in

Ujibakat Bintang Nostalgia Klasik Nasional

Ujibakat Bintang Nostalgia Klasik Nasional Mulai 9 Julai Ini

Keunggulan stesen penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang melahirkan banyak bakat-bakat baharu dalam mewarnai industri hiburan negara tidak dapat disangkal. Ikon negara seperti Datuk Sudirman Hj. Arshad, Misha Omar dan Datuk Siti Nurhaliza telah membuktikan keupayaan RTM dalam mencungkil keistimewaan pada rakyat Malaysia.

Menampilkan kelainan, stesen radio Klasik Nasional sekali lagi menganjurkan Pertandingan Bintang Nostalgia Klasik Nasional 2011 yang pernah dianjurkan pada 2008 untuk memberi peluang kepada semua warganegara Malaysia berusia 35 tahun ke atas dalam menyerlahkan bakat dan minat dalam bidang seni suara.

Sepanjang bulan Julai ini, sesi ujibakat akan diadakan melalui rakaman audio di stesen-stesen negeri dan penyertaan mestilah disertakan bersama sekeping gambar bersaiz poskad dan borang penyertaan pertandingan.

Tarikh dan lokasi ujibakat Pertandingan Bintang Nostalgia Klasik Nasional 2011 bermula di RTM Kedah, RTM Perak dan RTM Johor (9 Julai 2011), RTM Melaka (16 Julai 2011), RTM Pulau Pinang Angkasapuri, Kuala Lumpur (16 – 17 Julai 2011), RTM Perlis dan RTM Negeri Sembilan (17 Julai 2011), RTM Kelantan (19 Julai 2011), RTM Terengganu (23 Julai 2011), RTM Langkawi dan RTM Sabah (23 – 24 Julai 2011) dan RTM Pahang (24 Julai 2011).

Pertandingan ini diadakan untuk menghargai lagu-lagu Melayu lama yang pernah mewarnai persada muzik zaman lampau dan memperkenalkannya kepada golongan muda. Lagu-lagu untuk sesi ujibakat pertandingan disediakan dalam format ‘minus one’ dan lagu-lagu untuk separuh akhir dan akhir ditetapkan melalui undian. Panel juri yang dilantik akan memilih 24 peserta ke Peringkat Separuh Akhir dan 12 peserta untuk Peringkat Akhir.

Senarai lagu-lagu yang disediakan pula termasuklah Lagu Lelaki iaitu Hatiku Kecewa (R.Azmi), Puteri Remaja (Jasni), Taman Puspawarna (Tan Sri P.Ramlee), Cincin Belah Rotan (Ahmad CB) dan Hanya Nyanyian (S.Effendy).

Lagu Wanita yang disenaraikan pula adalah lagu Jikalau Abang Merindu (Nona Asiah), Cahaya (Normadiah), Pandang Kasih (Puan Sri Saloma), Jangan Air Mata (Jamaliah Shariff) dan Ikatan Janji (Asiah Tuah).

Hadirkan diri anda beramai-ramai ke Pertandingan Bintang Nostalgia Klasik Nasional 2011 pada tarikh dan lokasi yang telah ditetapkan. Hadiah lumayan wang tunai berjumlah RM28,500 menanti pemenang pertandingan peringkat akhir beserta piala iringan dan sijil penyertaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai pertandingan serta borang penyertaan, sila hubungi 03 2288 7841 atau layari laman rasmi Klasik Nasional, laman sesawang : http://www.rtm.gov.my juga facebook : http://facebook.com/klasik.nasional.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Pavilion KL Hosts International Photography Exhibition

Siri 2 Jonas L.A Temui Peminat Setia 3 Beradik Jonas