Pertandingan Adik-Adikku Musim Ke-2 telah pun berlangsung dengan jayanya. Kini, pihak JAKIM akan menganjurkan program realiti ‘Adik-Adikku’ untuk musim kedua pula dan akan mengadakan sesi ujibakat.
Untuk itu, pihak JAKIM kini sedang dan telah mengadakan saringan ke setiap negeri untuk mencari kanak-kanak yang berbakat.
1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ingin memaklumkan bahawa JAKIM akan meneruskan penerbitan rancangan realiti kanak–kanak, “ADIK-ADIKKU” Musim Kedua.
2. Siaran Langsung Pentas Akhir Rancangan “ADIK-ADIKKU” Musim Pertama yang telah disiarkan pada 18 Mac 2010 lalu menerusi TV1 dan radio IKIM FM telah mendapat permintaan dan komen yang positif daripada orang ramai. Ratingnya mencecah hampir sejuta orang. Rata-rata menaruh harapan besar agar program ini diteruskan untuk musim kedua.
3. Rancangan realiti TV musim kedua ini adalah rancangan yang akan membantu melahirkan karisma kepimpinan dan kebolehan di kalangan kanak–kanak sebagai pewaris generasi pemimpin negara pada masa hadapan. Terbukti bakat-bakat yang dicungkil oleh program musim pertama ini mula mendapat perhatian masyarakat apabila mereka dijemput untuk majlis-majlis ilmu di seluruh negara.
4. Program ”ADIK-ADIKKU” ini masih meneruskan konsep musim pertama iaitu dengan adunan elemen hiburan, pendidikan dan riadah. Gabungan dua unsur di antara hiburan dan pendidikan ini diyakini mampu menarik khayalak untuk menonton dan sekaligus memberi kekuatan terhadap rancangan ini.
5. Penilaian para peserta meliputi aspek kemahiran berpidato dan penyelesaian masalah, di samping penguasaan seni tarannum, berzanji dan bernasyid/lagu. Aktiviti riadah dan kokurikulum yang sesuai akan diteruskan pada musim kedua manakala sahsiah dan akhlak peserta akan dipantau ketika berada di akademi bersama-sama rakan dan murabbi (mentor).
6. Akademi ”ADIK-ADIKKU” ini akan diketuai oleh seorang Ra’es selaku Pengetua dan dibantu oleh 4 orang Murabbi. Ra’es dan Murabbi untuk musim kedua akan diumumkan sebelum sesi pemilihan bermula September depan. Mereka bertanggungjawab sebagai mentor bagi membimbing peserta-peserta tersebut sepanjang di akademi.
7. Beberapa siri uji bakat akan diadakan di seluruh negara. Peserta perlu mempersembahkan ketiga-tiga syarat wajib iaitu berpidato, bertaranum atau mengaji dan bernasyid dalam masa 3 minit sahaja. Seramai 16 orang peserta yang terpilih akan melayakkan diri ke pusingan akhir dan ditempatkan di ILIM, Sungai Merab, Bangi Selangor. Ketika sesi uji bakat JAKIM mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri-negeri, Jabatan Pelajaran Negeri dan RTM. Syarat-syarat pertandingan adalah seperti di lampiran.
8. Penjelajahan kru penerbitan rancangan ”ADIK-ADIKKU” ke setiap negeri bagi menjalankan sesi uji bakat bermula pada 12 Jun 2010 bertempat di RTM Johor dan yang terakhir di Zon Tengah yang dijadualkan selama 2 hari pada 7 dan 8 Ogos 2010 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di Putrajaya.
9. JAKIM juga telah mendapat komitmen awal daripada beberapa penaja. Setelah penglibatan besar pada musim pertama, Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd bersedia meneruskan kerjasama bagi musim kedua dengan menawarkan hadiah-hadiah utama berupa wang tunai. Turut menyatakan komitmen ialah Proton Holdings Berhad serta beberapa buah hotel untuk penginapan di seluruh negara.
10. Sehubungan itu, adik-adik dijemput hadir manakala para penjaga diharap tidak melepaskan peluang untuk membawa anak-anak mereka untuk menyertai sesi uji bakat tersebut di lokasi seperti di lampiran.
SYARAT-SYARAT PERTANDINGAN ADIK-ADIKKU
• Peserta wajib mematuhi tarikh tutup penghantaran boring penyertaan, kecuali ujibakat terbuka yang akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
• Peserta wajib mematuhi tarikh, waktu latihan, rakaman dan siaran langsung.
• Menyampaikan pidato dalam Bahasa Malaysia atau dalam apa-apa bahasa yang telah diluluskan dan bacaan Al-Quran tarannum. Topik pidato akan ditentukan oleh Panel Program.
• Persembahan yang mengadunkan pelbagai bentuk sesi dan pidato akan mengambil masa empat minit untuk semua peringkat.
• Pada peringkat separuh akhir, peserta juga akan diuji dengan soalan-soalan yang berkaitan dengan Islam dan isu-isu semasa.
• Bayaran peserta untuk penyertaan, pengangkutan dan lojing mengikut kadar yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.
• Keputusan Panel Juri JAKIM / RTM adalah muktamad.
• JAKIM / RTM berhak menggugurkan mana-mana peserta yang gagal menepati sebarang syarat yang telah ditetapkan.
• JAKIM / RTM berhak mengubah sebarang syarat yang dirasakan perlu dari semasa ke semasa.