Penyanyi Nabila Razali meluahkan rasa syukur dan terharu apabila muzik video Peluang Kedua mencapai tontonan 1 juta dalam tempoh sehari dimuat naik di saluran Youtube, ia sekaligus mengulangi rekod single hitnya Pematah Hati.
Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali, 27, berkata, ia satu pencapaian yang sangat bermakna dalam kerjaya seninya sebagai seorang anak seni.
“Alhamdulillah, saya terharu kerana muzik video Peluang Kedua yang dimuat naik pada Selasa lalu mencapai 1 juta tontonan dalam tempoh singkat.
“Ia mengulangi kejayaan Pematah Hati pada tahun 2017 lalu. Mungkin ia biasa bagi orang lain tapi ia satu kejayaan besar buat saya!”
“Sebenarnya saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kerana sebelum ini lirik video yang dimuat naik pada April lalu sudah pun mencecah 12 juta tontonan,”
– Nabila Razali
Lagu ciptaan komposer dan penyanyi terkenal Hael Husaini dan MFMF ini turut menampilkan penyanyi rap MK K-Clique sebagai hero dan juga rakan duet untuk lagu baharu ini.
Nabila turut tidak menolak sambutan hangat lagu berkenaan juga disebabkan MK K-Clique yang sememangnya menjadi kegilaan para wanita.
“Sudah tentu kredit bukan pada saya seorang kerana saya percaya MK juga menjadi faktor untuk orang ramai tonton muzik video ini berulang kali.
“Dia juga memberikan kerjasama dalam mempromosikan lagu tersebut sejak dimuat naik semalam,”
– Nabila Razali
Dalam pada itu, Nabila turut berterima kasih kepada tim produksi Ghzmsn Studio dan pengarah Lily Samsuddin yang bertanggungjawab memberi kualiti video terbaik.
“Selain kami juga, orang-orang kuat di belakang tabir patut diberikan ucapan tahniah kerana kejayaan ini.
“Bayangkan banyak dugaan yang kami lalui ketika proses penggambaran terutamanya bermain dengan cuaca yang ketika itu musim hujan dan sejuk di Cameron Highlands,”
– Nabila Razali
Lagu Peluang Kedua versi baharu ini juga boleh didapati di semua pelantar strim bermula Jumaat ini.