“Saya juga harap dia sempat diberi satu lagi peluang kerana sepanjang hidupnya, dia adalah seorang yang baik, anak yang patuh dan seorang yang taat.
“Saya minta masyarakat dan sesiapa juga yang mengikuti perkembangan Ajad untuk mendoakan kebaikan untuk dirinya seperti mana kami sekeluarga mendoakan semua.
“Memang ujian ini berat untuk saya dan keluarga, bagaimana perasaan kami ini hanya Allah SWT yang tahu,” kata Nur Mustika Kamaruz Zaman.
Instafamous berusia 33 tahun itu berkata, sebagai adik yang rapat dengan Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman yang lebih dikenali sebagai Nur Sajat, dia hanya mampu mendoakan agar Nur Sajat kuat dan berjaya menempuh ujian hidup.
Katanya, kali terakhir dia bertemu usahawan kosmetik itu Februari lalu sebelum dia menghilangkan diri.
“Saya tegur dia mengenai tindakannya yang menimbulkan kontroversi dan selepas itu saya tak tahu di mana.
“Apapun saya boleh katakan, sebagai manusia, Ajad seorang yang baik, bertanggungjawab dan sangat suka membantu orang.
“Saya sendiri pun tak mampu buat seperti mana dia. Sebab itu saya harap orang ramai tidak hanya menghukum atau melabel dia teruk dan sebagainya, sebaliknya beri dia dorongan dan semoga semua kesilapan sempat diperbetulkan,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.
Ditanya mengenai kisah Nur Sajat yang ditahan di Thailand, Mustika berkata, dia hanya tahu melalui laporan Harian Metro, Isnin lalu.
Katanya, dia dan keluarga tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan namun mempersoalkan kesahihan perkara itu.
“Sebelum ini bila dia ditahan, ada bukti gambar dan video, jadi mana buktinya?
“Saya juga menerima terlalu banyak pertanyaan mengenai keadaan dia namun saya tidak boleh komen kerana saya tidak tahu.
“Sebagai adik, saya hanya mampu doakan dia. Sama ada dia balik (ke Malaysia) atau tak, saya sendiri tak tahu,” katanya.
Isnin lalu, Harian Metro melaporkan misteri ‘kehilangan’ usahawan Nur Sajat kini terjawab apabila dia dilaporkan sudah ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu hasil maklumat pihak berkuasa Malaysia.
Pendedahan eksklusif Harian Metro itu turut mendedahkan bahawa Nur Sajat kini dikenali dengan nama Bella selain memiliki kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang dikeluarkan pejabat badan itu di Bangkok, Thailand.
Pada 9 September lalu atas kesalahan memasuki Thailand secara tidak sah, Nur Sajat didakwa di mahkamah namun usahawan kosmetik itu dibebaskan pada 10 September lalu dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.
Nur Sajat kini diarahkan melaporkan diri ke Ibu Pejabat Imigresen Thailand setiap 14 hari dan ketika ditahan, dia yang kini sudah menjadi pemegang kad pelarian UNHCR mendakwa mahu berpindah ke Australia selepas diburu pihak berkuasa Malaysia dan diugut bunuh kerana umum keluar daripada Islam.
Sumber: Harian Metro