in

Ujibakat Mari Menari Astro Musim Kedua

Astro Ria buka pentas seni tari untuk musim kedua!

Berikutan maklum balas dan penerimaan positif daripada para penonton yang menyokong perkembangan industri seni tari yang semakin rancak membangun, pihak Astro Ria dengan berbesar hati membuka semula pentas seni tari menerusi program realiti tarian; Mari Menari yang kembali untuk musim kedua dan bakal memulakan sesi ujibakat untuk mencari pasangan yang berbakat dan berpotensi pada 7 & 8 Mei ini di Astro Bukit Jalil.

Program Mari Menari ialah sebuah program realiti tarian terbaru untuk mencari calon pasangan yang berpotensi dalam bidang seni tari. Calon peserta yang ingin datang ke sesi uji bakat ini juga tidak semestinya perlu mempunyai kelayakan atau pengalaman dalam bidang tarian tetapi haruslah mempunyai minat yang mendalam dalam bidang seni tari.

Musim Pertama Mari Menari menyaksikan pasangan Razif menjadi pemilik sebuah kondominium mewah The Haven di Ipoh bernilai hampir RM 350 ribu setelah dinobatkan sebagai juara sulung program realiti tarian dengan peratus undian Sistem Pesanan Ringkas (SMS) sebanyak 52% menewaskan pasangan Ariz yang hanya mendapat 48%.

Pengurus Saluran Ria, Puan Azlin Reza Azmi

Pengurus Saluran Ria, Puan Azlin Reza Azmi

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria; Puan Azlin Reza Azmi berkata, “Melalui pengamatan kami berdasarkan kejayaan program Mari menari yang buat pertama kali diterbitkan pada musim lepas, ternyata bidang seni tari merupakan satu cabang seni yang sering mendapat perhatian oleh masyarakat di luar sana.

Peserta-peserta musim lalu juga telahpun membuktikan kepada kita bahawa orang biasa yang bukan daripada golongan penari profesional juga mampu untuk bersaing dan menghasilkan rentak tari yang mengkagumkan menerusi latihan dan kesungguhan yang tinggi,” jelas Azlin.

Azlin turut menambah, “Menerusi maklum balas yang kami terima juga, setiap pasangan yang pernah menyertai program Mari Menari amat gembira sepanjang berada di pertandingan ini. Malah, jumlah masa yang diperuntukkan oleh setiap pasangan untuk sesi latihan ternyata telah merapatkan lagi hubungan di antara mereka yang turut mendapat sokongan padu daripada seluruh ahli keluarga, rakan dan kenalan masing-masing. Inilah matlamat utama Mari Menari yang bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi lebih daripada itu.

Melihat daripada sudut-sudut positif kesan daripada program ini serta mengambil kira permintaan ramai, kami bawakan semula program Mari Menari untuk musim kedua bagi memberi peluang kepada orang ramai yang berminat untuk mendekati bidang seni tari secara lebih mendalam,” ujar Azlin ringkas.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai program Mari Menari Musim Kedua, anda dijemput hadir ke sesi uji bakat mencari pasangan menari yang telah pun dirangka untuk berlangsung selama dua hari berturut-turut pada 7 dan 8 Mei 2011 di Astro Bukit Jalil menerusi pintu masuk utara.

Sesi uji bakat ini terbuka kepada warganegara Malaysia yang berumur *18 tahun ke atas dan mestilah mempunyai pertalian darah atau muhrim di antara satu sama lain.
*Calon yang hadir mestilah sudah berumur 18 tahun pada tahun 2011.

Mereka yang berminat hanya perlu membawa salinan kad pengenalan, salinan kad nikah (untuk pasangan yang sudah berkahwin) berserta gambar terkini berukuran 4R. Calon pasangan yang hadir juga perlu membawa pakaian yang bersesuaian untuk menari dan bersedia untuk menunjukkan aksi tari secara berpasangan sewaktu sesi uji bakat ini nanti.

Kaunter pendaftaran bagi sesi ujibakat akan dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang dan para peserta digalakkan untuk hadir awal bagi mengelakkan kesesakan.

Program Mari Menari ini akan mula bersiaran di Astro RIA pada 12 Jun 2011 jam 9.00 malam. Butiran lanjut mengenai program ini akan diumumkan kelak.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

2.3 Juta Tonton Perkahwinan DiRaja di ntv7

Osama Bin Laden on HISTORY