ON AIR – Astro beri peluang gilap bakat pengacaraan oleh ikon terkenal
Membuka tirai tahun 2012, Astro terus merancakkan perkembangan industri penyiaran tempatan dengan membawakan sebuah lagi program realiti yang akan mencungkil bakat baru dalam bidang pengacaraan berjudul ON AIR yang bakal memulakan sesi ujibakat di negeri-negeri terpilih bermula 14 Januari ini!
Pengurus Kumpulan Saluran Hiburan Astro, Puan Azlin Reza Azmi berkata, “Sebagai sebuah saluran Melayu unggul yang menawarkan variasi program hiburan terbaik, Astro sentiasa menayangkan program-program yang sesuai dengan citarasa para penonton. Astro Ria telah menerbitkan variasi program realiti pelbagai genre seperti nyanyian, lakonan dan tarian. Kini tiba masanya untuk kami mengetengahkan bidang pengacaraan pula.
Bidang pengacaraan amat sinonim dengan sesebuah stesen televisyen, maka kami hadir dengan sebuah program realiti pencarian terbaru untuk mencari bakat-bakat baru ini untuk memeriahkan lagi bidang pengacaraan yang bukan hanya terhad kepada televisyen, malah seluruh entiti industri penyiaran tempatan termasuk radio. Kami berharap platform yang disediakan ini dapat membuka ruang kepada mereka yang berbakat untuk menyerlahkan potensi demi menggapai impian mereka ”.
Pada sidang media ini juga, pihak Astro turut mengumumkan kehadiran dua ikon dalam bidang pengacaraan yang tidak asing lagi iaitu, Aznil Hj Nawawi yang akan bertindak selaku ketua juri dan dibantu oleh Suhaimi Sulaiman. Selain bertindak sebagai juri, mereka juga bertanggungjawab untuk melatih dan membimbing para peserta menjadi seorang pengacara yang versatil.
Kejayaan Aznil memenangi Anugerah Bual Bicara Terbaik di Anugerah Televisyen Asia di Singapura pada tahun 2005 menerusi rancangan Macam Macam Aznil selain mengekalkan kemenangan sebagai Pengacara TV Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian selama lapan tahun sejak 2003 sehingga kini meletakkan beliau individu yang paling layak mengemudi rancangan ini.
Suhaimi Sulaiman pula bukanlah satu nama baru dalam bidang pengacaraan malah karier beliau dalam industri penyiaran sudah bermula seawal tahun 1990. Beliau kini mengendalikan rancangan temubual Agenda Awani dan Focus Economy dan merupakan pelopor strategi media Astro Awani dan bertanggungjawab membimbing dan melatih para penyampai dan pengacara di saluran berita dan informasi 24 jam yang pertama di Malaysia itu.
Azlin berkata, “Kami berbangga dengan kesudian dua nama besar dalam bidang pengacaraan ini untuk turut serta dalam program On Air ini. Gandingan mantap dua ikon pengacara ini merupakan kekuatan utama program ini dan pastinya mampu menarik minat ramai individu di luar sana yang sudah lama mendambakan peluang keemasan untuk berguru dengan dua nama besar dalam bidang pengacaraan ini,” tambah Azlin lagi.
Menerusi konsep program ON AIR ini, sebanyak tujuh peserta lelaki dan wanita yang terpilih menerusi siri ujibakat di beberapa buah negeri akan ditempatkan di sebuah lokasi tertentu di ibukota untuk menjalani kursus melalui silabus yang telah ditentukan untuk memantapkan lagi pengetahuan dan ilmu mereka daripada pelbagai genre pengacaraan. Mereka akan diberi tunjuk ajar, pendedahan serta tugasan tertentu selama 10 minggu yang berlandaskan format televisyen iaitu Berita, Majalah dan Hiburan.
Juara bakal memenangi kontrak sebagai Artis Residen Astro selama tiga tahun dan pelbagai hadiah sampingan lain yang akan diumumkan kelak.
Pihak produksi akan mengunjungi empat buah negeri bagi mengenal pasti peserta-peserta yang dilihat layak untuk menyertai program ini di lokasi-lokasi berikut:
1. Pulau Pinang Red Box Karaoke, Gurney Plaza 14 & 15 Januari 2012
2. Johor Bahru The Puteri Pacific, Johor Bahru 21 & 22 Januari 2012
3. Sarawak Merdeka Palace, Kuching 28 & 29 Januari 2012
4. Kuala Lumpur Pusat Penyiaran Asia (Astro), Bukit Jalil, 4 & 5 Februari 2012
** Kaunter pendaftaran bagi setiap sesi ujibakat dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang dan para peserta digalakkan untuk hadir awal bagi mengelakkan kesesakkan.
Peserta mestilah seorang lelaki atau perempuan, bujang atau sudah berkahwin dan mestilah seorang warganegara Malaysia berumur 18 tahun hingga 30 tahun dan boleh bertutur dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dengan baik dan mempunyai personaliti yang menarik. Para paserta ujibakat perlu membawa salinan kad pengenalan, resume dan sekeping gambar berukuran 4R.
Program realiti On Air ini bakal bersiaran di saluran rasmi; Astro RIA (saluran 104) pada 25 Januari ini. Butir-butir lanjut mengenai program ini akan diumumkan kelak.