Cabaran mingguan Da’i Pendakwah Nusantara yang telah berlangsung pada minggu lepas menyaksikan Datuk Ustaz Kazim Elias selaku mursyid menggunakan kuasa veto beliau untuk menyelamatkan Da’i Irfan daripada tersingkir. Kini, program realiti keagamaan, Da’i Pendakwah Nusantara menampilkan 6 peserta Da’i meneruskan perjuangan mereka untuk bergelar juara musim keempat ini.
Episod kelapan yang telah bersiaran pada 11 September 2016 menampilkan Da’i Hazman, Da’i Irfan, Da’i Nasrul, Da’i Niezal, Da’i Saiful, dan Da’i Syed untuk menyampaikan tazkirah selama 4 minit berdasarkan tema Al Quran & Pengorbanan bersempena dengan kempen World #QuranHour dan sambutan Hari Raya Aidiladha.
Kuasa Veto Mursyid Kekalkan Da’i Irfan. Enam Da’i Mara Ke Episod Seterusnya
[dropcap]M[/dropcap]ereka juga diberikan pilihan sama ada mahu menyahut cabaran iaitu menjawab soalan yang diberikan oleh juri tetap secara spontan. Kelebihan cabaran ini membolehkan peserta mara ke episod seterusnya jika berjaya memberikan jawapan dengan betul tanpa perlu menyampaikan tazkirah. Namun, jika peserta tersebut gagal, dia perlu meninggalkan pentas Da’i dengan serta merta.
Da’i Irfan merupakan peserta pertama yang memulakan persembahan dengan topik ‘pengorbanan Asiah’ pada malam Ahad yang lepas. Sekali lagi, Da’i Irfan diberikan tajuk Sirah yang memerlukan penggunaan dialog yang naratif. Da’i Irfan telah menerima pujian kerana menggunakan teknik baharu iaitu perkataan berima dalam hujah. Namun, Ustaz Zarifi juga menunjukkan kelemahan Da’i Irfan yang tidak mempunyai tempo persembahan yang dinamik. Da’i Irfan juga dipesan supaya tidak terbawa dengan emosi semasa menyampaikan hujah.
Memilih topik ‘Al Quran sebagai Asy Syifa’, Da’i Hazman berjaya menampilkan sisi persembahan yang berbeza berbanding dengan minggu-minggu yang lepas. Bukan sahaja menyampaikan fakta-fakta secara teratur, Da’i Hazman juga menggunakan kajian saintifik untuk menyokong kandungan tazkirah itu. Juri tetap juga memberikan cadangan bahawa Da’i Hazman boleh berinteraksi dengan panel juri awam, juri tetap ataupun barisan mursyid serta murabbi serta menggunakan isu-isu semasa sebagai contoh dalam penyampaian tazkirah.
Seterusnya, Da’i Niezal tampil dengan penuh keyakinan dengan topik ‘pengorbanan Siti Hajar’. “Aura anda sudah kembali!” Itulah komen positif yang diterima oleh Da’i Niezal kerana berjaya menyampaikan hujah secara padat, komprehensif dan berkesan dengan menggabungkan fakta Al Quran dan Al Hadith dalam menjadikan cerita. Hujah Da’i Niezal yang menceritakan pengorbanan seorang ibu juga mengusik emosi para penonton dan mengalirkan air mata.
[pullquote align=”right”]Da’i Saiful telah menyahut cabaran untuk menjawab soalan daripada Ustaz Zarifi secara spontan iaitu ‘Sila berikan kelebihan orang yang menuntut ilmu’.[/pullquote]
“Pada usia 18 tahun, pendakwah muda anda tidak gelojoh, anda tidak gopoh, sebaliknya saudara cermat dan hikmah, berfakta, berhujah, saudara Saiful teruskan menuntut ilmu, Islam perlukan saudara, ” komen Ustaz Zarifi yang bangun dari tempat duduk untuk memberikan tabik hormat kepada peserta Da’i paling muda ini. Da’i Saiful telah lulus dengan cemerlang dan berjaya mara ke episod seterusnya.
Memilih tajuk ‘Wahyu Pertama’ dalam persembahan minggu yang lepas, Da’i Nasrul bijak menarik perhatian penonton dengan kisah-kisah kezaliman dan memperkayakan hujah dengan fakta-fakta Sejarah. Da’i Syed yang menduduki tempat paling corot pada episod ketujuh tampil di pentas Da’i dengan ceria dan bertenaga. ‘Pengorbanan Khadijah (Cinta)’ telah disampaikan dengan penuh beremosi oleh Da’i Syed.
Seorang yang masih muda, mempunyai semangat tinggi, bakat besar, bertenaga dan padu suara yang bagus, Da’i Syed disarankan supaya meneruskan menuntut ilmu agama kerana pentingnya untuk melihat siapa dirinya selepas ini. Da’i Syed juga perlu membuat rujukan dalam kitab ketika menyampaikan tazkirah berkaitan dengan topik sirah dan ketepikan emosi dalam penyampaian tazkirah pada masa akan datang.
Keputusan keseluruhan pada episod kelapan meraikan Da’i Niezal sebagai peserta yang memperoleh markah paling tinggi. Da’i Niezal juga diberikan kuasa veto untuk memilih salah seorang daripada kumpulan peserta paling corot iaitu Da’i Irfan, Da’i Hazman atau Da’i Nasrul bagi meneruskan perjuangan. Jadi, Da’i Hazman telah menjadi pilihannya. Setelah Da’i Irfan diumumkan sebagai peserta keenam yang tersingkir, Datuk Ustaz Kazim Elias telah menggunakan kuasa veto yang diberikan untuk kekalkan peserta tersebut.
Datuk Ustaz Kazim Elias selaku mursyid berkata, “Persembahan kali ini mantap dan baik. Peserta perlu meningkatkan prestasi dan ambil perhatian terhadap komen-komen yang diberikan oleh juri. Begitu juga dengan tenaga pengajar iaitu murabbi untuk mengambil perhatian tentang cadangan dan pandangan daripada juri profesional.”
Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-4 dicergaskan oleh Almas Beauty & Health… Penghulu Segala Produk, bersiaran secara langsung dari studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral pada setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam hingga 10.30 malam.
Fokus kepada golongan muda yang berkebolehan untuk berdakwah secara berhikmah, Da’i Pendakwah Nusantara yang mempunyai 12 episod menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM 50,000, sebuah trofi dan pakej umrah untuk 2 orang sekaligus merangkul gelaran juara musim keempat ini.
Panel juri awam pada malam tersebut terdiri daripada pengasas Almas Beauty & Health, pengasas Almas Beauty & Health, Datin Hajah Maziah Haji Mohamed, Aishah Hasnaa, Anita Baharom, Tasha Manshahar, Wanie, Ikhwan (penyampai radio Kool FM), Issey (penyampai radio Hot FM), Da’i Azzam, Da’i Izzhar dan Luqman Hafidz.
Antara topik yang telah dipersembahkan oleh 6 peserta Da’i ialah:
Nama peserta | Topik |
Da’i Hazman (Mohd Hazman Yani bin Ahmad)
Alor Setar, Kedah 29 Tahun Ijazah Sarjana Undang – undang Universiti Kebangsaan Malaysia |
Al Quran Sebagai Asy Syifa
“Dan Kami turunkan dari al-Qur’an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman”. (Surah Al-Israa’ ayat 82) |
Da’i Niezal (Mohd Sufwan Niezal bin Sabri)
Terengganu 19 Tahun Diploma Dakwah & Pengurusan di Kolej Universiti Islam Sultan Ahmad Shah, Pahang |
Pengorbanan Siti Hajar (Ibu)
Ibu kepada Nabi Ismail ini telah menunjukkan contoh teladan yang terbaik sebagai isteri yang solehah dan patuh perintah Allah; juga seorang ibu yang kasih kepada anaknya. |
Da’i Syed (Syed Shah Iqmal bin Syed Mohd Shaiful Jamalullail)
Arau, Perlis 21 Tahun Diploma Dirasat Islamiyyah, Kolej Maahad Buuth Al Islamiyah Kaherah, Mesir |
Pengorbanan Khadijah (Cinta)
Kecintaan Khadijah bukanlah sekadar kecintaan kepada suami, sebaliknya yang jelas adalah berlandaskan keyakinan yang kuat tentang keesaan Allah SWT. |
Da’i Nasrul (Muhammad Nasrul Nizam bin Zamry)
Pasir Mas, Kelantan 20 Tahun Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, Sekolah Menengah Kebangsaan (agama) Falahiah |
Wahyu Pertama
“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah! Tuhanmulah yang maha pemurah.” (Surah Al-Alaq’) |
Da’i Saiful (Mohamad Saiful bin Marzuki)
Permatang Pauh, Pulau Pinang 18 Tahun Sijil Pelajaran Malaysia, Sekolah Menengah kebangsaan Agama Al Irshad, Pulau Pinang |
Keistimewaan Al Quran
“Kitab (Al-Quran) ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa” (Surah Al – Bawarah, ayat 2) |
Da’i Irfan (Mohd Nourul Irfan bin Niamat)
Kedah 25 Tahun Sijil Tinggi Agama Malaysia di Madrasah taklimiah Khaiririah |
Pengorbanan Asiah (Hawa Nafsu)
Asiah hidup dilimpahi kemewahan dan tinggal di dalam istana yang indah namun tidak sedikitpun dapat menggugat keimanannya terhadap Allah SWT. |
Musim baharu ini menampilkan Datuk Rosyam Nor sebagai hos, Tuan Haji Zainal Ariffin Ismail sebagai hos bersama dan Datuk Ustaz Kazim Elias sebagai Mursyid (ketua mentor) yang akan memantau secara keseluruhan prestasi para peserta sambil dibantu oleh dua orang Murabbi (mentor) iaitu Ustaz Zul Ramli Mohamad Razali dan Dr. Robiah K. Hamzah.
[pullquote align=“left”]Pada setiap minggu, para peserta perlu menyampaikan tazkirah mengikut topik yang telah ditetapkan secara berhikmah dengan gaya tersendiri dan penampilan menarik.[/pullquote]
Persembahan mereka dinilai oleh dua juri tetap profesional iaitu Ustaz Dr Izhar Ariff dan juga Ustaz Zarifi. Pemarkahan peserta terbahagi kepada 70% (juri profesional), 20% (murabbi – Ustaz Zul Ramli & Dr. Robiah K. Hamzah) dan 10% daripada juri awam.
Sidang produksi Da’i Pendakwah Nusantara diketuai oleh Tuan Haji Zainal Ariffin Ismail selaku penerbit eksekutif dan Shukri Ibrahim sebagai penerbit. Saksikan Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-4 pada setiap hari Ahad, pukul 9.00 – 10.30 malam (siaran ulangan pada setiap hari Jumaat berikutnya pada pukul 10 pagi) dan rancangan Jurnal Da’i yang memaparkan aktiviti kelas bersama Murabbi (mentor) dan Mursyid, persediaan peserta serta emosi dan personaliti peserta pada setiap hari Sabtu dan Ahad, pukul 7.58 malam. Da’i Pendakwah Nusantara dimeriahkan lagi dengan rakan ukhwah iaitu stesen radio Kool FM dan portal video tonton.
Penonton boleh melayari www.tv3.com.my/dai untuk paparan video-video ekslusif, mengundi peserta pilihan kegemaran anda dan juga berpeluang untuk memenangi hadiah menarik di kuiz mingguan. Da’i pilihan penonton pada minggu lepas ialah Da’i Saiful dan diikuti dengan Da’i Syed, Da’i Niezal, Da’i Hazman dan Da’i Irfan.
Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, layari laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia.Gunakan hashtag #DaiTV3 untuk hangatkan lagi perbualan tentang program ini di laman sosial. Penonton juga boleh menyaksikan program ini melalui tonton di www.tonton.com.my.