Elavate membawa maksud memindahkan sesuatu yang berada di tahap rendah ke tahap yang lebih tinggi. Dan Elevation, menjadi judul album yang paling tepat untuk Anggun. Album yang mencerminkan perjuangan Anggun dalam industri muzik tanpa mengenal penat lelah dalam menghasilkan karya muzik yang terbaik untuk tatapan seluruh peminatnya.
Satu usaha yang baik dalam melakukan eksplorasi tanpa meninggalkan jati dirinya. Maka dengan ini tidak hairanlah, album ini mempunyai satu daya tarikan dan sensasi yang tersendiri.
Menariknya dalam album ini, banyak menyajikan elemen rentak yang pelbagai tidak hanya pada bunyi upbeat, malah pada midtempo, dan slowmo yang terasa lebih dekat dengan irama urban. Album ini turut diperdengarkan dengan irama muzik yang pelbagai bermula dari irama pop, disusuli dengan rap, dance, ballad, hiphop dan juga rock.
Semua komposisi tersebut terungkap dalam nada penuh varsatile ditambah dengan penyampaian vokal Anggun yang sangat berkarakter.
KOLABORASI DENGAN PARA PEMUZIK SERBA BOLEH
Untuk menjadikan album ini satu realiti, Anggun turut berkolaborasi dengan Tefa & Masta, produser yang amat sinonim dengan muzik urban. Ia juga menggandingkan Pras Michel, salah seorang personaliti The Fugees, dan juga DJ Laurent Wolf.
Album ini mempunyai 13 buah lagu dan 4 buah lagu bonus. Sebagai single pertama lagu Jadi Milik Mu / Crazy menjadi pertaruhan untuk album ke-9 Anggun ini.
Lagu uptempo yang sangat kuat muzik dancenya, ia juga amat sesuai dan dekat dengan pendengar-pendengar radio tanah air. Maksud liriknya amat mudah difahami dan sangat catchy, ia bercerita tentang seseorang yang jatuh cinta sehingga mabuk kepayang. Cuba selami bait-bait lirik lagu ini, anda pasti menyukainya dan ia cepat menangkap halwa telinga pendengar.
“You know that it’s true. Aint nobody else, I am crazy for you, It’s all about you, everybody knows that I am crazy for you,…”
Sebagai single kedua, Stronger featuring (Feat. Big Ali). Lagu yang dibawakan dalam Bahasa Inggeris ini kental dengan gaya muzik American feel. Sebuah kombinasi dari muzik rock yang bertenaga disulami dengan irama rap / R & B dari Big Ali.
Pendengar akan terasa seperti di kota New York, kota yang begitu dekat dengan irama Hip Hop / R&B apabila mendengar lagu ini. Umum mengetahui Big Ali adalah pemuzik hip hop yang sering berkolaborasi dengan pemuzik ternama seperti Usher, Puff Diddy, dan Nelly Furtado.
Big Ali juga menjadi residen MC di Cannes Film Festival di selatan Perancis. Lagu Stronger ini menjadi single yang berani dari Anggun dalam usaha untuk menembusi pasaran muzik Amerika.
Single ketiga yang menjadi pertaruhan Anggun pada album ini juga berjudul My Man (feat. Pras Michel) dari The Fugees. Sebuah lagu upbeat dengan lirik lagu yang terarah kepada female anthem.
Lagu ini berkisah tentang seorang wanita yang cuba untuk mengejar cintanya. Lihat sahaja bait-bait lirik ini, “Girls like me will keep on falling for bad boys like you, and think you will be rocking our world, if you wanna be my man, quit the game you’re playing”
Hati-hati, ini bukan Fergie atau The Pussycat Dolls. Tetapi Anggun!
Give It To Love menjadi pilihan yang unik. Sangat seksi dan menawan. Irama terkini berpadu dengan suara bisikan dari Anggun cukup menggoda para pendengar.
Jika pendengar amat berpuas hati dengan irama segar dari muzik terkini dan berirama laju, mari kita bersama-sama nikmati dengan lagu ballad bertajuk Berganti Hati (No Song). Dalam iringan solo piano, kita dapat nikmati lantunan vokal dan lagu yang indah disamping lirik yang puitis.
Selamat Tidur (Interlude) di track ke-11 menjadi petanda aras baru didalam kehidupan Anggun sebagai ibu. Lahirnya seorang cahayamata bernama Kirana, menjadi sumber inspirasi yang tidak pernah tamat baginya.
Lagu Eden In Her Eyes turut menjadi bukti. Dalam iringan solo gitar akustik, Anggun mengungkapkan kata-kata untuk si buah hati yang menjadi tumpuan kasih dan sayangnya.
World menjadi pilihan yang tepat sebagai penutup lagu didalam album ini. Dikemaskan dengan adult contemporary, mengandungi tentang permasalahan yang terjadi di bumi. Lagu didalam versi bahasa Perancis, dipilih sebagai lagu tema sebuah filem dokumentari berjudul Planet Earth.
Selain 13 lagu, album Elevation ini juga dilengkapi dengan 4 bonus track ; Crazy (Laurent Wolf Radio Edit), Stronger (No Rap Version), Shine (TV Song), No Stress (Laurent Wolf Ft. Anggun).
Untuk makluman, Laurent Wolf adalah DJ kondang berasal dari Perancis yang baru-baru ini mendapat anugerah sebagai DJ terbaik Dunia 2008 di Anugerah Muzik Dunia 2008. Lagu No Stress yang kuat muzik dance, disatukan dengan muzik techno menjadi siulan anak-anak muda di pentas kelab-kelab Eropah. Lagu ini juga dimuatkan didalam album terbaru Laurent Wolf berjudul Wash My World.