KESINAMBUNGAN LEGASI Pengacara Jemputan NONA
Selepas 10 tahun, Pengacara Jemputan NONA (PJN) kembali untuk musim ke-6! Mula diperkenalkan pada tahun 1990, PJN merupakan program realiti pertama yang dianjurkan oleh TV3 untuk mencari bakat baru dalam bidang pengacaraan dan kewartawanan. Lima juara PJN terdahulu, Datin Seri Normala Samsudin, Joweyn Son Yee Yee, Rafidah Zahari, Tengku Khalidah Bidin dan Datin Norjuma Habib Mohamed, masing-masing tampil dengan bakat luar biasa seterusnya menempa nama dalam bidang masing-masing.
Selain itu, nama-nama seperti Farrah Adeeba Ashraf, Maria Tunku Sabri, Raja Mazian Raja Mohamed, Datin Hamidah Hamzah, Nornisamsila Othman dan Intan Jusmiera turut pernah mewarnai pentas finalis PJN.
Berita baik buat semua wanita! Bagi mereka yang berminat dan ingin mencuba nasib, sertai ujibakat PJN yang bakal diadakan sepanjang bulan Oktober ini. Antara syarat-syarat utama menyertai ujibakat PJN ialah warganegara Malaysia, wanita berusia antara 18 hingga 28 tahun, mempunyai kelayakan sekurang-kurangnya sijil diploma, berperwatakan menarik, memiliki vokal mantap dan mampu berkomunikasi dengan baik. Peserta juga dikehendaki membawa salinan kad pengenalan, sijil pendidikan dan gambar berukuran pasport atau 4R ketika menghadiri ujibakat.
Ujibakat akan diadakan di empat lokasi mengikut zon (Timur, Utara, Selatan dan Tengah). Sesi ujibakat bermula dari jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang. Maklumat sesi ujibakat seperti berikut:
6 Oktober 2012 Hotel Grand Riverview, Kota Bharu, Kelantan
13 Oktober 2012 Hotel Regency, Alor Setar, Kedah
21 Oktober 2012 Hotel M Suite, Johor Bahru, Johor
28 Oktober 2012 Sri Pentas, Bandar Utama, Selangor
Penerbit Eksekutif PJN Ezzah Aziz Fawzy
Menurut Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 & TV9, Cik Sherina Nordin, “Tujuan utama kami menganjurkan semula pertandingan Pengacara Jemputan NONA atau PJN adalah untuk mencari dan menggilap bakat-bakat baru untuk diketengahkan sebagai pengacara dan wartawan penyiaran yang berkaliber. Ini merupakan peluang baik buat kaum wanita untuk menjadikan PJN sebagai platform mereka mempamerkan kebolehan yang ada dan sekaligus mewarnai dunia penyiaran tanah air sebaris nama-nama ulung seperti Dian P Ramlee, Christine Ling, Datin Seri Normala Samsudin, Azizah Ariffin, Nurul Syuhada, Maya Karin dan ramai lagi.”
“Peserta yang berminat untuk menyertai ujibakat PJN dinasihatkan membuat ‘homework’ supaya lebih bersedia, contohnya, cara menemuramah responden, mampu bertutur dengan suara yang jelas dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Gaya penyampaian pula tidak meniru sesiapa. Fasih dalam kedua-dua Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris serta penguasaan dalam bahasa ketiga adalah satu bonus”, tambah Ezzah Aziz Fawzy, Penerbit Eksekutif PJN.