Program keagamaan TV3 yang telah berjaya memartabatkan status pendakwah milenia iaitu Da’i bakal kembali untuk musim kedua! Program realiti ini yang pernah menjadi perhatian masyarakat di Malaysia pada tahun lalu berjaya memberi pendedahan kepada masyarakat tentang tanggungjawab sebenar yang dipikul oleh seorang Da’i di zaman yang penuh cabaran ini.
Malah, bakat yang dilahirkan menerusi program Da’i musim pertama juga berjaya menyerlah. Buktinya, juara musim pertama iaitu Adibah Rozain kini tampil sebagai hos program yang berbentuk keagamaan, “Fiqh Wanita”. Finalis lain Da’i juga tidak kurang hebatnya apabila masing-masing menjadi pilihan penerbit untuk mengacara sesebuah segmen atau program.
Sehubungan itu, TV3 berbesar hati untuk sekali lagi mencuri perhatian golongan muda untuk turut serta dalam uji bakat Da’i musim kedua yang akan bermula pada 5 Mei hingga 29 Mei 2014 ini. Di samping itu, musim baru ini juga bakal membawa masyarakat kembali mengenali peranan dan fungsi seorang pendakwah milenia dalam memimpin sasaran dakwah secara praktikal.
Da’i merupakan program realiti keagamaan dari TV3 yang mula diperkenalkan pada tahun 2013. Menerusi program ini penonton dapat menyaksikan bakat golongan muda yang berkebolehan untuk berdakwah secara berhikmah diketengahkan.
Penerbit Da’i, Shukri Hj Ibrahim berkata,
“Kami amat kagum melihat kualiti peserta yang menghadirkan diri ke sesi uji bakat kali ini. Biarpun pihak kami baru sahaja menjalankan uji bakat di lokasi pertama iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, sambutan para peserta tidak kurang hebatnya berbanding tahun sebelum ini. Berdasarkan kualiti hampir 500 peserta yang hadir, kami amat optimis untuk melihat program Da’i musim kedua sekali lagi mampu mencipta sejarah baru dalam dunia penyiaran. Penglibatan bekas finalis Da’i musim terdahulu seperti Tajdid Hadhari dan Azam Al-Kankari pada peringkat uji bakat ternyata impak bukan sahaja kepada program ini tetapi turut meningkatkan keyakinan para peserta yang hadir.”
“Jika tahun lalu produksi Da’i hanya mengunjungi 3 buah lokasi untuk sesi pencarian Da’i tetapi berdasarkan sambutan dan penerimaan yang positif, pihak produksi membuat keputusan untuk memperluaskan pencarian bakat Da’i dengan mengunjungi 8 lokasi. Kami percaya ramai anak muda di luar sana yang berpotensi untuk diketengahkan.”
Da’i musim kedua yang akan bersiaran pada bulan Ogos 2014 nanti bakal menampilkan pelakon Rosyam Nor sebagai pengacara program. Sementara itu, juara Da’i musim baru ini bakal memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM 50,000. Selain wang tunai, pemenang juga bakal membawa pulang pelbagai hadiah sampingan.
Untuk sesi uji bakat, Da’i membawa khidmat dua nama besar dalam dunia ilmuwan Islam iaitu Ustaz Sharhan Safie dan Ustaz Harryanto Rizal Rokman sebagai juri untuk memilih para peserta yang berkelayakan menjadi finalis Da’i.
Uji bakat Da’i yang dijalankan ini terbuka kepada lapisan masyarakat yang berumur 18 tahun hingga 30 tahun, lelaki dan perempuan dan warganegara Malaysia. Peserta yang menghadiri uji bakat perlu membawa kad pengenalan dan gambar berukuran 4R. Para peserta mestilah fasih berbahasa Melayu dan mereka yang berkebolehan bertutur dalam pelbagai bahasa adalah satu bonus. Pertandingan ini terbuka kepada peserta yang mampu menyampaikan ceramah, tazkirah dan pidato serta mempunyai personaliti yang menarik.
Oleh itu, bagi para peserta yang berminat untuk menjadi peserta Da’i musim kedua ini, bolehlah menghadiri ke sesi uji bakat yang akan diadakan di lokasi berikut pada jam 9.00 pagi – 5.00 petang,
Tarikh | Lokasi |
5 & 6 Mei 2014 | Studio TV, Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. |
8 & 9 Mei 2014 | Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. |
12 & 13 Mei 2014 | Dewan Kolej Ungku Omar, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak. |
15 & 16 Mei 2014 | Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. |
18 & 19 Mei 2014 | ‘Student Lounge’, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kota Bharu, Kelantan. |
21 & 22 Mei 2014 | Dewan Auditorium Perpustakaan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Gong Badak, Kuala Terengganu. |
25 & 26 Mei 2014 | Bilik Seminar Kolej Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor. |
28 & 29 Mei 2014 | Fakulti Pengajian Quran & Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan. |