Rast

Surah : Al Maidah, 27-28

Da’i Zahirah Tajuk: Belahan Laut

Tarannum : Hijjaz

Surah : Ash-Shuara’, 61-68

Da’i Pendakwah Nusantara Musim Ke-5 ini masih mengekalkan Datuk Ustaz Kazim Elias sebagai Mursyid. Di mana tugasnya adalah untuk menasihati para Da’i juga merangkap sebagai ketua tenaga pengajar. Murabbi yang terdiri daripada Ustaz Roslan Mohamed dan Ustazah Asni Abu Mansor Al-Hafizah pula, merupakan tenaga pengajar utama peserta Da’i yang akan meluangkan masa bersama mereka sepanjang program ini berlangsung.

Di samping itu, peserta Da’i juga akan turut menimba ilmu daripada juri-juri tetap pada setiap siaran langsung program ini. Juri-juri tetap yang akan bersama mereka adalah Ustaz Mohamad Zarifi bin Mohamad Daud dan Prof. Madya Dr. Sharifah Haayati Syed Ismail.

Sistem pemarkahan untuk musim ini adalah 70% dari juri tetap, iaitu daripada Ustaz Mohamad Zarifi bin Mohamad Daud dan Prof. Madya Dr. Sharifah Haayati Syed Ismail masing-masing akan mengadili dari sudut isi dan hafazan sebanyak (35%), manakala (35%) lagi adalah melalui personaliti serta gaya persembahan. 20% akan diberikan oleh Murabbi iaitu Ustaz Roslan Mohamed dan Ustazah Asni Al-Hafizah. Akhir sekali, 10% dari juri awam yang diundang pada setiap episod.

Juara Da’i Pendakwah Nusantara musim kelima ini akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 serta trofi Da’i Pendakwah Nusantara. Pemenang saguhati akan mendapat wang tunai berjumlah RM5,000 serta trofi Da’i Pendakwah Nusantara. Manakala penyandang gelaran Da’i Pilihan Penonton akan diumumkan di Pentas Akhir Da’i Pendakwah Nusantara.

Pemenang Da’i Pilihan Penonton ini akan dipilih berdasarkan jumlah kemenangan sebagai Da’i Pilihan Penonton setiap minggu yang ditentukan melalui jumlah hashtag nama mereka pada setiap minggu. Contohnya, jumlah sebutan #daifahmi di laman sosial Twitter adalah yang terbanyak pada satu minggu itu, akan dipilih sebagai Da’i Pilihan Penonton minggu tersebut. Sekiranya, Da’i Fahmi telah dinobatkan sebagai Da’i Pilihan Penonton yang terbanyak sepanjang musim, secara automatik Da’i Fahmi akan memenangi gelaran Da’i Pilihan Penonton musim kelima.

Da’i Pendakwah Nusantara musim Ke-5 bertuah kerana sekali lagi mendapat sokongan dari penaja iaitu Almas Beauty & Health. Tambahan pula, penaja utama turut memberikan sumbangan kepada para pemenang untuk tahun ini. Juara Pendakwah Nusantara Musim Ke-5 akan menerima sebuah pakej Umrah untuk 2 orang. Manakala pemenang saguhati dan Da’i Pilihan Almas masing-masing akan menerima sebuah pakej percutian kapal persiaran.

Penonton juga berpeluang untuk menyaksikan Jurnal Da’i yang bersiaran pada setiap hari Ahad, jam 6.00 petang dan dihoskan oleh Da’i Syed (musim ke-4). Jurnal Da’i akan memaparkan perjalanan pembelajaran mereka sebelum bergelar Da’i, di belakang tabir kelas bersama Murabbi dan Mursyid, aktiviti-aktiviti riadah dan juga aktiviti bersama penaja.

Program Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-5 ini diterbitkan oleh Primeworks Studio dan diterajui oleh saudara Shukri Ibrahim selaku penerbit. Program ini dihoskan oleh Datuk Rosyam Noor selaku pengacara utama dan Tuan Haji Zainal Ariffin Ismail selaku pengacara bersama Da’i Pendakwah Nusantara.

Siapakah Juara Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-5? Ayuh sama-sama kita saksikan program realiti keagamaan nombor satu negara ini pada setiap hari Ahad, 9.00 malam bermula 16 Julai 2017 dan ikuti juga Jurnal Da’i pada pukul 6.00 petang di TV3. Selain itu, penonton juga boleh saksikan program ini melalui portal video nombor satu Malaysia, tonton di www.tonton.com.my. Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, layari laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia. Gunakan hashtag #DaiTV3 untuk hangatkan lagi perbualan tentang program ini di laman sosial.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Apa Sebab Aman Lancar Single SULIT 

Pelakon Jelita Juara Minggu Keempat di Clever Girl Malaysia