Bila Yuna mengumumkan dia menandatangani seorang lagi bakat baru saya berharap bakat tersebut bukanlah sekadar untuk mencari another Yuna. Selepas Diandra Arjunaidi yang saya kira gagal memancing minat pendengar tempatan (hanya sekadar hit trak Angkasa) saya harap Yuna dapat mencari bakat baru yang hadir dalam idea muzik berbeza tetapi nyata Bil Musa hanya menawarkan idea serupa yang terikat dengan penciptaan melodi dan muzik yang serupa dibawa Yuna, Diandra dan juga Zee Avi.
Tetapi tidak mengapalah setidaknya bertambah juga penyanyi yang punya kebolehan bermain alat muzik dalam industrI muzik kita yang kecil ini.
Debut ini dibuka dengan cukup lembut petikan gitar dalam trak The Beach. Melodi ini sangat mencedok idea berulang Zee Avi dan sejujurnya sehingglah album ini habis diputarkan fikiran saya melayang andai lebih baik album ini adalah album terbaru Zee Avi sebab suara Zee Avi lebih pleasant dan jujur.
Bil Musa bagi saya sedikit pretentious dan terbuat-buat. Namun saya sukakan penulisan lirik santai gadis ini. Bil Musa saya kira mewakili stail penulisan hari ini. Penggunaan perkataan yang mudah, bermain dengan situasi dan innocent. Bait seperti di bawah ini adalah apa yang saya maksudkan.
Saya geram bila awak senyum
Seperti syurga di bawah batang hidung
Jari saya antara jari awak
Awak terlalu kelakar buat saya gelak
Trak kedua I Would Die masih menjual idea serupa. Sedikit mengingatkan saya pada idea muzik Angus & Julia Stone dalam trak-trak hit mereka seperti Big Jet Plane dan heart Beat Slow. Trak ini bagi saya sedikit anti-klimaks.
Clapping di tengahnya cuba menaikkan momentum lagu tetapi sekdar begitu sahajalah. Tiada apa yang terlalu besar tentang trak ini. Terbang meneruskan transisi album ini, saya sedikit terganggu dengan vokal Bil yang sedikit kosong dan tidak berjiwa dan hal inilah yang kebanyakan bakat baru hari ini kurang.
Penghayatan tetang teks lagu dan persembahan. Maka terhasillah penyanyi-penyayi yang yang tidak berperasaan seperti Bil, Najwa Latif dan Ainan tasneem. Kedengaran begitu mendatar dan mengantuk. Dalam hal ini saya kira Diandra lebih baik daripada Bil kerana setidaknya Diandra punya feel yang baik dalam nyanyiannya.
Distance sekali lagi buat saya bosan dan buat saya skip sahaja ke trak seterusnya Leave It All yang bunyinya terlalu kuat DNA Yuna. Dan bila di saat empat trak awal seseorang penyanyi itu gagal menarik perhatian saya dengan originality saya kira Bil sedikit gagal dalam percaturan. Saya tahu penggemar genre ini akan tidak suka atau marah dengan apa yang saya tulis tetapi saya mahu menjadi realistik. Tidak semestinya imej urban yang dibawa bermakna Bil seorang pemuzik yang bagus.
Album ini ditutup dengan trak French The Beach – versi French trak The Beach yang sekali lagi merupakan idea berulang. Bil gagal menarik perhatian saya dengan bakat yang dia ada. Mengapa? Mudah saja kerana tiada originality dan kreativiti.
Semuanya menggunakan idea berulang daripada ribuan pemuzik yang pernah membawa genre begini. Selepas mendengar Bil Musa saya berharap dua lagi bakat baru Elizabeth Tan dan Hani Soraya bakal keluar dengan album penuh yang baik kerana antara bakat baru wanita yang ada khususnya, saya kira Hani dan Elizabeth antara yang punya potensi besar. Maaf Bil, anda bukan tidak berbakat tetapi anda buat saya bosan dengan idea berulang ini but again trak The Beach itu merupakan taruhan terbaik album ini. Selain itu semuanya sekadar biasa-biasa sahaja.